|
Pergaulan
Dalam Islam
Firman Allah taala dalam surah Al Isra’ ayat 32 yang maksudnya,
“ Janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya ia adalah perbuatan
yang keji dan cara yang tidak baik.”
|
Seandainya
diteliti kepada keseluruhan agama samawi, maka kita akan dapati bahawa
semuanya mengharamkan penzinaan, tanpa mengira sama ada Yahudi, ataupun
Kristian. Kalau ditinjau dari segi logiknya penzinaan itu dapat menjurus
kepada pengaburan masalah keturunan, menghancurkan rumah tangga, meretakkan
perhubungan, berleluasanya penyakit dan bermacam-macam lagi.
Islam,
sebagai suatu agama yang syumul, apabila mengharamkan suatu perkara, maka
ditutupnya jalan-jalan yang akan membawa kepada perbuatan haram itu, serta
mengharamkan cara apa sahaja perkara yang menjadi mukaddimah kepada suatu
pekerjaan yang haram itu.
PERGAULAN BEBAS
ADALAH HARAM
Diantara
perkara yang diharamkan oleh Islam adalah bersendirian dengan seorang
perempuan lain (bukan isteri, bukan salah satu kerabat yang haram dikahwini
untuk selama-lamanya, seperti ibu, adik-beradik, ibu saudara dan sebagainya).
Ini bukanlah bererti menghilangkan kepercayaan kedua belah pihak atau salah
satu daripadanya tetapi demi menjaga kedua insan tersebut dari perasaan
yang tidak baik yang lazimnya lahir apabila dua insan yang berlawanan itu
bertemu, tanpa ada orang yang ketiga.
Sepertimana
sabda nabi yang diriwayatkan oleh Ahmad,” Barang siapa beriman kepada Allah
dan hari akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang
perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiga adalah syaitan.
”Manakala dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari yang maksudnya,
”Hindarilah keluar masuk rumah seorang perempuan. Kemudian ada seorang
lelaki ansar bertanya: Ya Rasulullah. Bagaimana pendapatmu tentang ipar?
Maka jawab nabi, Bersendirian dengan ipar itu, bersamaan dengan menjumpai
mati.”
Ketahuilah
bahawa semua larangan nabi ini adalah demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan
masyarakat. Mungkin kita akan berasa seronok apabila melakukan sesuatu
kejahatan terhadap orang lain tetapi pernahkah kita berfikir seandainya
sesuatu kejahatan itu dilakukan terhadap kita, adakah kita akan berdiam
diri? Seperti mana dalam suatu kisah di zaman nabi Muhammad s.a.w. Seorang
pemuda yang baru memeluk Islam datang kepada nabi lalu meminta keizinan
untuk berzina. Lalu nabi bertanya kepadanya, mahukah kamu seandainya seeorang
itu berzina dengan ibumu atau saudara perempuanmu? Selepas daripada peristiwa
tersebut, perkara yang paling dibencinya adalah zina.
MELIHAT JENIS
LAIN DENGAN BERSYAHWAT
Diantara
suatu perkara yang diharamkan oleh Islam ialah gharizah iaitu pandangan
seorang lelaki terhadap perempuan dan begitu juga sebaliknya. Mata adalah
kunci hatinya dan pandangan adalah jalan yang membawa fitnah dan sampai
kepada perbuatan zina. Bak kata seorang penyair arab,” Semua peristiwa
asalnya kerana pandangan, Kebanyakan orang masuk neraka adalah kerana dosa
kecil. Permulaannya pandangan, kemudian senyum, lantas memberi salam, kemudian
berbicara, lalu berjanji. Dan sesudah itu ia bertemu.”
Lantaran
itu, Allah memerintahkan kepada hamba-hambanya di dalam surah AnNur, ayat
31-32 agar menjaga pandangannya diiringi dengan perintah untuk memelihara
kehormatan dirinya. Sesungguhnya pandangan yang terpelihara ialah apabila
memandang kepada jenis lain, tidak mengamat-amati kecantikannya dan tidak
lama menolah kepadanya serta tidak melekat pandangannya kepada yang dilihatnya
itu. Oleh itulah, nabi berpsan kepada Saidina Ali yang bermaksud,”Hai
Ali, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan yang lainnya.
Kamu hanya boleh pada pandangan yang pertama, adapun pandangan yang berikutnya
adalah tidak boleh.” (HR Ahmad)
Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w. menganggap pandangan liar dan menjurus kepada lain jenis
sebagai suatu perbuatan “zina mata”. Sabda baginda lagi yang maksudnya,
”Dua mata itu bisa berzina dan zinanya adalah melihat.(HR Bukhari) Ia dinamakan
berzina kerana memandang itu adalah slah satu bentuk bersenang-senang dan
memuaskan nafsu syahwat dengan jalan yang tidak dibenarkan oleh syara’.
Larangan Allah ini bukanlah sesuatu yang tidak bermanfaat dan sia-sia kerana
pandangan yang terdorong oleh nafsu ini bukan sahaja membahayakan kemurnian
budi bahkan akan merosakkan kestabilan berfikir dan ketenteraman hati.
Maka
berkatalah seorang penyair:”Apabila engkau melepaskan pandanganmu untuk
mencari kepuasan hati.Pada satu saat pandangan-pandangan itu akan menyusahkanmu
jua. Engkau tidak mampu melihat semua yang kau lihat. Tetapi untuk sebagainya
maka engkau tidak bisa tahan.”
HARAM MELIHAT
AURAT
Di
antara yang harus ditundukkan pandangan, ialah kepada aurat. Kerana Rasulullah
saw telah melarang walaupun antara sesama lelaki dan antara sesama perempuan
untuk mendedahkan aurat masing-masing, sama ada dengan syahwat ataupun
tidak. Sabda nabi saw yang mafhumnya, “Seseorang lelaki tidak boleh melihat
aurat lelaki lain dan begitu juga perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan
lain ...” (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Dawud dan Tirmidzi). Aurat
lelaki yang tidak boleh dilihat oleh lelaki atau aurat perempuan yang tidak
boleh dilihat oleh perempuan ialah antara pusat hingga ke lutut.
Manakala
aurat perempuan dalam perhubungannya dengan lelaki ialah seluruh badannya
kecuali muka dan tapak tangan.
|