MALAYSIA kini tinggal kira-kira 22 tahun sahaja
lagi sebelum mencapai taraf sebuah negara membangun sepenuhnya. Suatu visi
yang mampu dicapai oleh Malaysia dan bukan sesuatu yang mustahil walaupun
ianya akan diiringi penuh dengan cabaran dan halangan.
Cabaran di alam pendidikan amat berat sekali, khasnya kepada para pendidikan
matematik. Tugas utama adalah untuk mendidik masyarakat supaya menerima
matematik di semua peringkat dari alam bangku sekolah hinggalah ke alam
pekerjaan dan kehidupan.
Rata-rata masyarakat kita memang menyanjung tinggi peranan matematik
malah ukuran kebijaksanaan pelajar itu juga melihat kepada pandainya ia
dalam pelajaran matematik.
Dari darjah satu hingga tingkatan lima, kita dapati masyarakat kita
meletakkan matematik ditahap yang tinggi. Guru-guru sekolah menekankan
supaya pelajar sekurang-kurangnya mendapat kredit dalam matematik (atau
matematik tambahan) di peringkat Peperiksaan Menengah Rendah dan Sijil
Pelajaran Malaysia.
Cuba perhatikan reaksi masyarakat kita terhadap keputusan yang baik
dalam bidang matematik. Terdapat ibu bapa yang boleh menerima keputusan
anak mereka yang kurang baik dalam mata pelajaran matematik kerana menganggap
ia sememangnya susah.
Walau bagaimanapun, harapan ibu bapa amatlah tinggi supaya anak-anak
mereka lulus dengan baik dalam matematik. Ini memang wajar kerana untuk
mengikuti kursus di peringkat universiti, lebih daripada 80% kursus yang
ditawarkan memerlukan keputusan kredit dalam matematik, tidak kira dari
kursus kejuruteraan hinggalah kepada arkitek.
Malah ujian yang dijalankan terhadap pelajar yang berkelulusan matematik
mendapati mereka lebih cekap menyelesaikan masalah dan hasil kerja yang
jauh lebih baik berbanding pelajar tiada berkelulusan matematik .
Ini bukan satu rekaan, tetapi suatu keputusan dari satu ujikaji yang
dijalankan. Kepentingan ini amat disedari oleh bangsa Cina di Malaysia
dan kita dapati usaha yang diberikan kepada ilmu matematik jauh lebih banyak
dibandingkan dengan bangsa kita.
Di sekolah Cina, kita dapati setiap soalan dalam buku latihan matematik
mesti diselesaikan oleh pelajar tetapi di sekolah kebangsaan para guru
hanya memilih beberapa soalan untuk dijawab. Ini tidak bermakna semua sekolah
mengamalkan perkara seperti ini.
Apa yang ingin saya kemukakan kepada para pembaca adalah kemanakah perginya
cendekiawan matematik di peringkat sekolah. Ramai di antara mereka (tidak
semua) yang mengikuti kursus matematik di peringkat universiti setelah
permohonan mereka untuk mengikuti kursus lain tidak berjaya!
Ini amat ketara di UTM, contohnya, bilangan mereka yang major matematik
boleh dibilang dengan jari dan bilangan ini amat mendukacitakan.
Di mana mereka yang pandai matematik di peringkat SPM? Mengapa mereka
tidak mahu meneruskan pengajian mereka dalam bidang matematik?
Sekarang ini permintaan kepada guru dan pensyarah matematik sangat banyak
dan persoalannya, bagaimana kita boleh memenuhi permintaan ini jika masyarakat
kita tidak mahu menggalakkan anak-anak mereka mengambil bidang matematik
di peringkat universiti.
Satu jawapan kepada persoalan ini adalah kerana prospek pekerjaan. Salah
satu punca dikenalpasti adalah bidang pekerjaan yang boleh dilakukan oleh
lulusan matematik setelah tamat pengajian. Alam pekerjaan baik dalam syarikat
swasta atau kerajaan, bidang untuk lulusan matematik seolah-olahnya terhad
sekali. Persoalannya adakah ini benar?
Benarkah bidang pekerjaan yang boleh dilakukan oleh lulusan matematik
terhad. Pengurus kilang seolah-olah tidak dapat membayangkan apa yang boleh
dilakukan oleh lulusan ini dan seringkali diserahkan kepada orang lain.
Persoalannya, adakah ahli matematik tidak mampu melakukan kerja pentadbiran.
Jika dilihat di negara maju atau negara membangun yang ingin kita halakan
negara kita ini, kita dapati lulusan matematik bukan sahaja bekerja sebagai
pengurus bank, malah menjadi pegawai tadbir, pengarah pemasaran, juru analisis
dan berbagai jenis pekerjaan yang jika dibandingkan dengan negara kita
ini amatlah jauh sekali penerimaan mereka terhadap lulusan matematik.
Bukankah kita tahu bahawa matematik itu sebagai 'the mother of science'
sebagai satu bidang utama dalam menceburi semua bidang sains yang lain.
Buktinya jelas, kita lihat akan penceburan pensyarah matematik yang
menjalankan kerja penyelidikan di peringkat PhD.
Begitu ramai yang mendapatkan PhD mereka menyelesaikan masalah kejuruteraan
awam, kejuruteraan kimia, kejuruteraan elektrik, jentera, pengurusan dan
sebagainya. Cuma tak dengar lagi mereka membuat PhD dalam Usuluddin. Hairan
dan pelik!
Pada satu peringkat masyarakat kita amat mementingkan matematik tetapi
setelah pelajar mencapai lulusan Sarjana Muda Matematik, masyarakat tidak
tahu dimana ahli matematik boleh diletakkan atau jenis pekerjaan yang boleh
dilakukan oleh mereka.
Masyarakat kita tidak memandang tinggi terhadap lulusan matematik untuk
menjadikan mereka seorang pembuat keputusan (decision maker).
Pekerjaan yang jelas untuk lulusan matematik hanyalah guru dan pensyarah
sahaja. Ini tentunya tidak benar sama sekali. Jika di alam pengajian, mereka
yang mempunyai asas matematik yang kukuh boleh menjangkau ke bidang lain.
Ini walaupun diluar bidang matematik yang dipelajari.
Sekiranya mereka yang berkelulusan sastera boleh melakukan kerja pentadbiran,
sudah tentu lulusan matematik boleh melakukannya. Bukanlah untuk mengambil
alih peluang pekerjaan ini dari orang lain, sekurang-kurangnya peluang
untuk dipilih seharusnya diberi sama rata.
Dalam kita ghairah mencari jalan mengatasi masalah ekonomi yang dihadapi
oleh negara kita, seharusnya sebarang tindakan yang diambil perlu pengiraan
yang betul.
Setiap keputusan yang diambil selalunya mempunyai risiko dan setiap
risiko seharusnya dikira dan dianalisis sebelum sesuatu keputusan itu diambil.
Bidang matematik menjangkau ke alam pengurusan risiko.
Satu kursus pendek bertajuk "Short Course on Forecasting and Risk Management"
akan diadakan di Fakulti Sains dan dijangka pada bulan Julai 1999.
Dalam keluaran sebelum ini ada diceritakan sedikit tentang teori ramalan
dan bagaimana membuat sesuatu ramalan jualan dan sebagainya. Adalah suatu
kesilapan besar jika masyarakat kita membuat andaian bahawa teknik-teknik
pengurusan berkuantitatif ini diperlukan oleh syarikat yang besar-besar
sahaja.
Sebenarnya syarikat yang sederhana besar pun amat memerlukannya. Adalah
menjadi suatu keperluan sekarang ini dimana dunia yang berubah begitu cepat
supaya semua usahawan mula memanfaatkan teknik-teknik saintifik ini dalam
perniagaan mereka.
|