SEKOLAH KEBANGSAAN TELOK MAS ( MBA 2034 ) 75460 MELAKA

TEL: 06-2618835

SEJARAH SEKOLAH

Tahun 1850-1856

Sekolah pertama dibina berbentuk bangsal. Ianya terletak di Solok Ketapang, Kampung Teluk Mas, Melaka. Pada masa ini tenaga pengajar hanya seorang dan jumlah murid seramai 30 orang.

 

Tahun 1857-1861

Sekolah kedua dibina pada tahun 1857 juga berbentuk bangsal tetapi kelihatan lebih kemas dan tersusun. Ianya dibina dan terletak di belakang Masjid Kampung Teluk Mas sekarang. Bilangan muridnya seramai 41 orang dan tenaga pengajarnya seorang.

 

Tahun 1862-1933

Sekolah ketiga dibina di Solok Kampung Jawa ( kini dikenali Solok Kampung Pantai ). Bangunannya berbentuk limas, bertiang batu, berlantaikan papan dan beratapkan genting bagi menggantikan sekolah kedua. Bilangan guru seramai 4 orang dan pelajar sekitar 140 orang. Pada tahun 1914 seramai 7 orang murid perempuan telah belajar di sekolah ini.

 

Tahun 1934

Sekolah keempat dibina di Jalan Tambak Bongkok (kini Jalan Daing Tawi ). Bangunan kayu bertiang batu setinggi 10 kaki berlantaikan papan dan beratapkan genting.

 

Tahun 1969

Pada tahun ini Sekolah Kebangsaan Telok Mas mendapat bangunan tambahan. Bagunan baru ini setinggi dua tingkat, berdinding batu dan tidak berplaster. Terdapat bilik Guru Besar, pejabat pentadbiran, bilik sumber dan 6 bilik darjah serta sebuah kantin. Jumlah guru 16 orang dan 2 orang pekerja. Bilangan murid seramai 333 rang.

 

Tahun 1990

Pada tahun ini Sekolah Kebangsaan Telok Mas mendapat sebuah lagi bangunan tambahan 3 tingkat dengan 4 buah bilik darjah, sebuah bilik sembahyang, sbuah bilik pusat sumber, perpustakaan termasuk bilik radio TV Pendidikan. Pada tahun 1990 keramaian murid sekitar 398 orang dan bilangan pelajar ini bertambah dari semasa ke semasa. Pada 6 Disember 1991 sekolah ini telah dirasmikan oleh YABKetua Menteri Melaka, Tan Sri Haji Ab. Rahim Bin Datuk Tambi Chik PSM, DGSM, DPMJ, SSSA, AMN, PJK. Padang sekolah juga disediakan untuk kegiatan sukan dan pendidikan jasmani dan kesihatan. Pada tahun 1992 kantin pula diperbesarkan.

 

BAGAIMANA SEKOLAH INI MENDAPAT NAMA ?

Sekolah KebangsaanTelok Mas mendapat nama daripada nama Kampung Teluk Mas sendiri. Menurut cerita Tuan Haji Bokhari ( Penghulu Kampung Teluk Mas ) Kedudukan Kampung Teluk Mas yang terletak berhampiran dengan Pantai Selat Melaka dan fizikal bentuk muka buminya berteluk.

 

Menurut sejarah yang disampaikan secara turun-temurun, orang-orang Bugislah yang telah meneroka dan membangunkan Kampung Teluk Mas ini, nama-nama seperti Daing Othman,dan Daing Siang sudah tidak asing lagi bagi penduduk di kampung ini.

 

Jalan Raja Haji, Jalan Daing Tawi, Kampung Tambak Bugis dan Batu Bugis adalah nama-nama peninggalan sejarah orang Bugis di kampung ini.

 

Pada suatu hari seorang nelayan pergi menjala udang di kawasan teluk. Di jalanya telah tersangkut beberapa ketulan emas kecil. Berita penemuan ini telah mendorong nelayan terutama dari kawasan Bandar Hilir datang beramai-ramai mencari emas di kawsan laut berhampiran Teluk Mas. Mereka mengumpul sebanyak mungkin dan memunggah emas ke dalam sampan. Rasa tamak telah menguasai diri mereka. Dengan takdir Allah, sampan yang penuh dengan emas tersebut telah terbalik dan kesmua emas tadi jatuh ke dasar laut.

 

Peristiwa tersebut telah menjadi pengajaran bagi semua penduduk kampung. Sebagai mengingati peristiwa tersebut penduduk kampung menamakan kampung mereka dengan nama Kampung Teluk Mas dan kekallah sehingga sekarang.

 

Begitulah secara ringkas kewujudan nama Teluk Mas.

 

PENGASAS SEKOLAH

Pihak pengurusan sekolah masih belum mendapat bukti yang jelas dan tepat tentang siapakah yang bertanggungjawab mengasas dan menubuhkan Sekolah Kebangsaan Teluk Mas pada awal tahun 1850-an. Ketiadaan bukti sejarah amat sukar untuk mengenal siapa pengasas penubuhan sekolah ini. Walau bagaimanapun melalui temubual dan cerita masyarakat setempat, kemungkinan besar penubuhan sekolah terawal bermula semasa penempatan orang Bugis selepas kegagalan mereka menawan Kota Melaka daripada pemerintahan Belanda pada tahun 1641.

 

Daripada beberapa perbualan dengan masyarakat tua di kampung ini dipercayai bahawa Daing Othman dan Daing Siang adalah orang yang bertanggungjawab mendirikan institusi pendidikan yang berupa sebuah pondok untuk mendidik anak-anak mempelajari agama Islam dan membaca kitab suci Al-Quran. Kita semua maklum bahawa orang Bugis amat patuh dan taat kepada agama Islam terutama pada zaman pemerintahan Raja Haji dahulu.

 

Akibat daripada pembangunan ilmu pendidikan, kaedah pengajaran telah dipelbagaikan dan kanak-kanak di ajar menulis dan membaca tulisan jawi. Saad Bin Daing Othman memperkembangkan institusi pendidikan dengan mendirikan sebuah bagsal yang agak selesa dan kemas. Bertitik tolak daripada usaha inilah masyarakat setempat telah bersatu tenaga dan bermuafakat mendirikan sebuah bangunan daripada papan untuk dijadikan sekolah bagi mendidik anak-anak tempatan. Usaha ini diteruskan oleh anak beliau yang bernama Haji Muhammad Bin Haji Saad.

 

Haji Muhammad Bin Haji Saad adalah cucu kepada Daing Othman. Beliau dilahirkan pada 28 Februari 1903 di Kampung Teluk Mas. Beliau mendirikan rumahtangga pada 28 Februari 1928 dan dikurniakan 2 orang nak perempuan dan seorang nak lelaki. Beliau menjadi pengasas penubuhan sekolah rendah rakyat pada masa tersebut. Usaha beliau yang memberikan bantuan tenaga dan sumber kewangan bagi mendirikan bagunan sekolah rendah amat dikagumi rakyat tempatan.

 

Beliau menjadi seorang guru dan mengajar di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek dan kemudian bertukar ke Sekolah Kebangsaan Telok Mas dan bertukar ke Sekoah Kebangsaan Batu Gajah. Beliau kemudiannya ditugaskan di Sekolah Kebangsaan Teluk Mas semula dan bersara di sini. Beliau meninggal dunia pada 10 Disember 1984 akibat sakit tua.

 

Segala usaha dan bakti beliau amat dihargai dan disegani oleh seluruh penduduk Kampung Teluk Mas khususnya dalam menjayakan penubuhan sekolah serta kejayaan yang diperolehi.

 
aluan
sejarah
motto
organisasi
aktiviti sekolah
sekolah siber
lencana
bendera
lagu
kementerian pendidikan malaysia
senarai nama guru

   ---------