Wardina patut bergelar artis Melayu paling popular
Saudara Pengarang,
WARDINA Saffiya adalah artis yang sepatutnya diberikan gelaran artis Melayu
paling popular berbanding Siti Nurhaliza. Ini kerana Wardina mempunyai keistimewaan ciri-ciri gadis Melayu yang patut dicontohi oleh golongan muda-mudi masa kini. Di samping itu, Wardina mempunyai pendidikan yang tinggi. Gelaran tersebut tidak sepatutnya diberikan kepada Siti Nurhaliza.
- TIGA SERANGKAI, Cheras, Kuala Lumpur.-
Antara Siti dan Wardina
SURAT PERTAMA
Saudara Pengarang,
SAYA merujuk kepada tulisan Tiga Serangkai, Cheras, Kuala Lumpur, bertarikh 22 Oktober 2001. Siti Nurhaliza adalah artis yang paling layak menerima anugerah artis paling popular memandangkan nama Siti yang paling top di ketika ini jika dibandingkan dengan lain-lain artis sama ada artis di bidang nyanyian, lakonan mahupun juruhebah. Pemilihan Wardina Saffiya sebagai artis paling popular atau artis Melayu paling popular seperti yang dikehendaki oleh Tiga Serangkai adalah tidak tepat jika hanya kerana Wardina bertudung yang dikatakan mempunyai ciri-ciri gadis Melayu dan berpendidikan tinggi. Siti juga menampilkan kesopanan gadis Melayu dan berpendirian teguh dalam kerjayanya, termasuk enggan bergambar dengan lelaki. Lagipun tidak dapat dinafikan lagi Siti telah menerima banyak anugerah yang menunjukkan kehebatannya dalam bidang seni suara ini. Mungkin Wardina akan menerima anugerah di masa akan datang. Siapa tahu?
-IDA, Gombak.-
SURAT KEDUA
Saudara Pengarang,
MERUJUK kepada surat yang dihantar oleh Tiga Serangkai, saya ingin membalas komen mereka. Pada pendapat saya, Siti Nurhaliza atau Wardina Saffiya adalah artis remaja yang terbaik masa kini. Kedua-duanya nampilkan imej yang sopan yang wajar dicontohi dan diikuti oleh remaja Malaysia. Malangnya isu yang diutarakan oleh Tiga Serangkai kurang memihak kepada Wardina. Persembahan dan gaya penampilan Siti Nurhaliza lebih terserlah berbanding Wardina di mana-mana rancangan hiburan di TV dan radio.
Penganugerahan Bintang Popular tidak seharusnya diukur kepada tahap pendidikan atau gaya pakaian seseorang. Penilaian populariti adalah hak peminat-peminat muzik tanah air. Dengan menerima anugerah diraja, perakuan Malaysia Book of Records, di samping anugerah popular pilihan para peminat, jelaslah bahawa Siti Nurhaliza paling popular. Di segenap pelosok bandar dan desa, malah di istana-istana, suara dan nama Siti Nurhaliza kedengaran lebih kerap daripada artis-artis lain. Kepada Tiga Serangkai dan peminat-peminat fanatik Wardina serta artis lain, terimalah hakikat ini. Janganlah dipertikaikan kemenangan Siti Nurhaliza. Dalam masa yang sama berikanlah galakan kepada artis-artis kesukaan masing-masing agar mereka lebih bersemangat dan berusaha memajukan diri. Kepada artis-artis lain,inilah cabaran yang wajar disahut demi mengembangkan industri muzik negara.
- SYAZRIL@IGIDI.NET MY.-
SURAT KETIGA
Saudara Pengarang,
SAYA terpanggil untuk mengulas tentang isu Artis Wanita Melayu Paling Popular masa kini. Nyata ada kelompok yang menyokong dan ada yang menentang gelaran yang diberikan kepada Siti Nurhaliza iaitu Artis Melayu Paling Popular. Begitu juga bagi Wardina Saffiya. Di bawah ini saya perturunkan beberapa persoalan bagi semua peminat Siti Nurhaliza dan Wardina.
* Adakah selama ini kedua-dua artis ini pernah membuat pengumuman yang
mendakwa diri masing-masing adalah Artis Melayu Yang Paling Popular? Kalau tidak silap, rasanya belum pernah.
* Mereka berdua mempunyai keistimewaan tersendiri, baik dari segi penampilan atau tingkah laku, adab sopan dan sebagainya.
Jadi sebagai peminat, ambillah teladan di atas perkara baik yang ditonjolkan oleh kedua-dua mereka. Kedua-duanya memberikan sumbangan sebagai penyanyi Melayu yang ideal.
* Gelaran yang diterima oleh mereka hari ini adalah atas kehendak peminat. Jadi tidak perlu para peminat saling mempertikai idola mereka. Tentulah kedua-dua artis ini tidak mahu peminat bercakaran kerana mereka. Jadi,
nasihat saya kepada peminat-peminat kedua-dua artis ini, silalah bersikap rasional.
* Kasihanilah kedua-dua artis ini. Apa salah mereka? Biarlah mereka meneruskan kehidupan di muka bumi ini dengan aman. Kalau anda peminat setia mereka, lebih elok anda mendoakan keselamatan, kebahagiaan dan supaya mereka sentiasa disenangi oleh semua.
Akhir kata, saya merayu hentikanlah perbuatan saling mempertikai kedua-dua artis ini supaya jiwa mereka sentiasa tenang.
- ISMAIL HJ. SEYDALAVI, Kuala Lumpur.-
Jangan bandingkan Siti, Wardina
KAMI menerima banyak surat daripada pembaca selepas pandangan `Tiga
Serangkai' disiarkan pada 22 Oktober 2001. Hanya sebahagian daripada
surat-surat itu dapat disiarkan.
Dengan itu isu mengenai Siti Nurhaliza dan Wardina Saffiya juga ditutup.
-PENGARANG-
SURAT PERTAMA
Saudara Pengarang,
KENAPA banyak orang membuat komen dan membandingkan Wardina dengan Siti Nurhaliza? Yang memberi sokongan kepada Wardina mungkin tidak sukakan Siti. Tetapi janganlah membanding-bandingkan sesama artis.
Siti adalah penyanyi dan Wardina adalah pelakon. Mereka adalah artis tetapi dalam dua bidang yang berbeza. Tentulah tidak adil untuk membuat perbandingan populariti antara dua artis yang berbeza bidang karier.
- ABIC YUS @HOTMAIL COM, Pulau Pinang.-
SURAT KEDUA
Saudara Pengarang,
JANGANLAH kerana Wardina Saffiya bertudung maka beliaulah paling istimewa dan patut dicontohi oleh muda-mudi masa kini. Kita patut melihat dari semua aspek. Saya bukanlah membela sesiapa tetapi saya rasa apa yang dinyatakan oleh `Tiga Serangkai' adalah tidak tepat. Siti Nurhaliza bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi bersuara lunak, tetapi lemah-lembut, bersopan santun serta tidak meninggi diri. Segala sifat-sifat terpuji ini telah dapat kita semua saksikan sendiri dan sering diperkatakan oleh para wartawan kita. Pernahkah kita melihat beliau berpakaian menjolok mata? Pernahkah kita mendengar berita ataupun gosip tentang tingkah laku beliau yang kurang sopan? Jawapannya tidak. Bekas-bekas guru Siti pernah menceritakan betapa Siti aktif di bidang kokurikulum dan pernah terpilih sebagai pelajar yang berketerampilan. Saya percaya jika Siti berpeluang melanjutkan pelajarannya tentu sekali beliau akan dapat pergi jauh dari apa yang kita sangkakan. Gelaran artis Melayu paling popular ini adalah merupakan satu anugerah yang paling layak untuk Siti Nurhaliza. Ini terbukti apabila anak saya yang berumur 3 tahun menjeritkan nama Siti Nurhaliza
setiap kali wajahnya muncul di TV atau majalah.
- PEMINAT IKHLAS, Ipoh, Perak.
SURAT KETIGA
Saudara Pengarang,
SAYA juga ingin mengulas komen Tiga Serangkai mengenai Wardina patut bergelar artis Melayu paling popular. Saya tidak bertujuan memihak kepada sesiapa. Bagaimanapun, pada pendapat saya artis paling popular bukan terletak kepada taraf pendidikan, tetapi ia terletak kepada sifat dan kelakuan serta penampilannya di khalayak umum daripada mula dia bergelar artis serta kemajuannya di dalam dunia artis. Kalau Wardina patut diberi gelaran itu atas kesopanannya, saya menentang habis-habisan. Bagi saya, Siti adalah artis yang paling sopan kerana dia tidak pernah berpegangan tangan apatah lagi memicit kepala seorang lelaki seperti yang dilakukan Wardina di dalam Spanar Jaya yang ditayangkan di ntv7 pada Sabtu 2 Oktober 2001.
-PENYOKONG ARTIS TEMPATAN, Brickfields, Kuala Lumpur.-
SURAT KEEMPAT
Saudara Pengarang,
PELAKON Wardina Saffiya memang layak mendapat gelaran artis Melayu paling sopan, bukannya Siti Nurhaliza. Ciri-ciri gadis Melayu yang sejati ada pada Wardina. Walaupun Siti Nurhaliza sudah banyak memberi sumbangan dari segi muzik, dia masih tidak layak untuk diberi anugerah gadis Melayu paling sopan dan menepati ciri-ciri peribadi seorang gadis Melayu. Siti memang sopan tetapi Wardina lebih nampak sopan berbanding Siti Nurhaliza.
Tambahan lagi Wardina mempunyai pendidikan yang tinggi dan ini sepatutnya
dijadikan contoh kepada artis-artis muda yang masih di bangku sekolah.
Siti pernah berkata bahawa dia mungkin menyambung pelajarannya (tidak lama dahulu). Tetapi selepas SPM dan mendapat pangkat 2, langsung tidak kedengaran lagi cita-citanya hendak menyambung pelajaran. Barangkali beliau tidak perlu menyambung pelajaran setelah bergelar artis nombor 1 Malaysia.
Oleh itu, artis seperti Wardinalah yang sebenarnya kita perlukan. Berbakat,
berpendidikan tinggi dan mempunyai peribadi yang sopan.
- KAMPUS SEROJA, Kuala Lumpur. -
APA KATA SITI?????
Siti menegaskan " Siti terkejut juga bila cerita sebegini menjadi isu dan diperbesar-besarkan. Bagi Siti, cerita yang ditimbulkan ini tidak perlu diperbesar-besarkan kerana setiap individu mempunyai hak dalam membuat sesuatu keputusan. Tapi kalau boleh keputusan yang dibuat itu bijak dan berlandaskan elemen-elemen positif. Bukanya apa, Siti tak mahu cerita-cerita sebegini, peminat bertelagah sesama sendiri dan rasanya ia tidak perlu diperdebatkan. Setiap artis mempunyai pembawakan dan perwatakan mereka tersendiri dalam memainkan peranan sebagai 'role model' kepada peminat. Tak semua artis boleh dinilai dari sudut negatif bila mereka tidak bertudung.
APA KATA DINA?????
KATA Wardina: ``Saya mahu dikenali sebagai pelajar.''.
CANTIK itu universal dan subjektif. Bak kata pepatah Inggeris yang popular, beauty lies on the eyes of the beholder. Jadi tidak harus timbul sebarang perbandingan tentang siapa paling cantik, kata Wardina Saffiah Fadulullah. Pelakon manis itu cuma tersenyum apabila ditanya apakah perasaannya apabila peminat membuat perbandingan antara dirinya dengan penyanyi popular Siti Nurhaliza.
Siapakah wanita Melayu paling cantik dan sopan? Peminat Wardina dan Siti membuat hujah mereka tentang isu tersebut tidak lama dulu. Ini merupakan senario biasa dalam dunia hiburan apabila membabitkan peminat kerana hujah peminat sering kali bias terhadap artis kegemaran mereka.
Tetapi bagi Wardina, 22, isu itu cuma satu persoalan remeh yang tidak harusdiperbesar-besarkan. ``Saya percaya pada masa ini lebih banyak isu lain yang boleh mereka (peminat) berikan pendapat. Misalnya peperangan, kesengsaraan dan perjuangan hidup. ``Bukanlah bergaduh dalam soal seperti ini. Lagipun siapalah saya untuk dibandingkan dengan Siti,'' komen Wardina. Artis itu mempercayai setiap individu ada kecantikan tersendiri. Namun soal kecantikan rupa paras yang sementara itu bukan sesuatu yang perlu dibanggakan.
``Saya percaya cantik dalaman dan jiwa itu lebih penting dalam hidup. Saya akui masih banyak yang harus saya perbaiki tentang diri saya ini,'' jawabnya. Sebagai artis yang sentiasa menghargai peminatnya Wardina berterima kasih terhadap mereka yang masih memberi sokongan terhadapnya walaupun dia sudah jarang tampil di media. Namun dia mengakui perasaannya tidak tenang apabila persoalan seperti perbandingan dengan Siti dibangkitkan.
``Apa yang saya harapkan ialah andai benar peminat menyayangi saya berdoalah saja agar saya sentiasa mendapat petunjuk daripada Allah,'' katanya dalam nada sedikit hiba.
Sejak bertudung dan melanjutkan pelajaran, Wardina jarang muncul di media. Pergaulan dan corak kehidupannya juga sudah jauh berubah tetapi Wardina menganggap perubahan itu adalah satu kebaikan dalam hidupnya. ``Perkara yang sudah itu sudahlah. Apa yang penting ialah kita cuba memperbaiki diri untuk menjadi orang yang lebih baik. Saya percaya semua orang berkeinginan seperti itu. ``Saya percaya Allah akan sentiasa memberikan kita petunjuk,'' katanya.
|