Hati ke hati: `Usah letak semua kesilapan ke bahu saya'
ASSALAMUALAIKUM. Terlebih dahulu, saya mahu meminta maaf sekiranya kenyataan ini menyinggung perasaan mana-mana pihak yang membacanya, lebih-lebih lagi Raja Azmi, pegawai, kakitangan dan seluruh warga kerja Pengedaran JAS yang terbabit dalam penerbitan C200E.
Kenyataan ini bukan bertujuan mendatangkan aib atau keburukan kepada sesiapa, tetapi sekadar memberikan penjelasan sebenar agar kontroversi yang berlaku ke atas filem itu tidak berpanjangan dan dapat diselesaikan.
Umumnya, saya terkejut dengan segala kenyataan yang dikeluarkan Raja Azmi seperti mana tercatat dalam akhbar sisipan ini minggu lalu. Rasa sedih dan kecewa pun ada juga kerana setiap kenyataan yang dikeluarkannya itu menjadikan saya sebagai subjek utama - punca segala-gala masalah yang melanda filem ini.
Bagi saya, Raja Azmi sekadar mahu menegakkan benang yang basah. Dia tidak mendedahkan
perkara yang sebenarnya kepada pihak media, begitu juga orang ramai yang sekali gus
meletakkan semua kesalahan dan kesilapannya ke atas bahu saya. Ini tidak adil dan saya
anggap satu penganiayaan.
Dia mungkin sudah tersilap dalam menilaikan tindakan saya. Saya bukannya mahu saman dia
tetapi sekadar mahu memberikan peringatan dan kesedaran kepadanya demi kebaikan semua
pihak. Ia juga bertujuan mempertahankan hak kepentingan saya, nama baik, maruah diri dan
keluarga saya, termasuklah suami.
Itulah yang paling penting. Tentunya saya tidak mahu memalukan mereka dengan apa yang
diperlakukan Raja Azmi terhadap saya. Lagipun, nama baik dan maruah bukannya benda yang
main-main. Sekali nama baik dan maruah kita tercemar, sampai mati pun orang akan ingat.
`Kesilapan paling besar saya lakukan'
APAPUN, saya akui memang ada kesilapan yang saya lakukan sepanjang pembikinan C200E.
Malah, menerima tawaran Raja Azmi membintangi C200E adalah kesilapan paling besar pernah
saya lakukan dalam hidup ini! Sesungguhnya, saya menyesal dengan apa yang berlaku.
Salahnya saya juga kerana tidak bertegas dengan mereka, baik Raja Azmi mahupun pengarah
filem itu. Saya rasa betul-betul dipergunakan. Tapi, Raja Azmi kenalah menghargai komitmen
saya terhadap pembikinan filem itu. Tidak pernah ada masalah pun yang saya timbulkan
sepanjang pembikinannya.
Saya beri mereka 100 peratus komitmen. Itupun sebab saya sudah menanda tangani kontrak
dan terima bayaran. Tapi, tidak sangka komitmen dan kerjasama yang saya berikan
disalahgunakan.
Mengenai saya minta potong beberapa adegan C200E, saya rasa ada juga orang yang salah
faham. Sebenarnya, Raja Azmi pun sedia maklum mengenai perkara ini. Malah, dia pun sudah
berjanji dengan saya untuk memotongnya.
Tapi, dia cakap saja tapi tidak buat pun. Janji tinggal janji sampailah sekarang.
Bukan banyak sangat pun, cuma empat babak saja dan ia tidak akan menjejaskan perjalanan
filem itu pun. Bukan apa, adegan itu dirakamkan tanpa kerelaan saya. Pada pandangan saya,
keempat-empat adegan itu tidak manis malah tidak mempunyai apa-apa kepentingan pun
terhadap C200E.
Saya memberikan tumpuan kepada adegan Rashid memegang tangan saya. Dia (Rashid) buat
begitu atas arahan pengarah yang kononnya mahu menghidupkan filem itu. Yang menyakitkan
hati, Rashid pegang tangan saya ketika `camera rolling'. Jadi, saya tidak boleh berbuat apa-apa.
Itu sudah jatuh hukum salah. Ia satu bentuk harassment. Tidak dapat digambarkan perasaan
saya ketika itu, semua bercampur baur. Apatah lagi, saya keseorangan ketika itu. Ayah
kebetulan tiada di situ, begitu juga pembantu peribadi saya. Saya rasa marah dan malu yang
teramat sangat.
Sebenarnya, saya pun rasa pelik juga. Mengapa dan kenapa mereka memperlakukan saya
sedemikian rupa? Padahal, mereka sudah tahu saya tidak suka melakonkan babak seperti itu
kerana ia bercanggah dengan prinsip, pendirian dan imej wanita muslimah yang saya bawa
selama ini. Mereka pun tahu batas-batas itu. Apakah mereka tidak boleh berfikir?
Satu lagi babak ialah saya dipaksa menari dengan Rashid yang tidak berbaju. Tidak tahulah pada
orang lain, tapi pada pendapat saya, kalau seseorang itu tidak berbaju, itu sudah dikira separuh
bogel. Rasionalnya, manis ke seorang wanita bertudung dan berpakaian lengkap menutup aurat
menari dengan lelaki separuh bogel yang bukan muhrimnya?
Saya sedar, mungkin orang boleh mengatakan ia sekadar lakonan. Tapi, saya masih ada
pegangan saya sendiri. Tentunya, adegan ini pelik dan tidak manis pada pandangan umum,
khusus masyarakat kita yang kaya dengan tatasusila, nilai murni dan adat ketimuran.
Raja Azmi mungkin lupa asal usul diri
SAYA pernah bersuara dan membantah adegan itu dari terus dibuat dan ditayangkan. Tapi,
Raja Azmi selaku produser C200E dan pengarahnya tidak nampak adegan itu salah. Mungkin,
Raja Azmi dan pengarah filemnya sudah lupa asal-usul mereka atau barangkali cara hidup
mereka sudah terlalu kebaratan.
Ada lagi beberapa adegan lain lagi seperti babak saya di disuruh menghisap rokok. Tentunya,
tidak manis wanita berimejkan muslimah terkinja-kinja menghisap rokok (dalam babak itu
Wardina cuba memegang rokok dan meletakkan di bibir tanpa menyalakannya). Bayanglah
betapa malunya jika adegan itu disiarkan untuk tatapan umum.
Kelak, saya akan dipandang hina. Semua keburukan akan pergi pada saya bukannya Raja Azmi
ataupun pengarah dan pelakon lain. Sebenarnya, saya melihat semua kemungkinan ini. Sebab
itulah, saya mengambil tindakan tegas di atas khidmat nasihat peguam peribadi saya.
Mengenai saya dikatakan tidak `turun padang' dan bersama-sama mereka mempromosikan
C200E, semuanya karut. Untuk pengetahuan semua, saya pernah menghubungi Raja Azmi bagi
membincangkan perkara ini. Saya cakap, saya agak sibuk dengan jadual kuliah saya. Tapi, saya
masih cuba menyusun jadual pengajian saya itu supaya dapat sama-sama mempromosikan
C200E.
Ada sekali dua orangnya menghubungi saya. Ketika itu, masa, tarikh dan tempat promosi masih
belum disahkan lagi. Tapi, sekali dua itu sajalah kerana selepas itu mereka tidak hubungi saya
lagi. Jadi, adakah patut saya pula dikatakan tidak komited dengan aktiviti promosi C200E?
Mahu bersara dari dunia lakonan?
SAYA sebenarnya malas untuk panjangkan cerita ini. Lagipun, semua tindakan saya mengikut
prosedur dan segala nasihat yang diberikan peguam saya. Saya memang tidak sukakan
kontroversi, tapi mungkin Raja Azmi suka. Kononnya, kontroversi boleh melariskan filem ini dan
menarik penonton ke pawagam.
Dia pernah menyatakan kepada saya mengenai hal kontroversi filem sebelum ini. Tapi,
hakikatnya Tuhan saja yang tahu. Dengar cerita, filem ini kurang mendapat tempat di pasaran.
Saya rasa, penonton kita sudah semakin bijak membuat penilaian mereka.
Apapun, satu hari nanti saya akan meninggalkan juga dunia lakonan. Jika kita terus mahu
berpegangan tangan, berpelukan dan bercium dengan bukan muhrim kita setiap kali berlakon,
lebih baik saya lupakan saja dunia lakonan. Lihat macam Julia, drama bersiri terbaru saya di
Astro. Ia tetap mendapat sambutan baik penonton walaupun tidak ada babak pegang tangan,
peluk cium orang lain. Kita boleh buat cerita macam itu.
Kalau beginilah keadaannya, rasanya, saya lebih rela berhenti berlakon daripada terus
melakukan apa yang pada pandangan saya bercanggah dengan tuntutan agama dan hukum
Allah. Apa yang halal tetap halal. Apa yang haram tetap haram. Hormatilah sedikit pendirian
dan pegangan saya ini. Wassalam.
Tolong faham keadaan saya -Wardina
SEBAIK saja mendirikan rumah tangga dengan arkitek tampan, Ikhwan Johari,
pada 12 September lalu, pelakon bertudung yang cukup popular, Wardina Safiyyah
Fadlullah Wilmot dilihat semakin menjauhkan diri dari dunia seni.
Publisiti mengenai dirinya juga semakin berkurangan. Cuma lakonannya sahaja
yang dapat ditonton menerusi drama bersiri Julia yang kini ditayangkan di saluran
Astro Ria.
Dalam pertemuan dengan Pancaindera, pelakon berdarah kacukan Australia-Acheh
ini dengan panjang lebar membuat penjelasan mengenai perkara itu.
Menurut Wardina, pada saat ini masanya cukup terbatas sekali kerana
pengajiannya dalam bidang hiasan dalaman di salah sebuah kolej di ibu negara
sudah memasuki tahun akhir.
``Tolong faham keadaan saya. Masa saya kini hanya cukup untuk dihabiskan pada
kuliah di samping menghadapi peperiksaan dan pelbagai perkara lain.
``Oleh itu saya tidak dapat memberikan komitmen untuk bidang seni dan saya
terpaksa lupakan seketika bidang itu,'' kata Wardina lagi.
Wardina juga mengakui, beliau tahu ada pihak yang melemparkan pelbagai
dakwaan dan rungutan berhubung kesukarannya memberikan komitmen.
``Saya yakin mereka tidak memahami kedudukan saya,'' jelas Wardina sambil
memberitahu bebanan kerja di kolej dan tanggungjawab sebagai isteri memaksa dia
mengurangkan tumpuan terhadap bidang lakonan.
Wardina berharap kenyataannya ini akan membuatkan pihak-pihak yang selama ini
menuduhnya sebagai tidak bertanggungjawab terhadap karier seninya akan
berubah pandangan.
``Saya faham, sukar untuk memuaskan hati semua pihak dan saya mengharapkan
penjelasan ini akan membuatkan semua orang faham kedudukan saya.
``Janganlah dengan mudah memarahi saya,'' ujar Wardina yang menolak beberapa
undangan berlakon ekoran kesibukannya di kolej.
Kata Wardina, kesibukan di penghujung pengajiannya semakin terasa apabila
terpaksa menghadiri kuliah sebanyak enam kali seminggu.
``Saya bersyukur kerana suami amat memahami keadaan saya dan dia banyak
memberi sokongan moral,'' sambungnya lagi.
Wardina memberitahu, keputusannya menjauhkan diri buat seketika daripada dunia
lakonan bukanlah dipengaruhi oleh suaminya.
``Suami saya tidak pernah menghalang saya meneruskan kerjaya seni, cuma
beliau selalu menasihat dan mengingatkan saya batas-batas yang perlu saya akur,''
kata beliau lagi.
Menceritakan mengenai pengalaman kali pertama beraya bersama suami, Wardina
dengan nada cukup gembira memberitahu, lebaran kali ini jauh lebih bermakna.
``Sudah tentu raya tahun ini berlainan daripada raya sebelum ini kerana saya perlu
membahagikan masa untuk beraya bersama dua keluarga,'' cerita Wardina yang
turut meraikan Syawal di kampung halaman Ikhwan di Johor selain di Kuala
Lumpur.
Wardina dan suami membuat persiapan secara ala kadar sahaja untuk sambutan
Hari Raya tahun ini kerana kesibukan masing-masing.
Ditanya mengenai cahaya mata, sambil tergelak kecil, Wardina berkata, pada
masa ini, beliau bersama suami perlu memberi tumpuan kepada kehidupan suami
isteri terlebih dahulu.
``Insya-Allah, kalau ada rezeki nanti kami tidak akan tolak, itu semua ketentuan
Tuhan,'' kata Wardina lagi.
Selepas tiga bulan bergelar isteri, Wardina juga memberitahu, kehidupannya hari ini
sungguh berlainan sekali.
``Saya gembira kerana kehadiran Ikhwan bukan sahaja sebagai suami tetapi dia
juga seperti seorang sahabat. Saya bersyukur kerana Tuhan mengurniakan pakej
yang istimewa sekali dalam hidup saya hari ini,'' katanya lagi.
Kepada muslimin dan muslimat, Wardina mengambil kesempatan mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua.
``Raikan Syawal dengan sederhana yang mungkin,'' ujarnya mengakhiri perbualan.
|