Kandungan Cerita

  1. Turunlah Jibril Kepada Musa...
  2. Ada Sihat, Adalah Lazat
  3. Si Miskin Dengan 100 Bidadari Di Syurga
  4. Ajaib Sungguh Kejadian Dengan Si Fakir Itu
  5. Suara Dari Pusara
  6. Kahwinkanlah Aku! Kahwinkanlah Aku!

Turunlah Jibril Kepada Musa....

       Seorang wanita Bani Israil telah datang kepada Nabi Musa a.s. dan berkata; "Ya Nabiyallah, aku telah berbuat dosa besar dan kini aku akan bertaubat kepada Allah.  Doakan untukku semoga Allah mengampuniku dan menerima taubatku."

       Nabi Musa bertanya; "Apakah dosamu?"

"Ya Nabiyallah, aku telah berzina hingga mendapat anak dan telah aku bunuh anakku itu."

       Mendengar itu, Nabi Musa terus mengherdik; "Pergilah engkau dari sini hai pelacur.  Jangan kau bakar kami dengan apimu.  Jangan sampai ada api turun dari langit dan membakar kami kerana sialmu."

       Keluarlah wanita itu dengan hati yang hancur dan patah harapan.  Turunlah Malaikat Jibril dan berkata; "Hai Musa, Tuhan berkata kepadamu, mengapa engkau menolak orang yang datang untuk bertaubat? Hai Musa, apakah tidak ada orang yang lebih jahat daripadanya?

       Nabi Musa bertanya kepada Jibril; "Siapa yang lebih jahat daripadanya?"

       Jawab Jibril: "Orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja."

 

 

-  Dari Kitab Irsyadul 'Ibad Ilasabilirrasyad

Kembali ke atas

Ada Sihat, Adalah Lazat

       Seorang raja bernama Alhajjaj bin Yusuf tiba di suatu sumber air di antar Makkah dan Madinah.  Dia pun menyuruh pengawalnya mencarikan seseorang untuk menemaninya makan.

       "Carikan aku seseorang supaya aku juga dapat bertanyakan beberapa soalan."

       Para pengawal pun pergilah mencari hingga ke arah bukut dan di sana dilihat oleh mereka ada seorang Badwi.

       "Kamu dipanggil oleh raja."

       Segeralah Badwi itu bangun dan mengikut pengawal untuk mengadap Alhajjaj.

       "Cucilah tanganmu dan makan bersamaku," perintah Alhajjaj.

       "Aku telah menerima undangan yang lebih baik daripada tuan dan aku telah menyambutnya," jawab Badwi itu.

       "Siapakah?"

       "Allah Ta'ala memanggilku untuk berpuasa, maka aku kini berpuasa."

       "Apakah pada musim kemarau yang sangat panas ini?"

       "Aku berpuasa untuk menghadapi hari yang lebih panas dari ini."

       "Berbukalah hari ini dan besok saja kamu berpuasa."

       "Jika tuan dapat menjamin bahawa aku akan hidup hingga esok, aku akan berbuka."

       "Itu luar dari kekuasaanku."

       "Jika itu bukan urusan tuan, hal ini juga bukan urusan tuan."

       "Tetapi makanan ini sangat lazat," desak Alhajjaj lagi.

       "Lazat itu bukan disebabkan pandainya si tukang masak tetapi hanyak disebabkan oleh sihat tubuh badan."

        Maka kekallah Badwi itu dengan puasanya dengan meninggalkan pelbagai persoalan dalam diri Alhajjaj.

 

 

 

-  Dari Kitab Irsyadul 'Ibad Ilasabilirrasyad

Kembali ke atas

Si Miskin Dengan 100 Bidadari Di Syurga

       Ketika seorang soleh yang telah beribadat selamat 40 tahun bermunajat, tiba-tiba timbul perasaan ingin meminta pada Allah.  Lalu dia pun berdoa; "Ya Ilahi, tunjukkan padaku apa yang telah Engkau sediakan untukku dari bidadari.:

       Tidak semena-mena dinding mihrabnya terbelah dan keluar dari situ seorang bidadari.  Orang soleh berkenaan begitu terpegun dengan kecantikannya dan merasakan andainya bidadari itu keluar ke dunia, pasti berlaku fitnah yang besar kerana masing-masing akan dilanda kekaguman dan khayalan.

       Bidadari itu pun bersyair; "Engkau mengeluh pada Tuhan, sedang Dia telah mengetahui keluhanmu, dan Tuhan memberimu harapan dan kini telah menghalaukan ujian.  Dan mengutusku kepadamu untuk menjinakkan kamu, dan aku berbisik padamu sepanjang malam andainya kamu mendengar bisikan itu.  Pasti akan lebih asyik."

       Mendadak orang soleh itu bertanya; "Hai bidadari, untuk siapakah kamu?"

       "Untukmu."

       "Berapa banyak isteriku yang seperti kamu ini?"

       "100 dan tiap 100 bidadari mempunyai 100 pelayan dan setiap pelayan mempunyai 100 penghias dan tiap penghias mempunyai 100 kepada.?"

       "Wahai bidadari, apakah ada orang yang diberi lebih banyak daripadaku?"

       "Hai miskin, pemberian yang diberikan kepadamu ini adalah pemberian untuk orang-orang yang banyak dosa lalu membaca istighfar dan diampunkan oleh Allah.  Kemudian membaca istighfar pada tiap terbenam matahari dan diampunkan oleh Allah."

       Masya-Allah...

 

 

-  Dari Kitab Irsyadul 'Ibad Ilasabilirrasyad

Kembali ke atas

Ajaib Sungguh Kejadian Dengan Si Fakir Itu

       Alyaafi'i dari al-Junaid berkata; ketika aku duduk di Masjid Asysyuniziyah kerana menunggu untuk menyembahyangkan jenazah, tiba-tiba aku melihat seorang fakir yang meminta-minta.  Tergeraklah dalam hatiku; andaikan dia berusaha sehingga tidak meminta-minta, nescaya lebih baik baginya.

       Malamnya, aku bangun seperti biasa untuk sembahyang malam dan menangis.  Entah mengapa begitu berat kurasakan untuk menyelesaikan wiridku, hingga akhirnya aku tertidur seraya duduk.

       Rupanya aku bermimpi dihidangkan daging bagaikan panggangan kambing, tetapi ia berupa si fakir yang kulihat siang tadi.  Tiba-tiba ada suara mengatakan; makanlah dagingnya kerana engkau telah mengumpatnya.

       Tergeraklah dalam hatiku, aku tidak sampai membicarakannya kepada orang lain, hanya tergerak dalam hati sahaja.  Pertanyaan dalam perasaanku itu dijawab; seorang yang seperti kamu tidak layak berperasaan seperti itu, seolah-olah engkau tidak mengerti hikmah Allah.  Kerana itu, engkau mesti meminta maaf daripadanya.

       Aku terjaga dan segera kucari fakir itu.  Beberapa hari kemudian barulah aku temui dia sedang mengait sayur yang hanyut di dalam sungai.  Aku pun memberi salam kepadanya dan salamku bersambut.

       Tiba-tiba dia bertanya; "Apakah engkau akan mengulanginya lagi hai Abul Qasim?"

       Dengan terpegun aku menjawab' "Tidak."

       "Pulanglah, semoga Allah mengampunkan aku dan kamu.  Amin."

 

 

-  Dari Kitab Irsyadul 'Ibad Ilasabilirrasyad

Kembali ke atas

Suara Dari Pusara

       "Ketika aku masih kecil, aku selalu pergi ke kubur ayahku untuk membaca al-Quran," cerita Ibn Hajar.  "Suatu malam dalam bulan Ramadan Lailatulqadar, sedang aku membaca al-Quran di sisi pusara ayahku, tiba-tiba terdengar olehku suara rintihan, tangisan dan keluhan yang amat mengerikan."

       Cerita Ibn Hajar lagi; aku pun berhenti membaca al_Quran dan aku perhati dari manakah datangnya suara itu.  Setelah aku amat-amati, yakinlah aku suara itu datangnya dari satu kuburan tidak begitu jauh dari pusara ayahku.

       Ibn Hajar pun pulang dan dia tidak membuang masa untuk bertanya kepada orang-orang tua kubur siapakah itu.

       Seorang tua menjelaskan begini; "Aku masih kecil sewaktu orang itu mati dan dikuburkan di situ.  Yang aku tahu dia seorang yang sangat rajin sembahyang jemaah di masjid dan tidak banyak bicara."

       Mendengar ini Ibn Hajar semakin hairan.  Mengapa orang yang rajin ke masjid dan pendiam mendapat seksa demikian di dalam kuburnya?

       Kata Ibn Hajar; "Aku pun teruslah bertanya dengan sesiapa sahaja yang aku temui.  Akhirnya aku mendapat tahu rupanya orang itu sewaktu hayatnya pernah menjadi peniaga.  Pada mulanya dia peniaga biasa sehingga apabila telah agak tua dia mengendalikan perniagaan berunsur riba.  Dan dia mati dalam keadaan begitu."

       Andainya dalam bulan Ramadan dan Lailatulqadar masih tidak diringankan seksaannya, bagaimanakah keadaannya pada hari-hari biasa.

 

 

-  Dari Kitab Irsyadul 'Ibad Ilasabilirrasyad

Kembali ke atas

Kahwinkanlah Aku! Kahwinkanlah Aku!

       Seorang solehin dahulunya jika ditawarkan supaya berkahwin pasti menolak, tiba-tiba pada suatu hari dia bangun dari tidur dan berkata; "Kahwinkanlah aku, kahwinkanlah aku."

       Orang ramai pun bertanya; "Mengapa tiba-tiba kamu minta kahwin padahal selama ini engkau sentiasa menolak?"

       Jawabnya; "Semoga aku mendapat anak, lalu mati ketika masih kecil sehingga menjadi perintis bagiku ke Akhirat."

       "Apa maksud kata-kata kamu ini?" tanya orang lagi.

       "Aku telah bermimpi seakan-akan hari Kiamat telah tiba dan aku berdiri bersama orang ramai di Mahsyar, dengan rasa yang amat haus sehingga hampir mematahkan leherku.  Tiba-tiba aku nampak anak-anak kecil membawa gelas-gelas perak yang ditutupi sapu tangan dari cahaya.  Anak-anak itu mencelah-celah di kalangan orang ramai untuk memberi minum satu-satu.  Aku pun menghulurkan tanganku pada mereka dan berkata; berikan padaku kerana aku juga sangat haus.  Tiba-tiba anak-anak kecil itu melihat padaku dan berkata; anda tidak mempunyai anak di kalangan kami dan kami ini hanya memberi minum kepada ibu dan ayah kami.  Aku pun bertanya; siapakah kamu? Jawab mereka; kami anak-anak kecil yang mati dari kaum Muslimin.

 

 

-  Dari kitab Irsyadul 'Ibad Ilasabilirrasyad   

Kembali ke atas

Biodata | Ilmiah | Resepi | Petua Warisan | Koleksi Midi |