p.r.o.f.i.l.e
BINTANG ~ Kal_El's Tribute to Siti Nurhaliza







HERstory

Apabila nama Siti Nurhaliza Tarudin diumumkan sebagai juara Bintang HMI 1995, banyak yang menjangkakan nama itu akan bersinar sebagai bintang pujaan suatu hari nanti.

Ternyata pandangan tersebut tepat dan pemenang yang pada masa itu masih menuntut di tingkatan empat di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis, Pahang itu kini telah mencipta nama dan menjadi sebutan ramai.

Semasa di peringkat separuh akhir, bakat besar yang ada dalam diri penyanyi muda itu telah dikesan oleh komposer terkenal Adnan Abu Hassan. Untuk persediaan ke peringkat akhir, dia telah diasuh oleh Adnan.

Apabila Siti memilih untuk mengikat kontrak dengan syarikat rakaman Suria Records, banyak yang merasakan dia telah membuat pilihan yang tidak tepat kerana banyak lagi syarikat yang lebih besar ingin mengambilnya sebagai artis mereka.

Namun Siti mempunyai alasan tersendiri mengenai pilihannya untuk menyertai syarikat itu, antaranya kerana yakin dengan lagu-lagu ciptaan Adnan yang dianggap bersesuaian dengan suara dan cara penyampaiannya.

Ternyata apa yang dihajati oleh Siti mencapai matlamatnya apabila album pertama yang memuatkan lagu-lagu seperti Jerat Percintaan, Mahligai Asmara, Jalanan Berduri dan banyak lagi itu telah mengangkat namanya sebagai penyanyi yang popular.

Bukan setakat itu sahaja, malah Siti juga turut dipilih menerima anugerah penyanyi baru wanita terbaik di Anugerah Muzik Popular `96 yang diadakan di Singapura akhir tahun 1996 lalu.

Siti juga muncul sebagai penyanyi terbaik di Juara Lagu `96 anjuran TV3 juga telah menaikkan namanya. Apatah lagi dia berjaya menewaskan penyanyi Ziana Zain, Fauziah Latiff dan banyak lagi penyanyi popular.

Malah ketika masih bersekolah juga Siti pernah menjuarai beberapa pertandingan yang dianjurkan di sekitar Kuala Lipis antaranya sempena Karnival Lipis dan juga sempena sambutan Hari Merdeka pada tahun 1991.

Siti sebenarnya mewarisi bakat nyanyian daripada keluarganya. Ibunya adalah penyanyi lagu-lagu asli yang kerap mengadakan persembahan sekitar Pahang pada masa mudanya.

Malah pada usia 12 tahun Siti yang dilahirkan di Kampung Awah, Temerloh, Pahang ini pernah muncul menyanyi mengikuti band `Family Group' yang dipimpin oleh bapa saudaranya.

Siti dilahirkan di Temerloh ketika bapanya, seorang anggota polis bertugas di di sana. Alam persekolahan Siti bermula di peringkat tadika di Temerloh.

Sebagai anak anggota polis, Siti dan keluarga tinggal di berek polis. Sebagaimana budak-budak lain Siti mempunyai banyak kawan di kalangan anak-anak polis.

Semasa kecil Siti adalah seorang kanak-kanak yang nakal dan lasak. Antara aktiviti kegemarannya ialah bermain basikal dan lompat getah bersama kawan-kawan.

Kegemaran kepada aktiviti lasak berterusan sehingga dia ke sekolah rendah dan sekolah menegah. Kegemarannya itu membawa dia bergiat aktif di dalam aktiviti sukan sekolah.

Antara sukan yang disertainya ialah hoki, bola baling, bola jaring, bola tampar dan beberapa lagi. Dia adalah antara pemain yang mengharumkan nama Sekolah Menengah Clifford.

Bagaimanapun sikapnya yang periang dan lasak berubah menjadi seorang yang pendiam dan pemalu apabila meningkat remaja. Namun di kalangan rakan rapat, sifat pemalu Siti hilang.

~: ETC :~

Profile:

Personal Details

HERstory






© Kal_El 1997-98. All Right Reserved.


|main| |prologue| |profile| |albums| |awards| |gallery| |articles| |guestbook|