Himpunan Hadith Rasulullah s.a.w.
Jenis-Jenis Hadith Solat Hadis kumpulan Imam Nawawi Silaturrahim

Jenis-Jenis Hadith
Sunnah Perkataan: perkataan yang diucapkan oleh rasulullah s.a.w.

Sunnah Perbuatan: perlakuan rasulullah s.a.w. Contohnya. Hadith baginda: bersembahyanglah kamu seperti mana kamu melihat aku sembahyang. (Bukhari & Muslim)

Sunnah Tarqir: rasulullah berdiam diri dan redha atas satu perkara. Contohnya rasulullah s.a.w. berdiam diri dalam kisah para sahabat yang bertentangan pendapat mengenai solat asar. Dalam satu perjalanan, para sahabat telah disuruh oleh rasulullah untuk jangan bersembahyang sebelum tiba di Bani Quzairah. Dalam perjalanan, waktu asar hampir tamat tetapi mereka belum sampai. Ada sahabat yang mentakhir solat asar di waktu maghrib tetapi ada yang memahami bahawa rasulullah sebenarnya menyuruh mereka bersegera. Oleh itu mereka bersolat asar walaupun belum tiba. Kedua-duanya diterima.

1. Hadith mutawatir

Hadith yang diberitakan oleh ramai sahabat. Bilangannya begitu ramai sehingga mustahil ia adalah dusta.

2. Hadith masyhur

Hadith yang diriwayatkan oleh sekurang-kurangnya tiga orang. Hadith ini sekurang-kurangnya diberitakan oleh tiga sanad yang berlainan. Contoh, satu hadith yang diriwayatkan oleh tiga orang; Muslim, Bukhari dan Tarmidzi. Manakala sanad setiap imam berbeza orang-orangnya. (Sanad: orang-orang di dalam perjalanan hadith)

3. Hadith sahih

Hadith yang mana sanadnya:
I) Bersikap adil. Islam, berakal waras, baligh dan tidak melakukan dosa besar.
II) Orang cukup kuat ingatannya
III) Orang yang sejahtera dan tidak mempunyai kecacatan yang boleh menjejaskan penyampaian hadith.

4. Hadith hassan

Hampir serupa dengan hadith sahih tetapi ada diantara sanadnya mempunyai kelemahan dalam daya ingatan.

5. Hadith hassan sahih

Mempunyai perjalanan hassan dan sahih.

6. Hadith daif (lemah)

Tidak mengikut syarat-syarat hadith hassan. Iaitu lemah sanadnya. Sesetengah ulama membolehkan penggunaan hadith daif hanya dalam menggalakkan sesuatu amalan atau kebaikan, tetapi tidak boleh diguna sebagai sumber hukum.

7. Hadith Maudu (palsu)

Tidak dapat dibuktikan hadith rasulullah. Contohnya tidak diketahui sanadnya. Fitnah ini berlaku bermula pada zaman Khalifah Uthman di mana hadith palsu telah dicipta untuk mempertahankan aliran peribadi. Contoh hadith palsu: "Barangsiapa ingin melihat kepada Adam tentang ketinggian ilmunya, dan kepada Nuh tentang ketakwaannya dan baktinya, dan kepada Ibrahim tentang kebaikan hatinya, dan kepada Musa tentang kehebatannya, dan kepada Isa tentang ibadatnya, maka hendaklah ia lihat pada Ali (saidina Ali). Hadith yang diada-adakan oleh golongan syiah.

Rasulullah s.a.w. melarang mengada-adakan hadith palsu. Sabdanya; Janganlah kamu berdusta atas namaku, kerana bahawasanya barang siapa yang berdusta atas namaku, masuklah dia ke dalam neraka. (Muslim)

Solat
1. Kepentingan solat

Sabda rasulullah s.a.w.: Amal yang pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain. (Thabrani)

2. Jangan meninggalkan solat

Sabda rasulullah s.a.w.: Seseorang yang terluput solatnya adalah umpama seorang yang telah hilang segala kekayaan dan keluarganya.

Sabda rasulullah s.a.w.: Seorang yang meninggalkan solatnya akan diam didalam neraka selama satu huqub. (Satu huqub bersamaan lapan puluh tahun yang terdiri dari tiga ratus enam puluh hari setahun, dan satu hari di akhirat bersamaan seribu tahun didunia)

3. Solat menghapuskan dosa

Sabda rasulullah s.a.w.: Solat lima waktu (sehari semalam) dan jumaat hingga jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar. (Muslim)

Kisah baginda bersama Abu Zar di waktu daun-daun keguguran. Sabda rasulullah s.a.w.: Ya Abu Zar! Apabila seorang islam menunaikan solatnya kerana Allah, dosanya gugur seperti daun-daun ini gugur dari pohon ini.

4. Kepentingan solat berjemaah

Sabda rasulullah s.a.w.: Solat dengan berjemaah adalah dua puluh tujuh kali lebih baik daripada solat bersendirian.

Sabda rasulullah s.a.w.: Sesorang yang solat berjemaah selama empat puluh hari tanpa ketinggalan takbir yang pertama mendapat dua jaminan: satu keselamatan dari neraka dan dua bebas dari nifaq.

Sabda rasulullah s.a.w.: Aku ingin supaya dapatku suruh budak-budak mengumpul kayu api yang banyak untukku dan kemudian daku pergi dari rumah ke rumah orang-orang yang solat di rumah masing-masing tanpa sesuatu uzur dan membakarnya.

Hadis kumpulan Imam Nawawi
1. Berkenaan niat

Sabda rasulullah s.a.w: Hanya segala amal dengan niat dan bagi tiap-tiap orang apa yang diniatkan. Maka barang siapa hijrahnya kepada Allah dan rasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan rasulNya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang dia akan memperolehinya atau perempuan yang ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia berhijrah kepadanya itu. (Muslim)

2. Rukun Islam

Sabda rasulullah s.a.w.: Didirikan Islam atas lima rukun; syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah, dan puasa di bulan ramadan. (Bukhari dan Muslim)

3. Mencegah kemungkaran

Sabda rasulullah s.a.w.: Barangsiapa diantara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya dia tiada berkuasa, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya. Jika sekirannya tiada berkuasa juga, maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (mengubah dengan hati) adalah selemah-lemah iman. (Muslim)

4. Meninggalkan yang tidak jelas.

Sabda rasulullah s.a.w. :Yang halal itu sudah jelas, dan yang haram itu pun sudah jelas. Dan diantara keduanya itu ada beberapa perkara yang masih samar-samar. Tidak ramai mengetahuinya adakah ia halal atau pun haram. Maka barang siapa yang meninggalkan yang samar itu kerana hendak membersihkan agamanya dan kehormatannya, maka selamatlah dia. Dan barang siapa yang mengerjakan sesuatu dari yang samar-samar itu, maka akan hampirlah ia jatuh ke dalam yang haram. (Bukhari dan Muslim)

5. Mencintai saudaranya

Sabda rasullulah s.a.w: Tiada beriman seorang kamu sehingga dia mencintai saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya. (Bukhari dan Muslim)

6. Nasihat

Sabda rasulullah s.a.w.: Agama itu nasihat. Tanya sahabat: Bagi siapa? Jawab baginda: Bagi Allah dan bagi kitabNya dan bagi rasulNya dan imam-imam kaum muslimin dan bagi orang ramai (Muslim)

7. Perkara yang diada-adakan (ibadah khusus)

Sabda rasulullah s.a.w.: Barang siapa mengada-adakan dalam urusan (agama) kami ini suatu pekerjaan yang tiada daripadanya, maka (yang diada-adakan) itu tertolak. (Bukhari & Muslim)

8. Bersedekah

Tanya sahabat: Ya rasulullah! orang-orang yang mempunyai harta (kaya) telah mendapat pahala (lebih banyak). Mereka bersembahyang sebagaimana kami bersembahyang dan mereka berpuasa sepertimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan kelebihan-kelebihan harta mereka.

Jawab rasulullah s.a.w.: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu suatu untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya dengan tiap-tiap tasbih itu sedekah, dan tiap-tiap takbir itu sedekah dan tiap-tiap tahlil itu sedekah, dan menyuruh dengan makruf itu sedekah dan melarang dari mungkar itu sedekah dan pada kemaluan kamu itu pun sedekah.

Tanya sahabat: Ya rasulullah! Adakah salah seorang kami yang menggunakan syahwatnya dan adalah baginya pahala pada perbuatan itu?

Jawab baginda: Apakah pendapat kamu kalau digunakannya pada jalan yang haram, adakah dosa atasnya? Maka demikian pula apabila ia menggunakan syahwatnya pada yang halal adalah pahala baginya.

(Muslim)

9. Doa

Sabda rasulullah s.a.w.: Allah telah berfirman: Hai anak Adam! Sesungguhnya engkau, selama engkau berdoa dan berharap kepadaKu, Aku ampuni bagi engkau di atas dosa yang ada pada engkau dan Aku tiada peduli. Hai anak Adam! Kalau telah sampai sekelian dosa engkau ke awan langit kemudian engkau memohon keampunanKu, nescaya Aku ampuni bagi engkau. Hai anak Adam! Kalau engkau datang kepada Ku dengan kesalahan-kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemui Aku pada hal tiada engkau mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku berikan kepada engkau keampunan dengan sepenuh bumi. (Tarmidzi)

10. Perjalanan hidup dan masa

Sabda rasulullah s.a.w.: Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau berdagang, atau orang yang sedang mengembara. (Bukhari)

Dari Umar r.a.: Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila engkau berada di waktu pagi, janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau dari masa mati engkau.

Dari Ali r.a.: Sesungguhnya dunia ini telah berangkat membelakangi, dan sesungguhnya akhirat itu berangkat mandatangi dan bagi kedua-duanya ada putera-puteranya. Maka jadilah kamu dari putera-putera akhirat dan janganlah kamu jadi dari putera-putera dunia. Kerana sesungguhnya hari ini hari amal dan tiada perhitungan, sedang esoknya hari perhitungan dan tiada amal.

Sabda rasulullah: Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum papa, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.

Silaturrahim
Sabda rasulullah s.a.w.: Sesungguhnya rahmat Allah tidak turun kepada satu kaum yang ada dikalangan mereka seseorang yang memutuskan silaturahim (Imam Al Baihaqi)

Sabda rasulullah s.a.w.: Tidak ada dosa yang paling wajar disegerakan Allah akan siksanya kepada pelakuna didunai ini daripada pemutus silaturahim (Abu Daud, Tarmidzi, Ahmad dan Ibnu Majah)

jhm

Kemaskini 27/3/1999 Peti cadangan Hubungi saya Baca saya dahulu