naungan_nur_wahyu

Home

Globalisasi Dan Pemikiran Islam Silam | The West's Perception Towards Islam After Sept 11 by Prof. Osman Bakar | al-Ghazali and Aesthetics | Falsafah Etika: Perbandingan Pendekatan Islam Dan Barat | Bruno Guiderdoni In Interview | The Exploration of the Cosmos : an endless Quest ? by : Bruno Guiderdoni | Paparan Sejarah Islam: Abad Ke-11 Hingga Abad Ke-15 H | Pegangan Sejati Ahli Sunnah | Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi: Dari Estetika Menuju Fizikal | Bacaan Dan Kemajuan Pemikiran: Apakah Respons Muslim ??
Bacaan Dan Kemajuan Pemikiran: Apakah Respons Muslim ??

 
 
Kata kunci:
Dialog Sains Dan Agama, Hikmah Isyraqi, Anjakan Paradigma, Falsafah Sains, Pelajar Dan Ilmu, Maqulat (categories)

Oleh:

Mohd Zaidi Abdullah (mzaid_saf@hotmail.com)

(Ahli Pusat Pembangunan Pondok Berhad)

 

Steven Weinberg, penerima anugerah Nobel Fizik 1979 dalam The Best American Science Writing 2000 menggalakkan dialog antara agama dan sains manakala Freeman Dyson dalam The Best American Science Writing 2001 cuba menyeiringkan perkembangan sains dengan agama dan yang terbaru buku berjudul Faith In Science: Scientists Search For Truth, suntingan Mark Richardson dan Gordy Slack, terbitan Routledge turut memaparkan soal-jawab beberapa orang saintis. Perkembangan ini semakin memperdanakan dunia ilmiah di Barat.

Kecenderungan ini semakin bersemarak apabila perbicaraan tentang artifial intelligence merangkumi linguistik, sains dan teknologi, dan falsafah. Mereka terpaksa mengkaji pelbagai falsafah untuk merealitikan impian mereka. Hal ini dapat dilihat melalui sesetengah buku yang membuka minda ke arahnya seperti Mind At Speed Light oleh Daniel D. Nolte, yang berbicara tentang kuantum komputer.

Pelbagai kecenderungan Barat di atas di samping tragedi 11 September turut mengubah pelbagai tanggapan dan rancangan oleh setiap negara dan bangsa. Jadi, untuk menghadapi realiti ini, umat Islam seharusnya memperteguhkan kefahaman pelbagai ilmu pengetahuan dengan lebih mendalam. Dalam hal ini, umat Islam perlu menjauhkan diri daripada membuat kesimpulan umum. Kesimpulan perlu dilahirkan setelah melalui kajian dan penelitian yang saksama.

Sebenarnya, dalam seratus tahun terakhir ini, ramai cendekiawan Islam suka dan mampu membuat kesimpulan secara umum dan kurang berminat secara teliti satu persatu, yang mana tepat dan yang mana salah. Syaikh Muhammad Naquib al-Attas (ISTAC) dalam ucapan pembukaan International Conference on al-Ghazali`s Legacy: Its Contemporary Relevance (24-27.Oktober.01) telah mengkritik sikap sedemikian rupa. Tokoh yang dikritiknya ialah Fazlur Rahman.

Di Malaysia, kita berbicara untuk memajukan Wawasan Akhirat dan Wawasan 2020 tetapi kita kurang berbicara tentang kuantum kosmologi serta sistem perkomputeran eranya. Berapa keratkah artikel dan buku di Malaysia yang membicarakannya? Inilah yang menunjukkan kelemahan kecekapan dalam dunia ilmiah Malaysia. Sepatutnya pihak berkaitan mampu memperuntukkan kos penyelidikan demi kemajuan pemikiran agar pihak penyelidik rajin.

Dalam majalah Astronomy, Januari, yang diterbitkan di Amerika, telah membicarakan sedutan buku The Story of Light oleh Ben Bova. Buku tersebut perlu dikaji dan dibandingkan dengan yang ditulis oleh Hujjatul Islam al-Ghazali dalam Misykat al-Anwar (Relung Cahaya-cahaya).

Hujjatul Islam dalam tulisannya dipengaruhi paradigma firman Allah:

"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah Allah umpama sebagai sebuah misykat yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca, geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya, (tetapi sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun tidak disentuh api; (sinaran nur yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda); cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut sunnatullah) kepada nur hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai contoh perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan setiap sesuatu." (An-Nur: 35).

Di sini, Hujjatul Islam menjadikan metafizik mempengaruhi alam fizikal. Nur haqiqi ialah Allah kerana salah satu namanya ialah al-Nur, manakala kesemua cahaya lain merupakan pinjaman belaka. Dalam seni bina pun yang berasaskan cahaya turut dibicarakannya sekalipun dalam nada yang berbeza .

Kita tidak wajar menganggap semua yang lama itu kuno atau seumpamanya kerana di Barat kini mereka cuba mengkaji semula yang lama kerana keinginan untuk mencari penemuan terbaru. Usah kita terperangkap dengan protokol Zionisme (yang dipaparkan oleh Henry Ford) yang menganggap yang lama itu sebagai klasik dan lantaran demikian kita cuba untuk mengenepikan warisan silam. Kebenaran tetap sama yang perlu diperbaiki cuma pendekatan serta melakukan penambahannya. Kakitangan Khazanah Fathaniyah memaklumkan bahawa Kedutaan Amerika membeli karya-karya Tuan Guru Wan Mohd Shaghir. Inilah bukti kecenderungan Barat.

Malah pihak Center For Middle Eastern Studies di Universiti Havard sendiri telah menerbitkan sebuah monograf berjudul The Science of Mystic Lights: Qutb al-din al-Shirazi and the Illuminationist Tradition in Islamic Philosophy oleh John Walbridge. Tokoh Malaysia yang menulis dalam aliran falsafah ini ialah Prof. Osman Bakar menerusi kajian Ph.D. yang diterbitkan. Dalam aliran ini, terdapat satu ringkasan falsafah yang diberi nama sebagai maqulat atau categories. Maqulat telah dibicarakan menerusi penyelidikan yang teliti dan saksama termasuk melakukan penambahan dan pengkritikan oleh pemikir-pemikir Islam seperti al-Suhrawardi (tokoh kontroversi) seterusnya al-Muhaqqiq Jalaluddin al-Dawwani, al-Allamah al-Balidi, al-Allamah al-Sajai, Shaykh Azhar Hasan al-Attar, Shaykh Muhammad Hasanain Makhluf hingga Syaikh Pak Da Eil Patani dan Haji Wan Ali al-Shaulati Patani. Tetapi sayang, aliran pemikiran ini tidak diberi kedudukan yang sewajarnya malah diabaikan sebagaimana yang dilakukan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam Ummatuna Baina Qarnain dan Thaqafatuna kerana hanya nampak dan terlalu mengagungkan pemikiran Muhammad Abduh. Ahli falsafah seperti Aristotle, Kant, Heidegger, Bonitz dan lain-lain memberi perhatian terhadap maqulat secara kajian yang teliti.(Mausuah al-Falsafah oleh Dr. Abdurrahman Badawi)

Dalam kajian penulis, buah fikiran yang terhasil menerusi maqulat mampu menjana pemikiran saintifik serta mampu memberi nafas baru kepada ilmu sains dan teknologi itu sendiri. Kajian tentang ini, dengan pemaparan warisan ilmu Melayu, boleh didapati dalam buku terbaru saya berjudul Nafas Baru Hikmah Isyraqi, yang diberi kata pengantar oleh Prof. Dato Dr. Osman Bakar.

Untuk pengetahuan umum, Amerika Syarikat telah memperuntukkan undang-undang menyelidiki segala yang datang dari Timur termasuk daripada Tamadun Islam. Peruntukan undang-undang sedemikian berada di bawah Akta Pertahanan Negara, bukan di bawah Akta Pendidikan dan sebagainya.

Keprihatinan mereka terhadap karya ulama Islam melebihi kesungguhan kita sendiri kerana di mana ada negara atau negeri yang menyimpan karya lama, pasti diusahakan untuk memperolehnya. Demikian memperlihatkan kecenderungan penyelidik-penyelidik di Amerika.

Cuba kita beralih pula untuk mengesan kecenderungan ilmu sains Eropah. Sebenarnya, Eropah telah menempa tamadun yang lebih tua berbanding Amerika. Ini kerana Eropah yang terlibat dengan 'zaman gelap' kemudiannya disedarkan oleh tamadun Islam terutama setelah Sultan Muhammad al-Fatih menakluk Kostantinopel (Istanbul).

Ahli sains-falsafah mereka bangun dan tidak melepaskan peluang mengkaji bahan ilmiah Islam. Sebenarnya ramai juga ahli sains yang memperoleh anugerah nobel berasal dari Eropah. Bahkan nobel 2001 dikongsi bersama ahli sains dari Amerika dan Jerman.

Kalau begitu, perolehan ilmiah dunia Eropah daripada tamadun Islam silam perlu diambil perhatian oleh umat Islam. Hal ini kerana peningkatan kemajuan mereka berpunca daripada proses belajar. Dunia sains barat kini masih dilanda demam kuantum dan di Malaysia terdapat tokoh yang berminat mengislamkan sains kuantum iaitu Profesor Madya Dr. Shahidan Radiman (UKM) . Era Kuantum Kosmologi ialah perkahwinan antara teori kuantum dan kerelatifan am Einstein. Ini semua daripada anjakan paradigma dalam bidang sains.

Dalam hal ini, apabila kita tidak menghiraukan proses pembelajaran itu (termasuk kecenderungan terbaru), nescaya kita akan ketinggalan dan setiap ketika kita menjadi pengguna bukan pencipta. Jadi, demi untuk kemajuan ekonomi yang stabil dan mantap perlulah kita menjadi pembuat kerana tragedi 11 September telah membuktikannya.

Ingatlah, selagi kita menjadi pengguna sahaja, selama itulah akan berlaku penjajahan. Perkara ini sepatutnya kita elakkan. Janganlah asyik mempelajari aspek penggunaan sepertimana yang dirakuskan oleh arus ICT kini tanpa memperdulikan ilmu sains lain temasuk ilmu falsafah. Namun, kita masih bernasib baik kerana masih ada tokoh sains komputer yang mengambil berat tentang keperluan falsafah, seperti Prof. Dr. Hairudin Harun (UM).

Sebenarnya apabila kita mula mengorak langkah membicarakan tentang cahaya, sudah tentu tidak akan lari daripada membicarakan unsur falsafah. Tetapi malang, majoriti para pelajar di Malaysia malas untuk mengkaji falsafah dan belajar hanya untuk lulus peperiksaan, kurang berminat memerah otak untuk berfikir secara halus.

Walaupun terdapat pelajar yang baik dan rajin semasa belajar tetapi sebahagian besar tidak mengkaji untuk mencapai ke tahap yang tertinggi, apatah lagi untuk menyumbangkan ilmu kepada masyarakat. Inilah sikap yang membahayakan dunia ilmu pada masa akan datang.

Inilah sebenarnya kelemahan para pelajar kita, mereka tidak berani menempuh dugaan. Sedangkan ahli sains yang tersohor di dunia sanggup menghadapi cemuhan dan tekanan. Faktor-faktor kelemahan sebegini amat jarang melanda ketika dunia Islam mencecah zaman keemasan dahulu.

Hari ini, umat Islam perlu bijak dalam mengolah paradigma. Tidak wajar lagi orang yang mendakwa pejuang Islam memboikot sesuatu tanpa fikir panjang kerana semua itu hanya akan memangsakan dirinya. Usahlah ada yang hanya berkata, "mereka maju sebab pinjam daripada ahli sains Islam dahulu", sedangkan diri yang berkata itu tidak membuat kajian mengenainya. Dan tidak memberi apa-apa faedah kalau mereka hanya mengagungkan sejarah kerana pengagungan sejarah tanpa mengambil tauladan boleh dikira lagha (sia-sia). Walhal orang Islam dilarang berbuat perkara yang sia-sia.

Dengan realiti ini, umat Islam mesti mempunyai ilmu yang bersepadu untuk mendapatkan kebijaksanaan (al-hikmah) dalam penyaringan pelbagai ilmu pengetahuan untuk tamadun mereka. Ini menjadi lebih penting kerana serangan atau ledakan maklumat dalam teknologi komunikasi yang semakin terbuka dan mencabar. Mu'adz bin Jabal sendiri menyatakan bahawa akhir zaman rahsia al-Quran akan dibuka kepada orang mukmin dan munafiq, kecil dan besar, hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan. Dan anda semua perlu talaqqi yakni mempelajarinya kerana kebenaran itu adalah cahaya penerang. (Sunan Abu Daud)



Artikel ini dikembangkan daripada artikel yang pernah disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 27hb. Februari. 2002