SEJARAH SEKOLAH

Lokasi Sekolah

Sekolah ini terletak di Jalan Gajah Berang Melaka. Ia bersebelahan dengan Gereja Katholik St Theresa dan berkongsi sebidang tanah dengan Sekolah Menengah Katholik Melaka.

Sejarah Awal

Sekolah ini ditubuhkan dalam tahun 1928. Nama asalnya ialah Sekolah Rendah St Francis. Pada peringkat permulaannya Encik Lim Joo Sin mendermakan sebidang tanah sebagai tapak sekolah. Kemudian seorang padri beragama Roman Katholik, Padri Francis, serta Encik Tan Kim Soon, Encik Tan Siang dan beberapa orang lagi merancang pembinaan sekolah; tambahan pula dengan sokongan dan bantuan daripada penduduk-penduduk tempatan, maka sebuah bilik darjah baru dapat didirikan di Lorong Pandan Melaka.

Pada tahun berikutnya (Tahun 1929) sekolah ini dibuka dan guru pertamanya ialah Encik Tan Pang Chern. Bilangan murid pada masa itu ialah 37 orang. Dua tahun kemudian sebuah bilik darjah baru dibina. Bilangan murid pula telah meningkat hingga 70 orang dan murid-murid belajar menurut darjah masing-masing.

Sungguh pun 10 tahun telah berlalu, sekolah tersebut masih belum mencapai kemajuan kerana tempat itu terpencil. Maka pada tahun 1952, Padri R Challet bercadang membina sebuah sekolah baru di Jalan Gajah Berang Melaka. Cadangan itu mendapat saambutan baik daripada kalangan penganut-penganut Kristian dan juga bukan Kristian, maka empat buah bilik darjah yang terbaru dapat dibina di sebelah kiri Gereja Gajah Berang. Sekolah ini telah dirasmikan pada 28 OGOS 1952 oleh The Honourable H G Hammett, M.C.S. Resident Commissioner, Malacca.

Pada tahun berikutnya (Tahun 1953) Padri R Challet memindahkan semua murid dari sekolah lama ke sekolah baru ini. Di samping itu beliau pergi ke Singapura untuk mengundang Marist Brothers untuk mentadbirkan sekolah baru. Sekolah baru ini dibuka pada bulan Januari 1953 dan ia mempunyai seorang Guru Besar, iaitu Brother Valentine Chang, 2 orang Brothers dan 4 orang guru lain. Ketika itu terdapat 2 kelas Darjah 1, sebuah kelas bagi tiap-tiap Darjah 2, 3, 4, dan 5. Jumlah murid pada masa itu berjumlah lebih daripada 210 orang dan guru seramai 7 orang. Pada tahun 1954, Darjah 6 ditutup kerana bilangan murid terlalu kurang, tetapi bilangan murid bagi darjah-darjah lain telah meningkat sehingga lebih daripada 270 orang. Memandangkan bilangan murid bertambah dengan cepat dan bilik darjah yang ada tidak dapat menampung semua murid-murid baru, maka Padri R Challet berusaha mengutip wang derma untuk membina 3 buah bilik darjah lagi.

Pada tahun yang sama Padri R Challet balik ke negeri asalnya dan tempatnya diganti oleh Padri R Dubbois. Padri R Dubois meneruskan usaha Padri R Challet untuk memajukan sekolah ini. Dalam tempoh perkhidmatannya, sebuah bilik darjah dan sederet tandas baru telah dibina. Pada bulan Oktober tahun yang sama, Padri R Dubois kembali ke negeri asalnya atas sebab kesihatan dan Padri Louis Wee mengambil alih tempat beliau. Sekolah ini semakin hari semakin meningkat maju. Bilangan guru dan murid bertambah setiap tahun. Pada tahun 1957 terdapat 13 orang guru dan 408 orang murid.

Pada 1.4.1961 nama Sekolah Rendah St Francis ini telah ditukar kepada Sekolah Rendah Katholik. (Nama sekolah ini ditukar sebab selalu dikeliru dengan Sekolah Rendah St Francis Bandar Hilir).

Pada tahun 1974 hitung panjang murid ialah 829 orang dan bilangan kelas sebanyak 17 buah. Oleh demikian bilangan bilik darjah tidak mencukupi untuk menampung jumlah murid-murid itu. Maka sekolah ini mengadakan sesi pagi dan petang untuk mengatasi masalah tersebut. Pada tahun 1979, jumlah murid meningkat ke 1141 orang dan bilangan kelas bertambah kepada 23 buah. Sekolah ini terpaksa meminjam 7 buah kelas dari Sekolah Menengah Katholik.

Pada tahun 1982-1983, sekolah ini mempunyai 20 kelas dan mempunyai lebih kurang 1000 orang murid. Sekolah ini dinaikan taraf ke sekolah Gred A. Bilangan murid pada tahun 1995 adalah kira-kira 819 orang.

Perkembangan Sekolah

Sekolah ini mempunyai 12 buah bilik darjah, sebuah perpustakaan, bilik pejabat sekolah, bilik guru dan sebuah kantin. Sekolah ini juga mempunyai sebuah gelanggang bola keranjang dan sebuah bilik ping pong.

 

Pentadbiran

1953 -1957 Bro. Valentine Tchang

1958 Bro. Ker

1959 Bro. Henry We Bro. Lece Clet Lee

1960 - 1970 Md Yeo Ah Ngin

1970 - Mei, 1973 Bro. Michael Lim

Jun, 1973 - Des, 1973 En. Heng Yang

1974 - Feb, 1976 Bro. Joseph Ng

Apr, 1976 - Des, 1976 Bro. Paul Ch'ng

1977 - Mei, 1978 Bro. Francis Lim

Jun, 1978 - Des, 1979 Bro. John Heng Hee Soon

1979 - 31.12.1980 Bro.Francis Lim

1 Jan., 1981 - 01.05.1983 Bro. Peter Chua

1 Jan., 1983 - 31.12.1986 Bro. John Heng Hee Soon

1 Jan., 1987 - 31.12.1988 Bro. Paul Saw

1 Jan., 1989 - 15.07.1990 En. Chu Jong Kim

16 Jul., 1990 - 16.06.1991 En. Tan Hoon Kheng

17Jun., 1991 - 15.07.1992 En. Chu Jong Kim

16 Jul., 1992 - sekarang En. Teo Hock Seng


home | aluan | sejarah | organisasi | guru | aktiviti | motto | lencana| bukan_guru|