Sirna Yang Kemilau (Part II)
Laman Utama | Doa | Galeri Foto | Legal | Diskusi | Untaian Kata | Sudut Hukum | Warkah | Puisi | Cerpen | Kembara | Tetamu | Tazkirah | Link | Komentar Buku
Seruling Senja

Semua ahli rombongan bangkit untuk menunaikan tanggunggjawab sebagai hamba kepada tuhan Rabbul Jalil. Aku berjemaah bersama Izzat, buah hati perjalananku kerana ahli rombongan yang lain masih beratur menunggu giliran untuk memasuki bilik air. Jadi, aku sempurnakan dulu tanggungjawab ini.

Selepas berwirid khususiyyah, aku menyambung kembali lenaku. Mudah sangat mata yang masih mengantuk ini untuk lena. Penat badan masih lagi terasa akibat perjalanan jauh. Lagipun, asyik duduk atas kenderaan saja. Rasa semacam sesuatu yang menyucuk pinggang yang dah uzur ini akibat terlibat dalam kemalangan.

Ahli rombongan bangkit untuk bersiap-siap bagi meneruskan perjalanan pada hari kedua ini 27 Januari 2001. Jam sudah pun menunjukkan pukul 9.00 pagi waktu Thailand. Selepas mandi, aku sempat menunaikan dua rakaat solat dhuha sementara menunggu ahli rombongan yang lain bersiap-siap untuk menghadapi hidangan pagi. Hidangan pagi ini agak istimewa bagi kami yang disediakan oleh isteri Ustaz Zawawi. Pulut pagi yang dimakan bersama kelapa parut bergula dan ikan rebus goreng sebagai alas sebelum kami bersarapan pagi dengan nasi kerabu. Nasi kerabu memang sudah menjadi kegemaranku, ditambah lagi dengan ulam petai dan pucuk pegaga yang membuatkan seleraku dan ahli rombongan lain bertambah.

Selepas makan, semua ahli rombongan mengemaskan barang-barang masing-masing kerana kami akan bertolak ke Pondok Pungguk untuk menemui Baba Hj Abd Aziz Hj Syafie. Kami tak akan kembali lagi ke rumah Ustaz Zawawi di Banggol Merbau ini kerana kami akan meneruskan perjalanan pulang ke Kelantan. Jadi, setelah bertukar salam dengan ahli keluarga Ustaz Zawawi, kami terus berangkat ke Pungguk. Dalam perjalanan, kami dibekalkan ‘Ubi Keling’ yang telah siap direbus. Menurut temanku, orang Kedah mengenalinya sebagai ‘Ubi Kelili’. Aku pun tak tahu yang mana satu yang betul. Ustaz Zawawi masih bersama kami dalam perjalanan ini kerana beliau merupakan penunjuk arah dan juga jurubahasa kami.

Kami singgah di tengah perjalanan untuk menelefon Baba Abd Aziz bagi memberitahu beliau tentang kedatangan kami ini. Alhamdulillah, beliau baru sahaja pulang dari menemui gurunya. Jadi, tanpa berlengah kami meneruskan perjalanan kami ke Pondok Pungguk.

Sewaktu kami tiba di sana, kami dapati ada rombongan dari Terengganu sedang berbincang dengan Baba. Rupa-rupanya kami masih mempunyai teman yang mencintai perjuangan Fatani ini. Syukur kupanjatkan pada Allah di atas kurniaanNya itu yang meramaikan pejuang di atas jalan agamaNya. Sempat juga kami berkenalan dan bertukar khabar berita buat seketika kerana rombongan dari Terengganu mahu berangkat pulang setelah tinggal bermalam di pondok tersebut. Rupa-rupanya mereka telah beberapa hari tiba di sana.

Kami disambut Baba dan juga beberapa ahli jemaah pentadbir pondok tersebut. Mereka mengalu-alukan kedatangan kami kerana kami telah beberapa kali datang ke sini dalam siri perjalanan yang lalu. Perancagan kami, hanya ingin singgah sekejap sahaja di sini kerana kami ingin meneruskan perjalanan ke Fatani pula. Namun Baba menahan kami untuk makan bersama beliau. Dan sebagai penghormatan buat kami, beliau mengarahkan pembantu beliau untuk menyembelih seekor ‘kibas’ sebagai hidangan buat kami. Katanya, itu adalah sunnah Nabi Allah Ibrahim a.s yang menghidangkan daging kibas kepada orang tetamu baginda iaitu dua malaikat yang datang untuk memberitahu perintah Allah supaya baginda meninggalkan kampung tersebut kerana Allah s.w.t akan menurunkan bala ke atas kaum Luth. MasyaAllah, penghormatan yang begitu besar buat kami daripada seorang tuan guru bagaikan kami ini tetamu di raja buat beliau.

Sambil menunggu hidangan kami siap, kami mengambil peluang untuk bertanyakan beberapa kemusykilan pada Baba. Dan kami sangat berpuas hati dengan setiap jawapan yang diberikan beliau. Beliau juga mengijazahkan kami beberapa amalan berbentuk wirid yang telah diijazahkan kepada beliau oleh As-Syeikh Syed Alawi al-Abbasi al-Maliki al-Hasani sewaktu beliau mengunjunginya di Mekah. Baba juga menunjukkan kami sebuah beg yang sarat berisi kitab-kitab yang ditulis oleh As-Syeikh yang dibawa balik dari Mekah. Kitab-kitab tersebut ingin dicetak di sana dan diedarkan secara percuma kepada seluruh umat Islam di sana. Oleh itu, baba sedang mencari pihak percetakan yang sanggup untuk menerbitkannya secara percuma untuk diberikan hak pengeluaran.

Baba Hj Abd Aziz juga menceritakan kepada kami tentang perjalanan pondok beliau itu dan juga perancangan masa depan Persatuan Ulama Fatani Darussalam kerana beliau merupakan pengerusi persatuan tersebut. Terutamanya dalam bidang pendidikan yang merupakan bidang utama yang dirancang oleh persatuan ini. Beliau memberitahu kami bahawa persatuan ini sedang mengusahakan untuk menubuhkan pusat pengajian yang lebih sistematik bukan sahaja diakui di Fatani, malah di seluruh pelosok negara Islam. Setakat ini, sudah terdapat dua buah yang dalam pembinaan iaitu pondok beliau sendiri Muassasah Ath-Thaqafah Al-Islamiah Ahliah Pungguk dan Pondok Mahligai atau dikenali dengan nama Maahad al-Bu’uth al-Islamiah Banggol Legeng di bawah pengurusan Baba Hj Mohd Ramli Hj Hussin, Pengerusi Majlis Syura Persatuan Ulama Fatani Darussalam.

Pusat pengajian ini menawarkan pengajian buat masyarakat Islam Fatani dalam bidang agama dan akademik bagi membolehkan mereka layak untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti Al-Azhar. Setakat ini, ramai para pelajar dari pondok ini menyambung pengajian mereka di Kelantan hasil kerjasama dengan pihak Yayasan Islam Kelantan (YIK). Dan ada juga pelajar-pelajar yang dihantar untuk melanjutkan pengajian mereka di Yamen.

Menurut Baba lagi, pelajar-pelajar yang telah berjaya melanjutkan pelajaran inilah yang akan balik untuk meneruskan perjuangan mereka nanti. Selain daripada menjadi tenaga pengajar, ada diantara mereka akan diserapkan ke jabatan kerajaan bagi membolehkan masyarakat Islam mempunyai wakil dan suara mereka dalam kerajaan.

Walaupun perancagan ini memakan masa yang agak lama, namun ini adalah salah satu rancangan jarak jauh jika nak dibandingkan dengan perjuangan bersenjata yang selama ini dipelopori oleh PULO. Pengalaman yang membuktikan bahawa perjuangan bersenjata telah merengut banyak nyawa umat Islam yang tidak berdosa. Masyarakat Islam hidup dalam ketakutan akibat tekanan daripada pihak polis dan soldadu Thai. Oleh itu, perjuangan melalui bidang pendidikan ini adalah terlebih selamat dan banyak manfaatnya tanpa menafikan keperluan perjuangan PULO yang mesti diteruskan bagi menjaga kepentingan umat Islam.

Tambah beliau lagi, jika pusat pendidikan yang dirancangkan Persatuan Ulama ini berjaya dibangunkan, InsyaAllah pihak ulama akan cuba untuk menaikan taraf pusat pendidikan ini setaraf dengan universiti-universiti yang ada di Thailand dan juga seluruh dunia.

Walau bagaimana perancangan sekalipun, ia tidak mungkin akan menjadi realiti sekiranya kita sebagai umat Islam tidak saling bantu membantu. Jadi beliau terlalu mengharapkan bantuan daripada kita di Malaysia untuk membantu mereka. Tidak kira bantuan dari sudut mana sekalipun. Sama ada dari sudut keewangan, tenaga, cadangan dan sebagainya asalkan ia akan membawa idea pihak ulama menjadi satu kenyataan yang dapat dilihat dengan mata kita sendiri. Kiranya berjaya, ia bukanlah hanya kejayaan Persatuan Ulama, tetapi kejayaan umat Islam keseluruhannya.
Bagi pelajar-pelajar universiti di Malaysia contohnya, mereka boleh datang ke sini untuk mengadakan kajian tentang pembangunan yang mungkin boleh dibangunkan di sini. Ataupun datang untuk mengadakan kursus-kursus untuk para pelajar mahupun untuk tenaga pengajar sendiri. Pihak ulama bersedia untuk menerima sebarang bantuan daripada kita.

Jadi, dimana tempat kita dalam perjuangan ini. Terutamanya para mahasiswa universiti yang hanya berbangga dengan diri sendiri. Kononnya hebat, tapi sedikitpun tidak pernah berfikir untuk menolong perjuangan untuk menaikan taraf kehidupan orang lain. Hanya berfikir untuk kepentingan poket dan perut sendiri tanpa memikirkan kemunduran saudara seagama yang ditindas oleh bangsa lain. Masih lagi dapat merasai lena yang panjang dan berangan-angan kosong serta berpoya-poya sedangkan saudara kita di sana terus dikejar kesempitan, kemelaratan dan ketakutan. Di manakah nilainya kehidupan yang kita miliki ini jika hendak dibandingkan dengan perjuangan mereka. Mampukah kita menjawab pertanyaan di hadapan Allah nanti tentang tanggunggjawab yang telah kita abaikan ini? Munasabahkan jawapan yang akan kita berikan oleh pertanyaan itu?

Ayuh! Bangkitlah wahai anak bangsaku. Sudah tiba masanya kita bangun dari lena yang panjang. Sudah tiba masanya untuk kita tinggalkan selimut dan ranjang. Demi satu matlamat yang perlu diperjuang. Walau tanpa janji untuk menang. Namun kita tetap bangkit sebagai pejuang. Bagi merebut ganjaran dijanjikan. Bukan nama yang dibanggakan. Tapi kemulian di hadapan tuhan di hari pertemuan.

Dikesempatan ini juga, aku menyerahkan satu salinan ‘Mencari Jejak-Jejak Yang Hilang’ Sebuah Catatan Perjalanan Ke Fatani Darussalam I kepada Baba. Itu adalah hasil perjalanan pertamaku sebagaimana yang telah kujanjikan pada beliau dulu. Telah kusebarkan catatan perjalananku itu kepada sahabat-sahabatku di universiti supaya mereka perihatin terhadap masalah Fatani. Baba dan Pak Cu ‘Il memuji-muji usahaku ini. Bagiku, bukan pujian yang kumahu tetapi hanya sekadar itu yang kumampu dalam perjuangan ini. Untuk mengangkat senjata, aku tak berpeluang. Jadi, medan penulisanlah medan perjuangan yang agak cocok denganku. Jadi apalah salahnya aku menggunakan kelebihan yang dikurniakan Allah ini dalam perjuangan menegakkan kalimah suci Ilahi di atas muka bumi ini.

Kami berkesempatan untuk solat zohor berjemaah dengan penghuni pondok tersebut. Tak ramai yang tinggal kerana ramai pelajar balik bercuti bagi membantu pilihan raya pemilihan semula selepas pihak kerajaan membatalkan keputusan pilihan raya lalu di beberapa wilayah. Aku terus jama’ taqdim asar, kelebihan musafir seperti kami.
Oleh kerana terlalu penat, aku sempat melelapkan mata untuk sekejap sementara menantikan hidangan siap. Aku merebahkan badan di atas kerusi kayu di hadapan masjid utama pondok tersebut sementara ahli rombongan lain masih lagi berbincang dan berbual dengan Baba.
Perjalanan kami kali ini bagaikan satu rancangan yang bertepatan dengan rancangan Allah. Segala urusan mudah dan segera termasuk makan minum yang telah tersedia untuk kami. Umpama rezeki kami telah menanti kami di sini. Kami menikmati hidangan makan tengah hari dengan cukup berselera sekali. Daging kibas atau kambing adalah merupakan kegemaranku. Jadi, peluang sebegini tidak kulepaskan begitu sahaja.

Selepas semuanya selesai, kami bersiap-siap untuk berangkat. Walau pada mulanya Baba menahan kami supaya bermalam di situ. Tapi kami menolak pelawaan beliau itu dengan penuh hormat kerana ada ahli rombongan kami akan pulang bekerja. Jadi tak dapatlah untuk kami terus bermalam.

Setelah mengikat satu janji untuk sentiasa berhubung diantara satu sama lain, kami dihantar pulang dengan doa penuh pengharapan dan persaudaraan yang utuh untuk sama-sama melihat Islam akan bangkit semula. Sebagaimana yang telah diramalkan bahawa Islam akan bangkit semula dari sebelah timur. Biarlah kita mempersiapkan diri untuk menjadi sebahagian darinya walaupun hanya di saf belakang.
Kami membatalkan rancangan untuk ke Fatani dengan meneruskan perjalanan pulang kami ke Pekan Tak Bai untuk mengejar perkhidmatan feri terakhir dari Tak Bai, Thailand ke Pengkalan Kubor Kelantan. Walaupun hajat tak kesampaian untuk ke Fatani, namun kami sudah mendapat sirna kemilau mutiara-mutiara berharga yang kami kutip setelah sekian lama ia keciciran dari genggaman kita.

Ustaz Zawawi dan anaknya hanya menumpangi kami separuh jalan sahaja. Beliau turun di pekan Narathiwat untuk mengambil bas balik ke rumahnya di Banggol Merbau sementara kami meneruskan perjalanan ke Pekan Tak Bai. Kami tinggalkan Ustaz Zawawi dan anaknya dengan salam persaudaraan yang cukup erat kerana beliau adalah seorang pemandu arah dan jurubahasa yang terlalu baik hati hati. Semoga Allah akan membalas jasanya itu dengan ganjaran yang setimpal dengan pengorbanannya itu.

Perjalanan balik kami agak lancar melalui sub-highway yang lengang dari kenderaan. Semua ahli rombongan berpuas hati dengan perjalanan ini walaupun kepenatan jika hendak dibandingkan dengan hasil yang telah kami perolehi di sana.

Kami tiba di Pusat Imigresen Thai, Pekan Tak Bai sewaktu feri untuk ke Malaysia telah tiba di jeti. Tanpa berlengah, kami selesaikan segera urusan untuk menyeberangi sempadan di pejabat Imigresen Thai itu. Dan kami seberangi Sungai Golok yang agak sibuk keadaan lalu lintasnya dengan bot-bot penumpang.

Alhamdulillah, ucapan yang keluar dari mulut ahli rombongan setelah selamat menjejakkan kaki di pusat Imigresen Malaysia di Pengkalan Kubor. Sesungguhnya, Allah telah memelihara perjalanan pergi balik kami. Hanya kepadaNya sahajalah tempat selayaknya untuk bersyukur. Dan doa kami, kami akan meneruskan lagi perjalanan ke Fatani Darussalam pada suatu masa yang akan ditentukan Allah nanti.

“ Ya Allah! Jadikanlah amalan kami yang kecil dan sedikit ini mempunyai nilai di sisiMu. Ya Allah! Hanya sekadar ini yang kami termampu untuk lakukan. Kami ini hamba Mu yang dhaif lagi hina memohon dan berharap agar diterima amalan kami ini. Hanya kepadaMu jualah tempat kami bergantung harap.”
“ Ya Allah! Janganlah Engkau hinakan kami sedangkan kami ini lemah. Janganlah Engkau biarkan kami sedangkan kami terumbang-ambing. Janganlah Engkau jemput kami sedangkan kami lalai dari mengingatiMu.”
“ Ya Allah! Jadikanlah dunia ini kebaikan buatku dan juga akhirat adalah tempat pengampunan buatku. Sesungguhnya kepadaMu jualah tempat ku serahkan segala urusan dan harapan!”
Amin…..!!!!!!

Full name:
Email address:
Comment: