Sirna Yang Kemilau (Part I)

Laman Utama | Doa | Galeri Foto | Legal | Diskusi | Untaian Kata | Sudut Hukum | Warkah | Puisi | Cerpen | Kembara | Tetamu | Tazkirah | Link | Komentar Buku
Seruling Senja

Penghargaan..
Segala puja dan puji kupersembahkan pada Allah, tuhan yang menentukan hidup ini. Selawat dan salam buat rasul junjungan, ahli keluarga serta sahabatnya sekalian.

Walaupun kesibukan, namun Allah telah memberikan peluang kepadaku untuk meneruskan perjalanan ke Fatani. Dan catatan ini, ku namakan ia “ Sirna Yang Kemilau “ Sebuah Catatan Perjalanan Ke Fatani Darussalam III. Hanya kepada Allah jua kuserahkan amal yang kecil ini.

Dikesempatan ini, ingin kuucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Perjalanan III ini samaada secara langsung atau tidak. Terutamanya Aswadi selaku ketua rombongan yang menaja perjalanan ini, Ustaz Zawawi selaku pemandu arah dan jurubahasa serta keluarganya yang baik hati, Pak Ngah selaku pemandu yang juga pemilik kenderaan, Abang Yie, Abang Awie, Izzat anak buah kesayangan penghibur perjalanan dan Rifahmi teman yang kuanggap seperti adik sendiri. Saat bersama kalian, meninggalkan kenangan manis yang akan kuabadikan dalam ingatan ini.

Buat seluruh kaum keluarga di Tumpat, Kajang dan Fatani serta Usrah Jamadil Kubra, leluhur keturunan Syed Thana’uddin Jamadil Kubra semoga perhubungan dan pertalian yang ada ini kita jalinkan dengan untaian Iman dan takwa dalam mencari keredhaan Allah s.w.t.

Juga tidak kulupakan buat orang yang telah membantuku dalam mencari keyakinan dan ketenangan diri. Jasa yang berharga itu tidak dapat kubayar dengan apa jua sekalipun dan akan kubawa ia hingga ke kehadrat tuhan Rabbul Jalil. Dan sesungguhnya aku masih memerlukan pertolongan dan penunjuk jalan bagi melalui lorong-lorong kehidupan yang penuh berliku ini. Hanya Allah sahaja yang layak membalas jasa itu.

Seterusnya kepada semua pembaca yang setia, pandangan dan pendapat kalian amat kuperlukan dalam meneruskan penulisan ini. Jadi ikhlaskan komen kalian di ruangan komentar. Aku sedia menerima sebarang kelemahan diri. Semoga Allah membalas jasa kalian.

Akhirnya, segala bantuan, kerjasama dan pertolongan kalian kujunjung tinggi dan hanya kepada Allah kuberdoa agar kalian akan dikurniakan ganjaran yang setimpal dengan jasa kalian.
Wassalam……………


12 Februari 2001
7.55 pagi
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Perjalanan ke Fatani Darussalam III ini menambahkan lagi serta menaikkan semangat perjuangan yang telah luput selama ini. Jika nak dicari dengan teliti semangat yang telah hilang di Fatani, nescaya terlalu tidak memadai bagiku hanya sekadar dua hari perjalanan. Walaupun begitu, setiap kali perjalananku ke sana, pastinya akan kubawa balik sesuatu yang berharga buatku sendiri dan buat semua orang yang sentiasa mengikuti perkembangan Fatani. Benarlah kata orang, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Aku bertolak balik dari ibu kota hanyalah semata-mata untuk mengikuti rombongan ke Fatani. Walaupun tiket dah kehabisan, tetap kucari walau apa cara sekalipun untuk membolehkan aku mengikuti rombongan ke sana. Jadi aku menumpang kereta seorang kenalan untuk balik ke Kelantan. Dan kali ini, kubawa seorang teman yang kuanggap seperti adikku sendiri untuk kutunjukkan kepadanya tentang apa yang telah kuceritakan dalam Catatan Perjalanan Ke Fatani Darussalam I dan II. Biarlah dia tengok dan rasai sendiri tentang sebuah perjuangan yang kini hanya tinggal kenangan buat generasi baru tetapi cuba untuk menghidupkan kembali walaupun kepayahan.

Rombongan kami bertolak dari Pusat Imigresen Pengkalan Kubor, Kelantan pada pagi Jumaat 26 Januari 2001. Rombongan kali ini berjumlah tujuh orang dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda. Segala urusan untuk melintasi sempadan diselesaikan tanpa sebarang masalah dan kerenah. Cuma kami tak dapat untuk membuat pertukaran nilai mata wang dari Ringgit Malaysia kepada Bath Thailand kerana pusat pertukaran wang cuti tahun baru cina.

Jadi tanpa melengahkan masa, kami terus bertolak dari Pekan Tak Bai menuju ke Banggol Merbau dalam Wilayah Narathiwat untuk menemui Ustaz Zawawi selaku pemandu dan jurubahasa tetap kami pada setiap kali perjalanan ke sana. Perjalanan agak lancar, maklumlah dengan menaiki pacuan empat roda. Selalunya kami hanya berkereta sahaja.

Sewaktu kami tiba di Banggol Merbau, Ustaz Zawawi tiada di rumah. Dia menghadiri kuliah pengajian gurunya. Jadi, kami berpatah balik menuju ke rumah bonda Ustaz Zawawi di Kedai Jabat. Kami akan menunggu beliau di sana. Lagipun, kami juga ingin melawat bonda, seorang ibu yang terlalu baik hati terhadap para tetamunya.

Di rumah bonda, kami dilayan dengan penuh penghormatan kekeluargaan. Dijamu dengan pelbagai hidangan yang membuatkan perut kami tak terisi. Sudah menjadi adat masyarakat di sana, tak akan membenarkan para tetamu mereka meninggalkan rumah selagi tidak menjamah jamuan walaupun sedikit. Mereka berpegang kemas dengan pandangan Islam bahawa tetamu yang datang itu membawa bersama mereka seribu rahmat untuk tuan rumah. Jadi, tak rugi bagi mereka untuk menghidangkan juadah hidangan buat orang yang telah membawa seribu rahmat masuk ke rumah mereka.

Kami menunaikan Solat Jumaat di Masjid Besar Kedai Jabat. Khutbah dibacakan oleh imam dalam bahasa Melayu Fatani walaupun terpaksa meninggikan suara akibat bekalan elektrik yang terputus. Kerja-kerja pembaik pulih bekalan elektrik sedang dilakukan bagi menghadapi pemilihan semula calon-calon parti politik Thailand setelah beberapa keputusan pilihan raya kerjaaan Thailand telah dibatalkan akibat terdapat unsur-unsur rasuah.

Selepas Solat Jumaat, seorang calon parti kerajaan Thai pimpinan Chuan Lekpai, Surin Pitsuwan ( Abdul Halim) iaitu bekas menteri luar bangun untuk memberikan ucapan. Pada mulanya, ingin juga aku mendegar isi ceramahnya tetapi malangnya nasibku kerana ucapannya disampaikan dalam bahasa Thai. Aku membatalkan niatku, dan terus mengangkat punggung untuk balik ke rumah bonda bagi menunggu ketibaan Ustaz Zawawi.

Kami dihidangkan bonda dengan hidangan yang cukup menyelerakan. Sampaikan temanku memuji-muji keenakkan hidangan bonda itu. Begitulah selalunya penghormatan yang diberikan bonda setiap kali rombonganku tiba di sana. Ustaz Zawawi tiba setelah kami semua selesai menghadapi hidangan.

Kami berbincang mengenai tentatif perjalanan kami kali ini. Dan kami bersepakat bahawa tempat pertama tujuan kami iaitu Maahad At-Taufiqiah Al-Islamiah, Kuala Kawi atau dikenali juga dengan nama Pondok Beras Segenggam untuk menemui Baba Hj Idris atau gelarannya Tok Biluk. Beliau juga merupakan orang rujukan kami setiap kali tiba ke sana. Kami akan memperolehi banyak permata bersinar apabila menemuinya. Beliau merupakan seorang tuan guru yang alim dan mempunyai banyak kelebihan yang telah dianugerahkan Allah.

Tetapi nasib dan takdir Allah tidak menyebelahi kami. Tok Biluk tidak ada di rumah kerana beliau telah berangkat ke Kelantan untuk menemui kaum keluarganya yang ramai di sana. Terasa juga hampa di hati ini kerana banyak persoalan dan kemusykilan yang ingin diajukan kepada beliau terpaksa disimpan begitu sahaja.

Kami terus membuat tindakan segera untuk ke Muassasah Ath-Thaqafah Al-Islamiah Ahliah Pungguk, di Kampung Kelisa daerah Tanjung Mas Wilayah Narathiwat untuk menemui Baba Hj Abdul Aziz Hj Syafie, Yang Di Pertua Jamiat Islamiah Fatani Darussalam. Sebelum bertolak ke sana, kami menelefon beliau terlebih dahulu. Takdir Allah masih lagi tidak menyebelahi kami, menurut isterinya beliau pergi menemui gurunya ‘Tok Bukit’. Terdetik di hati kecil ini. Seorang guru pondok yang alim lagi hebat masih lagi mempunyai guru sebagai tempat rujukan. Betapalah diriku ini yang masih terumbang ambing dengan keindahan dunia yang sementara cuma ini. Sekali lagi, kami terpaksa mengubah rancangan perjalanan kami.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Pondok Mahligai atau Maahad al-Bu’uth al-Islamiah Banggol Legeng untuk menemui Baba Hj Mohd Ramli Hj Hussin. Selain daripada menjadi pengetua pondok tersebut, beliau juga merupakan Pengerusi Majlis Syura Persatuan Ulama Fatani Darussalam. Majlis Syura ini merupakan satu lujnah di bawah Persatuan Ulama Fatani Darussalam yang mengendalikan tugas-tugas mengatur strategi politik Thailand.

Ketibaan rombongan kami di sana disambut mesra oleh tuan guru sendiri bersama beberapa orang-orang penting di sana. Ketika ini, pondok tersebut agak sibuk dengan tugasan pilihan raya kerana pihak Persatuan Ulama telah meletakkan ramai calon-calon untuk bertanding bagi merebut kerusi dalam kerajaan Thai. Pondok tersebut merupakan pusat atau markaz untuk mengatur gerak kerja serta jadual ceramah. Walaupun bergelar seorang tuan guru, namun pandangan dan idea masa depannya cukup menarik perhatianku. Pondok tersebut dilengkapi dengan kemudahan moden seperti sebuah parabola yang tingginya melebihi ketinggianku, komputer dan sistem komunikasi ‘wayerless’. Keadaan sekitar pondok masih lagi dalam pembangunan dan memerlukan sumbangan orang ramai bagi menyiapkan prasarana dan infrastruktur asas bagi memudahkan para pelajar untuk menuntut ilmu. Ilmu yang dicurahkan adalah percuma tanpa sebarang bayaran yang dikenakan ke atas para pelajar. Kami berpeluang untuk melihat pelan pembangunan yang bakal dilaksanakan serta dapat melihat sendiri tapak pembinaan. Semoga Allah membantu usaha yang terlalu murni ini dalam membangunkan masyarakat Islam Fatani daripada terus ditindas oleh kerajaan dan masyarakat Thai.

Menurut Baba Hj Mohd Ramli lagi, para pejuang Islam telah mengubah cara dan taktik perjuangan untuk menubuhkan sebuah negara atau wilayah Islam daripada penentangan bersenjata berbentuk gerila yang dipelopori oleh Pasukan Pembebasan Patani Bersatu (Patani United Liberation Organizations – PULO) kepada perjuangan menaikan taraf pendidikan dan martabat masyarakat Islam Fatani. Mereka cuba untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada masyarakat Islam Fatani bagi membolehkan mereka untuk bersaing dengan masyarakat Thai dalam menjawat jawatan kerajaan. Bila mereka terpilih untuk menjawat jawatan dalam jabatan kerajaan, maka peluang mereka untuk membuat perubahan ke arah Islam amat cerah sekali. Dan ini adalah cara terbaru yang menjadi wadah perjuangan Persatuan Ulama Fatani. Walaupun begitu, PULO masih tetap diperlukan bagi menjaga kepentingan masayarakat Islam Fatani daripada terus ditindas oleh pihak berkuasa Thai.

Sebagai penghormatan, rombongan kami dihidangkan jamuan daging kambing. Kata tuan guru, sememangnya Allah telah mentakdirkan rombongan kami untuk sampai pada hari itu kerana Allah telah menggerakkan hati beliau untuk mengadakan jamuan tersebut. Sesungguhnya perancangan Allah itu adalah terlebih baik dari segala perancangan.

Kami juga sempat mendengar hal ehwal perkembangan politik Thailand daripada Tuan Guru. Menurut beliau, Persatuan Ulama Fatani telah meletakkan beberapa orang calon untuk bertanding pilihan raya Thai melalui tiket Parti Harapan Baru (NAP) yang dipimpin oleh Tan Sri Chavalit Yongchaiyudh. Banyak kerusi yang telah dimenangi oleh Parti Harapan Baru yang membolehkan parti tersebut menubuhkan kerajaan campuran dengan parti Thai Rak Thai yang dipimpin oleh jutawan Thai yang berketurunan cina, Taksin Shinawatra.

Diantara calon-calon yang terkenal dalam pilihan raya tersebut ialah Wan Mohammad Nor Mattha yang merupakan bekas speaker parlimen. Beliau yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan termasuk menteri pengangkutan merupakan ahli politik Islam Thai yang paling popular bukan sahaja di kalangan orang Islam bahkan juga di kalangan orang bukan Islam.Wan Mohammad Nor mungkin dilantik sebagai menteri atau timbalan perdana menteri dalam kerajaan campuran yang akan dibentuk oleh Taksin Shinawatra. Beliau juga merupakan ahli beberapa pertubuhan Islam seperti Ikatan Dunia Islam (Rabitah al-‘Alam al-Islami), kunjungan beliau ke negara-negara Islam dan penyertaan beliau dalam sidang dan forum peringkat dunia Islam dan antarabangsa dianggap mengharumkan umat Islam Thai.

Den (Zainul Abidin) yang kini merupakan senator adalah bekas timbalan menteri dalam negeri. Beliau merupakan anak kepada seorang pejuang Islam Selatan Thai yang terkenal, Tuan Guru Hj Sulong Tohmeena yang dibunuh oleh polis Thai dengan dicampak ke laut.
Manakala Areepen (Arifin) pula merupakan bekas timbalan menteri pendidikan. Beliau terkenal di kalangan penduduk tempatan sebagai peguam rakyat kerana selalu terlibat dalam kes-kes membela hak orang Islam.

Ketiga-tiga ahli politik Islam Thai ini adalah pemimpin kumpulan Wahdah dalam Parti Harapan Baru (NAP).
Sesuatu yang cukup membanggakan kami apabila kami diberitahu bahawa pihak Persatuan Ulama telah berjaya mengubah Perlembagaan Thai melalui calon-calon mereka dengan memasukkan elemen-elemen atau unsur-unsur Islam. Sebagai contohnya meluluskan undang-undang pentadbiran Islam, membenarkan pemakaian tudung di sekolah, universiti dan di tempat kerja, membayar sagu hati bulanan kepada imam, khatib dan bilal, membangunkan prasarana dan kemudahan awam di kawasan Islam termasuk yang berkaitan dengan prasarana dan kemudahan agama seperti pembinaan tempat sembahyang di stesen kereta api, stesen bas dan lapangan terbang, mengagih kuasa pusat dan lain-lain.

Kejayaan ini merupakan kejayaan yang amat besar di kalangan masyarakat Islam kerana mereka telah berjaya mengubah undang-undang Thai, sebuah negara yang diperintah oleh orang bukan Islam tetapi bersedia untuk mengamalkan undang-undang Islam. Kami cukup berbangga kerana golongan ulama adalah para pejuang di sebalik tabir kejayaan ini. Ini adalah buktinya bahawa tuduhan bodoh tentang golongan ulama tidak boleh memerintah dan hanya layak duduk di masjid sahaja merupakan hujah yang terlalu kolot dan jumud. Buktinya telah jelas dan nyata dengan kejayaan calon-calon Persatuan Ulama Fatani ini dan juga kejayaan-kejayaan kerajaan lain seperti Kerajaan Kelantan, Terengganu, Algeria, Sudan dan banyak lagi.

Aku cuba mencungkil rahsia kejayaan yang diperolehi mereka dan hasilnya adalah pergantungan harap mereka dengan Allah s.w.t. adalah terlalu kuat. Walau sesibuk mana sekalipun, taqarrub dengan Allah adalah amalan dan tujuan utama hidup mereka. Jadi Allah akan menurunkan pertolongan dengan tidak disangka-sangka. Dalam kesibukan mereka, majlis zikrullah dan majlis ta’lim tetap diadakan. Setiap kali program itu diadakan, tidak kurang dari dua tiga ribu orang yang hadir hingga memenuhi kawasan padang sekitar pondok. Dan tambahan pula, kebanyakkan pemimpin Persatuan Ulama Fatani ini mengamalkan Tareqat Naqsyabandiah ‘Aliyah melalui As-Syeikh Syed Mohd Alawi al-‘Abbasi al-Maliki al-Hasani, cucunda keturunan Rasulullah yang bermastautin di Mekah.

Selepas bergambar kenangan bersama dengan tuan guru, kami meninggalkan perkarangan pondok dengan salam ukhwah yang kukuh. Tuan guru mengalu-alukan lagi kedatangan kami ke sana. Sesungguhnya Allah telah mengikat hati-hati kami ini di atas satu dasar perjuangan untuk melihat Islam kembali dijulang dan diamalkan sebagai satu cara kehidupan yang rabbaniah.

Hari dah semakin gelap. Seterusnya kami ingin mencari seorang sahabat yang telah terputus hubungan lebih kurang dua tiga belas tahun. Berdasarkan alamat yang diperolehi, kami bertolak dari Banggol Legeng menuju ke Kampung Beris dalam wilayah Saiburi (Teluban). Agak jauh juga jarak perjalanan kami diantara wilayah Narthiwat dan Saiburi itu. Namun oleh kerana ingin menyambung kembali tali perhubungan yang telah terputus, tetap kami usahakan.

Usaha kami itu, tidaklah sukar sangat kerana Adnan, orang yang kami cari itu merupakan seorang ustaz. Jadi namanya dikenali oleh kebanyakkan masyarakat tempatan. Setelah beberapa kali bertanya penduduk di situ, akhirnya kami menemui rumah Adnan. Tetapi beliau tiada di rumah. Kata ibunya, dia hanya keluar sekejap sahaja. Jadi kami membuat keputusan untuk menunggu sahaja kerana belum tentu kami berpeluang untuk datang ke sini di lain kali.

Rumahnya terletak di kawasan kaki bukit. Menurut Ustaz Zawawi, kawasan ini suatu ketika dulu adalah kawasan ‘orang hutan’. ‘Orang hutan’ yang dimaksudkan ialah gerila-gerila PULO yang sering mengadakan sekatan terhadap penduduk. Tapi sekarang ‘orang hutan’ ini amat jarang sekali untuk muncul di khalayak masyarakat kerana mereka telah menukar cara strategi perjuangan mereka. Sebut aje PULO, hampir semua masyarakat berketurunan Thai hatta kerajaan Thai sendiri pun gentar dengan perjuangan mereka. Kerana mereka tidak takut mati, perjuangan mereka hanyalah untuk menegakkan Islam dan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Kami sendiri pun kalau berpeluang ingin juga bertemu dengan gerila-gerila PULO ini. Ingin mendapatkan penerangan tentang perjuangan mereka yang telah lama berlangsung hingga kini. Dan setiap perjuangan itu tidak pernah lepas daripada ujian dan dugaan. Beberapa orang pemimpin gerakan ini telah ditangkap. Termasuk mereka yang telah lari ke Malaysia. Kerajaan Thailand telah mengadakan kerjasama dengan pihak Malaysia untuk menangkap pemimpin gerakan PULO yang telah lari ke Malaysia. Hasilnya, beberapa orang pemimpin yang bergelar tuan guru telah ditangkap dan dibawa ke Thailand untuk menjalani hukuman. Tetapi api gerakan tetap marak walaupun tangkapan demi tangkapan berlaku. Semoga Allah membantu hambanya yang berjuang di atas jalan yang benar dalam menegakkan kalimah suci Ilahi.

Suasana yang mengharukan telah terjadi tatkala pertemuan diantara dua sahabat yang lama berpisah. Masing-masing berpelukan, bertanyakan khabar kerana telah banyak perubahan diri berlaku. Kami dijemput untuk naik ke rumah. Pada mulanya kami hanya ingin singgah sekejap sahaja di rumah Ustaz Adnan ini, namun beliau menahan kami untuk makan malam bersama. Dia tidak membenarkan kami pulang selagi tidak menjamah hidangan. Katanya, entah bila lagi akan dapat peluang sebegini. Dan sesungguhnya pertemuan yang dirancang Allah ini sungguh bermakna. Adnan mengarahkan isterinya untuk memasakkan makan malam buat kami. Seperti yang telah kunyatakan, bahawa mereka amat menghormati tetamu kerana tetamu yang bertandang ke rumah mereka membawa bersama seribu kerahmatan.

Kami tinggalkan Ustaz Adnan dengan salam perpisahan yang cukup mengharukan hati. Masing-masing terlalu sayang untuk berpisah, namun perjalanan ini masih jauh. Jadi kami masing-masing mengikat janji untuk saling kunjung mengunjungi tatkala masa terluang. Semoga Allah memberkati perjanjian kami ini.

Kami meneruskan perjalanan, balik ke rumah Ustaz Zawawi di Banggol Merbau untuk bermalam di sana. Pak ngah selaku pemandu dan pemilik kenderaan pacuan empat roda itu, terus setia dengan pemanduan walaupun tersedia pemandu simpanan yang bila-bila masa sahaja boleh mengambil tempatnya sebagai pemandu. Sewaktu kenderaan kami memasuki pekan Kedai Jabat, pihak polis Thai telah menahan kenderaan kami dalam satu sekatan jalan raya. Ustaz Zawawi yang menguruskan segala-galanya dengan pihak polis kerana mereka berurusan dalam bahasa Thai. Mereka minta segala dokumen perjalanan kami untuk pemeriksaan. Sekali lagi nasib menyebelahi kami kerana segala dokumen perjalanan disimpan oleh Aswadi selaku ketua rombongan. Walaubagaimana sekalipun, hati ini tetap berdoa agar Allah menjauhkan segala kesusahan dari kami kerana perjalanan kami bukannya untuk maksiat tetapi untuk mencari keredhaanNya jua. Aku amat bersyukur pada Allah tatkala pihak polis membenarkan kami melepasi sekatan jalan raya tersebut sambil mengucapkan selamat jalan kepada kami. Hanya Allah jua yang amat mengetahui segala isi hati kami pada masa itu.
Kami tiba di rumah Ustaz Zawawi dengan disambut oleh keluarganya. Selama ini, setiap kali sessi perjalanan kami, rumah Ustaz Zawawi adalah hostel utama kami untuk berehat. Kami terlalu terhutang budi kepada keluarganya. Kami terus bergegas untuk mandi dan ke bilik air bagi mengerjakan solat jama’ qasar takhir maghrib dan isyak. Terasa sedikit segar badan ni setelah disiram air walaupun agak keletihan kerana perjalanan jauh yang dilalui. Setelah menunaikan tanggungjawab seorang ‘abid terhadap khaliqnya secara berjemaah dengan Izzat, anak buahku yang cukup menghiburkan hatiku tatkala dalam perjalanan sebegini aku menikmati jus asam jawa. Di sini, jus asam jawanya cukup istimewa sekali. Hanya orang yang pernah merasainya sahaja yang tahu betapa istimewanya jus tersebut.

Aku tak dapat untuk mengikuti perbualan ahli rombongan kerana terlalu penat dan mata rasa dah mengantuk. Jadi, aku mengambil tempat untuk berbaring bersama Izzat. Aku sendiri pun tak tahu bila masanya aku terlelap.

“ Ya Allah! Sesungguhnya aku menyerahkan jiwaku ini ke hadratMu. Hanya padaMulah aku bermohon agar dipeliharakan segala urusan kehidupanku. Bantulah aku dalam menjalankan tanggungjawab ini.”

“ Ya Allah! Aku ini hamba yang lemah. Kiranya tanpa pertolonganMu nescaya tidak kumampu untuk menunaikannya. Ya Allah! Kasihanilah aku, ampunilah daku dan perkenankanlah doaku.”

“ Ya Allah! Engkaulah tempat tujuanku dan redhaMu yang kucari. Kurniakan aku cintaMu dan ma’rifatMu.”

Full name:
Email address:
Comment: