Keruntuhan Nilai Moral
Laman Utama | Doa | Galeri Foto | Legal | Diskusi | Untaian Kata | Sudut Hukum | Warkah | Puisi | Cerpen | Kembara | Tetamu | Tazkirah | Link | Komentar Buku
Seruling Senja

Keruntuhan Nilai Moral

 

Dewasa ini kita lihat keruntuhan nilai moral dalam masyarakat kita makin menjadi-jadi. Dulu hanya sekadar luka tetapi sekarang sudah menjadi makin serius dan akan terus melarat sekiranya tiada sebarang tindakan segera untuk membendung atau mengubatinya diambil. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila  golongan muda atau belia Islam turut menjadi mangsa.

Bermacam-macam gejala sosial dan keruntuhan nilai moral yang melanda golongan ini. Diantaranya pergaulan bebas, lepak, pakaian menjolok mata, hubungan seks bebas dan pelbagai masalah lain.

Sekiranya kita soroti masalah ini dengan teliti, kita akan dapati ia adalah berpunca daripada kecelarauan hidup yang mementingkan keseronokan tanpa menghiraukan batas-batas serta larangan agama. Sikap suka meniru budaya-budaya barat dengan mengagung-agungkan penyanyi serta pelakon. Setiap gerak-geri dan kelakuan artis tersebut dituruti dengan bangga tanpa ada rasa segan silu. Berpakaian begitu menjolokkan mata sehingga mendedahkan segala lurah yang sepatutnya ditutup rapi daripada pandangan umum. Berpakaian begitu dikatakan sebagai ‘up to date’ dan masyarakat pula tidak mengendahkan semua itu. Padahal telah banyak fatwa-fatwa ulama yang mengharamkan perbuatan itu. Persatuan atau NGO Islam juga telah menyuarakan pelbagai ketidakpuasan hati mereka terhadap fenomena yang berlaku itu. Namun, tiada sebarang tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak yang bertanggungjawab. Malah, pelbagai program yang jelas melanggar hukum terus diadakan atas alasan konsert amal, kutipan derma, program hiburan dan sebagainya. Berpusu-pusu syarikat besar memberikan tajaan untuk menjayakan program tersebut dengan diberikan publisiti yang cukup meluas. Tidak cukup dengan akhbar dan majalah, hebahan tv dan radio juga turut tidak kentinggalan.

Apabila berlakunya gejala buruk akibat daripada program dan budaya songsang yang dianjurkan itu, masing-masing akan cuba berlepas tangan dan menunding kearah orang lain tanpa mengakui kesalahan diri sendiri. Ibubapa yang  hanya melihat gelagat kelakuan anak-anak tanpa menegur dan memberikan pengajaran kearah kebaikan. Membiarkan mereka terus hanyut dengan fahaman dan anutan itu. Pihak kerajaan pula terus memberikan hak penyiaran sama ada dalam akhbar, majalah, tv dan radio untuk menyiarkan program-program tersebut tanpa pemantauan yang rapi. Membiarkan artis-artis yang menjadi pujaan kegilaan golongan belia remaja mendedahkan aurat untuk tatapan umum tanpa rasa segan silu. Golongan ini muda sanggup menghabiskan wang untuk menyokong artis pujaan mereka dan sanggup menangis sekiranya artis pujaan mereka kalah atau menerima apa-apa musibah.

Dalam hal ini, siapakah sebenarnya yang patut dan harusnya dipersalahkan diatas masalah yang besar ini timbul? Tidakkah kita rasa bertanggungjawab diatas kejadian tersebut? Adakah kita semua mahu lihat anak-anak muda kita yang kita laungkan sebagai pemimpin masa depan akhlaknya runtuh dan tidak bermoral? Mahukah kita berada dibawah pimpinan pemimpin yang tidak mempunyai akhlak yang terpuji?