Dari Abi Dzar al-Ghifari r.a dari Nabi s.a.w yang diriwayatkan dari Tuhannya Allah Azzawajalla, Dia berfirman:
“
Hai hamba-hamba Ku! Sesungguhnya Aku haramkan kezaliman atas diri Ku dan Aku jadikan dia (perkara) yang diharamkan antara
kamu. Maka janganlah kamu berbuat kezaliman.
Hai hamba-hamba Ku! Sekalian kamu adalah tersesat kecuali sesiapa yang
Aku telah berikan hidayah kepadanya. Maka mintalah hidayah kepada Ku, tentu Aku memberikan hidayah itu kepada kamu.
Hai
hamba-hamba Ku! Sekalian kamu adalah lapar kecuali sesiapa yang Aku telah memberikan makan kepadanya. Maka mintalah makanan
kepada Ku, maka tentu Aku memberikan makanan kepada kamu.
Hai hamba-hamba Ku! Sekalian kamu adalah telanjang kecuali
sesiapa yang Aku telah memakaikannya. Maka mintalah pakaian kepada Ku, tentu Aku akan memakaikannya kepada kamu.
Hai
hamba-hamba Ku! Sekalian kamu adalah bersalah malam dan siang dan Aku yang mengampunkan dosa. Maka mintalah keampunan kepada
Ku, tentu Aku akan mengampuni bagi kamu.
Hai hamba-hamba Ku! Sesungguhnya kamu tiadakan dapat menyampaikan kemudharatan
kepada Ku, maka kamu hendak mendatangkan kemudharatan itu kepada Ku. Dan kamu tiadakan dapat menyampaikan manfaat kepada Ku,
maka kamu hendak menyampaikan manfaat itu kepada Aku.
Hai hamba-hamba Ku! Kalau sekiranya orang-orang yang terdahulu
dan yang terkemudian daripada kamu dari jenis manusia dan jin, adalah semuanya itu setakut-takut hati kepada Allah seperti
takutnya hati seorang lelaki daripada kamu; nescaya yang demikian itu tiada menambahkan pada Kerajaan Ku sedikit jua pun.
Hai hamba-hamba Ku! Kalau sekiranya orang-orang yang terdahulu dan yang terkemudian daripada kamu dari jenis manusia
dan jin, adalah semuanya sejahat-jahat hati seperti hati seorang lelaki dari kamu; nescaya yang demikian itu tiada pula mengurangkan
sesuatu pun dari Kerajaan Ku.
Hai hamba-hamba Ku! Kalau sekiranya orang-orang yang terdahulu dan yang terkemudian
daripada kamu dari jenis manusia dan jin, adalah semuanya berdiri pada suatu tanah lapang lalu masing-masing meminta kepada
Ku dan Aku telah memberikan kepada tiap-tiap seorang itu akan permintaannya; nescaya yang demikian itu tiada mengurangkan
daripada apa yang ada di sisi Ku selain seperti kurangnya jarum apabila dimasukkan kedalam laut.
Hai hamba-hamba Ku!
Hanya segala amal kamu akan Aku hitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakannya bagi kamu. Barangsiapa mendapati kebaikan
maka hendaklah dia memuji Allah, dan barangsiapa mendapati yang lain dari yang demikian itu maka janganlah dia mencela kecuali
dirinya sendiri. ”
(Riwayat Muslim)
|