Wasiat Buat Isteri Tercinta II
Laman Utama | Doa | Galeri Foto | Legal | Diskusi | Untaian Kata | Sudut Hukum | Warkah | Puisi | Cerpen | Kembara | Tetamu | Tazkirah | Link | Komentar Buku
Seruling Senja

 

     Dengan nama Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian hati. Segala puja dan puji kupersembahkan sebagai tanda perhambaan. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, pembawa ajaran kebenaran dan ahli keluarga serta sahabat baginda yang terpilih lagi terpuji sekalian.

 

Sayang…

     Dalam mengharungi kehidupan ini, kita tidak pernah sunyi dari kesalahan. Besar atau kecil bukanlah kiraan, namun ia tetap kesalahan. Begitu juga dengan ku. Hidupku ini penuh dengan kesalahan. Dosaku pada Tuhan. Dosaku pada taulan tidak terkecuali padamu sayang.

 

Sayang…

     Tiada apa yang dapat menghapuskan dosaku kecuali keampunan Tuhan. Tidak dapat ku temui Tuhanku dalam keadaan tenang penuh dengan kerdhaan kecuali dengan kemaafanmu sayang. Aku bukanlah wali dalam mencari rahmat Tuhan. Aku bukanlah nabi dalam mendapatkan kecintaan Tuhan. Namun aku hanyalah seorang hamba yang kehinaan mencari sejuta keampunan Tuhan bagi dosaku seluas lautan.

 

Sayang…

     Kemaafan mu kutuntut sebagai bekal perjalanan. Terlalu banyak kesalahanku padamu sepanjang perkongsian hidup kita. Aku tahu ada luka di hatimu. Aku tahu ada guris di jiwamu. Oleh kerana toresan belati kesalahanku. Oleh itu, maafkanlah aku suami mu ini. Agar aku tidak tersandung oleh kerikil kesalahanku padamu di pertengahan perjalananku dalam mencari keampunan Tuhan.

 

Sayang…

     Engkaulah insan teristimewa buatku. Anugerah Tuhan sebagai teman perjalanan hidupku. Pun begitu, aku sebenarnya tidak mempunyai kelayakan untuk bergandingan denganmu kecuali ia merupakan takdir ketentuan Tuhan sebagai anugerah buatku. Aku terasa malu sendirian merenung kebaikanmu padaku.

Ya Allah, Ya Tuhan…

     Aku mensyukuri atas nikmatMu kepada ku. Anugerah tidak ternilai harganya dengan seisi dunia. Maka, kekalkanlah kebersamaan kami. Satukanlah jiwa kami dan restuilah perjalanan hidup kami. Jauhkanlah kami dari fitnah dan hasad syaitan yang boleh merosakan hati kami dengan seizin Mu wahai Tuhan. Rahmatilah hidupnya dunia dan akhirat. Janganlah Engkau jadikan diriku ini satu bebanan yang menyusahkan hidupnya.

 

Seruling Senja

07 Februari 2007

12.35 tengahari

Mahkamah Majistret, Tumpat Kelantan.