Nota Akhir
Laman Utama | Doa | Galeri Foto | Legal | Diskusi | Untaian Kata | Sudut Hukum | Warkah | Puisi | Cerpen | Kembara | Tetamu | Tazkirah | Link | Komentar Buku
Seruling Senja

      Entah mengapa baru kini aku ingin ceritakan kisah duka ini walaupun ia telah lama berlaku pada diriku. Aku sendiri pun tidak tahu mengapa sehinggakan dada ini bagai mahu pecah oleh kerana memendamnya terlalu lama. Berdendamkah aku pada seseorang yang pernah kucintai?

    

Aku tidak pernah mempersoalkan siapakah antara kita yang bersalah. Cuma aku sedar bahawa aku yang tidak patut atau tidak layak dan mungkin begitu takdir cinta pertamaku telah ditetapkan Tuhan. Jadi aku tidak pernah mempersalahkan dia sebagaimana dia menyalahkan aku atas terungkainya cinta ini. Pada hal aku sendiri yang mengikatnya kemas dan ku kuncinya dalam hatiku. Cuma mungkin silapku kerana telah kuserahkan kunci cintaku padanya. Maka dengan sewenang itu dia merungkaikan cintaku hanya dengan satu fitnah yang tidak pernah aku lakukan.

 

     Kisah cinta yang kumulai dengan bibit persahabatan yang akrab. Seingat ku, aku sentiasa mendahulukannya dalam setiap perkara hatta dalam doaku pun, aku tidak pernah melupakannya. Namun begitulah, tiada siapa pun tahu akan ketetapan Tuhan di papan Loh sana. Cuma aku pasrah dan redha dalam linangan air mata dan peritnya apabila terhina sebuah maruah yang rapi kujaga namun diterobosi juga oleh sebuah fitnah.

 

     Pernah kujelaskan padamu tentang fitnah itu, tapi engkau masih terus memilih untuk mempercayainya dari aku kekasihmu sendiri. Walau berkali kukatakan, namun engkau terus begitu. Maka dengan rendah dirinya aku pabila maruah terhina, menyerahkan kunci simpulan cinta ini kepadamu kerana aku tidak sanggup untuk merungkainya sendiri. Aku tetap yakin dengan sumpah cinta yang aku benamkan dalam lubuk hati.

 

     Maka pada hari itu, terburailah segala isi perut cintaku pabila dirobek oleh suatu fitnah yang aku sendiri tidak pernah terbayang untuk melakukannya. Dengan keputusan mu itu, maka aku dengan hinanya terdampar di pantai ombak sewaktu bahtera cinta kasihku berkecai dipukul badai. Namun begitu aku sempat berpaut dan menyelamatkan sekeping papan cintaku yang bakal ku ukirkan namaku untuk dijadikan nisan pada pusara cinta yang tidak berkesampaian. Pusara inilah yang selalu kulewati untuk ku buang rerumput dan lalang yang mengelilinginya sewaktu aku terkenang pada suatu kisah yang tidak akan kupadamkan dari lipatan ingatan.

 

     Pernah ku katakana bahawa aku bukanlah lelaki yang hebat untuk menanggung cintamu. Namun engkau tetap beranggapan begitu, maka dengan seluruh upaya, aku kendong kasih cintamu dalam memastikan ia tidak keciciran di pertengahan jalan.

 

     Tapi mungkin engkau tidak pernah mengenali aku. Walau badan yang kecil tapi jiwaku cukup besar. Memang betul aku tidak pernah menghulurkan sebarang tanda sebagai menerima cintamu. Ketahuilah olehmu bahawa telah aku binakan tugu kasihmu di hati ku dengan batu-batu keikhlasan dan padanya ku ukirkan namamu dengan dakwat keemasan yang indah dan berkemilau.

 

     Mungkin engkau tidak tahu akan falsafah cinta. Cinta memerlukan persefahaman, cinta menghendaki kepercayaan, cinta mahukan kejujuran dan pastinya cinta juga menuntut pengorbanan. Kegagalanmu untuk mempercayaiku adalah satu noda dalam cinta. Cintamu itu telah goyah oleh kerana ting kepercayaanmu  terlalu reput untuk menompang bumbung kejujuran dan keikhlasanku.

 

     Tapi aku juga akur dengan falsafah cinta bahawa mencintai tidak semestinya memiliki. Maka dengan kesedihan yang meliputi keseluruhan jiwaku ini aku lepaskan cintamu padaku dan aku simpankan cintaku padamu kejap dan seteguh tugu yang telah ku bina di hati ini. Hanya takdir akan menentukan riwayat keteguhannya kerana aku sudah tidak mampu merobohnya lagi.

 

     Aku tidak pernah menghalau memori indah yang kadang-kadang datang bertamu melawat aku tatkala rindu. Aku biarkannya bermain di hujung kalbu sekehendaknya. Ia akan pulang dan datang lagi semahunya. Aku cukup senang begitu walaupun hadirnya boleh mencarik kembali kudis luka yang hampir sembuh.

 

     Dan aku mengambil masa hampir tujuh tahun untuk hilangkan bisanya namun parut tetap ada. Kini parut itu masih lagi kelihatan. Mujur aku telah bersedia untuk menerima seorang perawat yang akan merawat luka ini namun ia tidak akan mampu untuk menghilangkan kesan parut ini.

 

     Dan terakhir, aku sempat meninggalkan secebis nota sebelum aku pergi meninggalkan halaman duka ini. Aku sentiasa mendoakan kebahagiaannya walau siapa pun yang bakal menggantikan aku. Pesanku, carilah lelaki yang terlebih baik dariku dan bukan yang jahat seperti aku.

 

 

 

                               Seruling senja

                               22.10.03

                               5.03 petang

                               Kota Bharu.     

Enter supporting content here