Aku begitu tertarik sekali untuk mengembara ke Indonesia. Mencari
hasil peninggalan para ulama nusantara, terutamanya Wali Songo. Aku rasa, darah moyangku Syed Thanauddin Jamadil Kubra masih
segar mengalir dalam tubuh ini. Dia seorang pengembara kental dati Tanah Haram untuk menawan pelosok dunia Islam. Kini aku,
cicitnya akan kembali meneruskan kembara itu. Telah banyak buku-buku dan cerita yang kubaca serta dengar mengenai ulama-ulama
dahulu. Itulah sebabnya minatku timbul untuk menyaksikan sendiri pusaka para Waliyullah itu.
Malam yang semakin larut membuatkan fikiranku bertambah kusut. Bagaimanakah bisa kucapai hajatku ini. Aku ke bilik
air untuk berwudhuk. Sebelum kutinggalkan malam ini, kusolat hajat. Sujud memohon perkenan Allah agar mengkabulkan hajat hajatku
ini. Selepas itu aku berwirid panjang. Selawat dan asma Allah meniti melalui rekahan bibir. Kubiarkan jasad zahir ini lebur
bersama zikir dan wirid.
Di awal pagi, setelah selesai solat Subuh, aku berwirid sebentar. Suasana di Ceribon ini begitu mendamaikan jiwaku.
Aku bagaikan berimimpi. Dan kini aku sudah berada di Masjid Sunan Gunung Jati, Ceribon. Suasana daerah wali ini membakar semangat
juangku.
Assalamualaikum
Warahmatullah!! Satu suara memutuskan kalimat zikir dari bibirku.
Sewaktu aku berpaling, terpampan di hadapanku seorang lelaki separuh abad. Tegap tubuhnya, sasa dan gagah.
Waalaikumusslam Warahmatullah!!
Apa khabar Ya tuan Sheikh? Soalku sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Kucium tangannya yang dingin itu dan tidak
semena-mena dia memeluk tubuhku.
Cucuku Syed Zulkarnain!! Seru orang tua itu. Entah dari mana dia tahu namaku. Sedangkan aku baru sahaja sampai ke situ.
Ya tuan sheikh!!. Sahutku.
Jauh sungguh engkau mengembara.
Aku ingin menatap sejarah di sini tuan sheikh. Jelasku padanya. Harapanku, agar dia dapat menolongku.
Cucuku, tiada apa yang hendak dibanggakan di sini melainkan hanyalah tinggalan sepi takdir dan ketentuan dari Ilahi.
Terangnya peralahan.
Di sini ada semangat yang kental perlu dibanggakan dan pejuang yang gagah untuk disanjung. Jelasku lagi.
Rupa-rupanya, engkau tak ubah seperti moyangmu.
Aku terkejut. Dari manakah dia tahu tentang moyangku.
Keturunanmu adalah leluhur yang mulia. Sambungnya lagi.
Bagaimanakah bisa tuan sheikh kenal akan moyangku?
Usahlah engkau ragu-ragu tentang itu. Aku bercakap benar.
Kata-katanya itu menambahkan lagi kekusutan yang telah sedia ada dalam fikiranku. Siapakah orang
tua ini? Segala-galanya dia tahu tentang diriku, sungguh aneh.
Mari cucuku! Ingin kutunjukkan padamu pusaka moyangmu yang berada di tanganku.
Tuan Sheikh memimpin tanganku keluar dari masjid, menuju pesantren yang berceratuk disitu. Aku dibawa naik ke sebuah
rumah traditional Jawa. Cantik sekali binaannya.
Terimalah pusaka moyangmu ini, ujar tuan sheikh sambil menghulurkan sesuatu yang panjang berbungkus kain kuning. Aku
menerimanya dengan perasaan tertanya-tanya. Apakah yang ada di dalam balutan kain kuning ini?
Bukalah, sekarang ia milikmu, arah tuan sheikh. Seolah-olah dia tahu setiap detik hatiku.
Aku membukanya dengan berhati-hati. Alangkah terpegunnya aku bila kudapati balutan kain kuning itu mengandungi sebilah
pedang lama yang sangat cantik. Hulu dan sarungnya bertatahkan batu permata. Aku menarik keluar pedangnya. Pada matanya kudapati
tertera kalimah syahadah.
Pedang itu berusia kira-kira 830 tahun. Kata tuan sheikh padaku.
Tergamam aku. Dari manakah moyangku memperolehi pedang yang begitu lama
usianya ini. Timbullah berbagai-bagai persoalan dalam benak fikiranku.
Ia adalah pedang panglima perang yang agung bernama al-Malik Annasir Salahuddin Yusof bin Najmuddin al-Ayyubi atau
terkenal dengan nama Salahuddin al-Ayyubi. Dan kamu cucuku adalah keturunannya. Sambung tuan sheikh.
Kutatapi pedang itu sepuas-puasnya. Tidak sia-sia aku mengembara ke sini. Kuciumnya berkali-kali sebagai tanda kegembiraan
yang teramat sangat kerana menerima pusaka yang berharga.
Bolehkah aku membawanya pulang bersamaku nanti? Tanyaku inginkan kepastian.
Sudah tentu. Bahkan engkau berhak segala-gala ke atasnya cucuku.
Akan kutunjukkannya pada keluargaku hasil pengembaraan ku ini nanti. Akan kuceritakan pada mereka, leluhur keluarga
adalah keturunan yang mulia.
Setelah sekian lama aku asyik dengan pedang itu, barulah kusedari bahawa orang tua yang kupanggil tuan sheikh itu sudah
tiada disisiku. Aku menoleh kiri dan kanan, kalau-kalau dia ada di situ. Dia tiada.
Zul ! Zul ! Suara ibu mengejutkan aku. Begitulah setiap malam. Ibu bersusah payah untuk mengejutkan aku di sepertiga
malam.
Aku bangun menuju ke bilik air untuk berwudhuk. Kemudian ku solat tahajjud, sunat taubat, sunat hajat dan ku akhiri
dengan solat witir. Bermohon kepada Allah , agar kehidupan dunia dan akhiratku adalah di bawah rahmatNya. Juga doa buat ibu
yang bersusah payah untukku. Kemudian, kuberwirid panjang khusyuk, tadharu, tamalluk .
Setelah puas kucari tuan sheikh, aku pun turun menuju ke masjid. Rupa-rupanya dia sedang memberikan kuliah kepada murid-muridnya.
Ketahuilah wahai muridku sekalian.
Perjuangan dalam menegakkan kalimah Allah di bumi ini memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit.
Perjuangan yang suci merupakan satu jalan yang berkesan untuk mencari keredhaan Allah s.w.t di dunia dan akhirat, tuan
sheikh berhenti seketika untuk memungut kembali hujah-hujah yang perlu disampaikan dan dikupas untuk murid-muridnya itu. Dia
memerhatikan setiap muridnya, menyorot anak mata mereka mencari sinar ketaqwaan yang mesti dinyalakan bagi meneguhkan nekad
dan keimanan mereka.
Akhir sekali, dia memerhatikan aku yang berdiri di tangga masjid. Aku terpukau seketika dengan kuliahnya yang melonjak-lonjakkan
semangat juangku.
Cucuku Zulkarnaian, datang kemari! Dia mengamit aku untuk datang kepadanya. Semua muridnya berpaling ke arahku. Aku
sedikit gementar terhadap mereka yang tak pernah aku kenali.
Assalamualaikum Warahmatullah!! Salam kuberikan pada mereka sebagai tanda persaudaraan yang erat.
Waalaikumussalam Warahmatullah!! Bergema suara mereka di ruang masjid, menyambut salam dariku.
Ke mari cucuku!! Pamit tuan sheikh membuatkan aku terpaksa membatalkan niatku untuk duduk bersama-sama sekalian muridnya
itu.
Ke mana kamu pergi cucuku? Puas sudah aku mencarimu, soal tuan sheikh.
Maafkanku tuan sheikh. Sebenarnya, aku tak ke mana-mana hanya duduk menatap pusaka moyangku itu saja, jelasku padanya
dengan perlahan.
Dia mengangguk-angguk tanda faham dengan penjelasanku itu. Dia berpaling memandang sekalian muridnya yang sedia menanti
curahan ilmu tanpa sedikitpun rasa jemu di hati.
Murid-muridku sekalian! Ingatkah kalian pada panglima perang yang agung Salahuddin al-Ayyubi?
Ingat pak guru!! Jawab sekalian murid.
Nah, sekarang berdiri di hadapan kalian ini adalah leluhur panglima itu yang masih mengalir lagi darah perjuangannya
itu di dalam tubuh ini. Katanya sambil menepuk-nepuk bahuku. Aku rasakan, tuan sheikh keterlaluan kerana menghormatiku yang
serba jahil ini berbanding dengannya yang melaut luas ilmunya itu.
Semua mata muridnya menikam wajahku. Memerhati tamu gurunya ini.
Aku sangat berharap pada kalian, agar kalian menghormatinya sebagaimana kalian menghormati diriku. Bicara tuan sheikh
pada murid-muridnya.
Ya Allah! Sampai begitu sekali sanjungan tuan sheikh ini padaku, detik hati kecilku.
Wahai tuan sheikh! Tidakkah keterlaluan sanjunganmu terhadapku? Soalku. Aku tidak begitu senang dengan sanjungan itu.
Tidak cucuku. Tidak sama sekali! Sanjunganku ini adalah yang sepatutnya buat dirimu kerana aku terlalu kenal dengan
moyangmu itu.
Dia berpaling ke arah sekalian muridnya. Lama dia merenung. Mungkin dia melihat masa depan Islam yang akan diteruskan
perjuangan oleh anak-anak didiknya itu. Aku dapat tahu bahawa bukan sedikit ilmu yang diberikan. Bermula dari ilmu akhirat
hinggalah ilmu-ilmu dunia. Sangat menekankan sifat ketaqwaan di dalam diri agar sentiasa mendapat perhatian dari Allah.
Murid-muridku, setakat ini dulu pelajaran kita buat kali ini, aku dengar suara yang keluar dari ulasan bibirnya itu
lirih sekali. Aku menatap wajah putih bersih itu. Ah! Aliran air mata berlumba-lumba dari dua butir mutiara yang gemilang
menyelati janggut merah itu.
Wahai tuan sheikh, kenapa tuan menangis? Soalku, kaget melihat dia menangis tiba-tiba.
Cucuku, aku terkenangkan nasib masa depan agama ini. Siapakah yang akan meneruskan perjuanganku ini?
Tuan sheikh, demi Allah aku tak akan merelakan musuh-musuhnya mencemarkan agama Islam tanpa mereka menerobosiku terlebih
dulu. Janjiku padanya. Entah dari mana datangnya semangat yang kental untuk mempertahankan Islam dalam jiwaku ini.
Cucuku, sesungguhnya zamanmu nanti jauh bezanya dengan zamanku ini.
Zamanmu, perjuangan tidak lagi menggunakan tenaga dan pedang seperti ini, tetapi menggunakan akal dan lidah, sambungnya
lagi. Aku kebingungan dengan kata-katanya. Dari manakah dia dapat tahu tentang masa depanku.
Tapi tuan sheikh.., belum sempat kuteruskan pertanyaanku, dia mengangkat tangan
kanannya ke arahku. Isyarat supaya tidak kuteruskan pertanyaanku itu.
Cucuku, usah kau tanya dari mana aku tahu tentang masa depanmu itu tetapi ingatlah Allah akan memberikan sesuatu yang
tidak disangka-sangka kepada hambanya yang selalu beribadat malam.
Walau bagaimanapun cara perjuanganmu nanti, ingatlah matimu itu adalah syahid. Mulutku bagai terkunci.
Terlalu tinggi butir bicaranya itu. Kini alam menyaksikan kedungunganku. Tidak pernah kurasakan begini kecuali bila
kutemui sheikh ini. Ingin kutimba sebanyak-banyak pengalaman darinya, tetapi perjalananku masih lagi jauh.
Usah dimenungkan tentang itu cucuku. Teruskan perjalananmu. Arahnya padaku.
Tapi..
Cucuku, sudah cukup ilmu yang kuberikan padamu. Nah, sekarang kau telah kuterima sebagai muridku. Penjelasannya itu
membuatkan perasaanku melonjak kegembiraan. Lalu kupegang tangannya sambil mencium menghormatinya sebagai guruku.
Pak guru! Seruku. Aku ingin berbicara dengannya tentang tempat pengembaraanku seterusnya.
Ya cucuku, aku tahu. Nanti lepas solat zohor, kau akan kuhantar padanya. Janji pak guru.
Waktu zohor itu, kunikmati pemandangan terakhir di desa Cirebon, daerah wali ini. Entah bila lagi aku akan kembali. Walaupun sebentar cuma aku di sini, namun sudah banyak pengalaman
yang ku timba dari pak guru.
Semoga pak guru dilimpahi rahmat Allah selalu, doaku.
Aku sujud terakhir bersama pak guru di masjid Cirebon ini bersama sekalian muridnya.
Murid-muridku, tinggalkan aku dan cucuku sahaja di sini, arah pak guru.
Berduyun-duyun keluar murid-muridnya meninggalkan pak guru meneruskan wiridnya, dan aku di sampingnya beserta bungkusanku.
Juga pedang pusaka moyangku.
Cucuku, pejamkam matamu sambil menyebut asma Allah dalam hatimu, tanganku digenggamnya erat. Ku alunkan zikrullah di
lidah ini dan kuserapkan asma Allah di hatiku. Biar sebati dalam aliran darah.
Khusyuk, tawaddu dan ikhlas. Kurasakan diriku ringan bagai kapas ditiup angin. Semakin kuat zikirku , semakin ringan
kurasakan.
Lagikan iblis laknatullah dapat bergeak ke hujung dunia hanya dengan sekelip mata, apatah lagi hamba Allah yang soleh!
Ingatanku berpusing pada kata-kata pak guru.
Assalamualaikum Warahmatullah! Ucapan salam membuatkan alunan zikirku terhenti serta-merta. Gerangan siapakah yang
punya suara?
Tatkala aku membuka kelopak mataku, kulihat pak guru berpelukan dengan seorang lelaki yang gagah dan hebat pada pandanganku.
Apa khabar keadaanmu, saudaraku? Tanya lelaki itu pada pak guru.
Alhamdulillah, baik saja.
Tujuanmu ke mari?
Ini Syed Zulkarnain, cucuku juga muridku ingin sekali bertemu denganmu, ujar pak guru sambil pamit padaku.
Aku datang ke arahnya, lalu bersalaman dan menciumi tangan lelaki itu. Perasaanku kembali terasa seperti pertemuanku
dengan pak guru dahulu.
Cucumu bagai cucuku jua dan muridku juga. Moga-moga Allah memberkati hidupmu cucuku. Doanya sambil menepuk-nepuk bahuku.
Cucuku, inilah orang yang engkau cari itu. Raden Mas Syahid! Terang pak guru. Diriku sedikit gementar secara tiba-tiba.
Jadi kita sekarang sudah berada di desa Kadilangu, Wilayah Demak? Soalku. Kulihat, kedua-dua lelaki itu mengangguk-anggukkan
kepala tanda membenarkan pertanyaanku tadi. Kepalaku berpinar. Alam ini kurasakan berpusing. Aku rebah, pandanganku gelap
sekali. Tidakku tahu apakah yang sebenarnya menimpa diriku.
Cucuku, minumlah air ini, pak guru baruku mengunjukkan segelas air kepadaku sewaktu aku membuka mata.
Engkau belum begitu arif lagi tentang alam ghaib ini cucuku, komen pak guru.
Aku memandang kedua-dua lelaki yang aneh di hadapanku itu silih berganti. Sangat payah untukku fahami tentang keajaiban yang kulalui bersama pak guruku itu.
Usah kau bimbangi tentang hal itu cucuku.
Ini pak kiyai akan membimbingmu, isyarat itu pak guru tujukan pada saudaranya itu.
Aku mengangguk lemah. Akan kucuba sedayaku untuk mencari penyelesaian bagi kekusutan jiwaku ini, masalah yang belum
dirungkai dengan sempurna. Semoga masa yang sesingkat ini akan dapatku keluar dari kegelapan pemikiran kepada cahaya seperti
pak guru dan pak kiyai itu. Aku terpaksa memejamkan kembali mataku untuk menghilangkan kebingungan yang masih berbaki.
Sewaktu aku bangun, aku lihat pak guru dan pak kiyai sedang bermuzakarah berpandukan beberapa buah kitab.
Assalamualaikum Warahmatullah!
Walaikumussalam Warahmatullah! Jawab mereka serentak.
Ah, cucuku. Mari ke sini!
Berkebetulan kamu sudah bangun, ingin sekali kuucapkan selamat tinggal padamu. Sambung pak guru.
Tapi pak guru ingin ke mana? Soalku, hairan.
Aku ingin kembali ke daerah gunungku.
Aku mula terasa bahang perpisahan yang bakal terjadi. Sedikit amat ilmu yang kuperolehi, pak guru sudah mahu pulang.
Cucuku, usahlah kau bersedih. Setiap pertemuan pastinya ada perpisahan.
Pak kiyai akan membimbingimu di sini, ujar pak guru padaku.
Aku hanya mampu mendengar sahaja. Tiada patah-pata bicara yang mampu kukeluarkan. Kelu lidah menahan pilu sebuah perpisahan.
Tapi aku masih memerlukan pak guru di sini untuk membimbingiku lagi. Jelasku.
Maafkan aku cucu. Masih banyak tugasku di sana.
Biarkanlah pak gurumu itu pergi. Amanah Allah masih lagi berbaki di sana. Sampuk pak kiyai setelah sekian lama membisu.
Makin tersepit aku bila pak kiyai menyebelahi pak guru.
Cucuku, simpanlah ini sebagai tanda kenangan dariku. Pak guru menyarungkan sebentuk cincin permata delima ke jari manisku.
Assalamualaikum Warahmatullah! Pak guru terus berlalu tanpa sempatku ucapkan terima kasih atas pemberiannya itu. Kubuntuti
ke pintu masjid, tapi dia sudah tiada. Begitu cepat sekali dia berlalu.
Nanti akan kususulimu pak guru! Bisik hatiku.
Masa yang datang, dirasai sebentarnya. Pertemuan dulu kini sudah diakhiri dengan perpisahan yang sangat memilukan.
Tiada seorang pun pejuang Allah yang tidak diduga. Lagikan Rasulullah ada cubaan. Inikan pula kita umatnya! Terang
Pak kiyai.
Tidak akan ada kemanisan dalam perjuangan jika tanpa pengorbanan, dan sebaik-baik pengorbanan ialah redha dengan ketentuan
Allah. Kata-kata pak kiyai itu telah memenggal satu persatu dari sifat gentar dalam hatiku.
Di wilayah ini, murid-murid pak kiyai sentiasa bersedia untuk menentang serangan daripada penjajah Belanda yang kufur.
Aku kagum dengan semangat kepahlawanan mereka. Pastinya, semangat itu tiada padaku.
Murid-muridku! Ingatlah, perjuangan kita ini adalah untuk mempertahankan agama Allah dari dicerobohi!
Jangan kalian gentar dan takut kerana Allah sentiasa bersama-sama kita! Semarak pak kiyai pada sekalian muridnya.
Di hari perbicaraan kelak, kalian tidak ditanya tentang harta atau pangkat atau nenek moyang atau pendapatan kalian,
tetapi adalah tentang amalan kalian serta perjuangan kalian.
Malam itu kulihat langit begitu suram tanpa bintang dan sinaran bulan. Entah apa petanda dari Allah. Pak kiyai begitu
asyik menatapinya.
Cucuku! Seru pak kiyai tanpa menoleh ke arahku.
Pergilah persiapkan segala baranganmu, nanti kau akan kuhantar ke sempadan, arah pak kiyai.
Kenapa pak kiyai? Soalku inginkan kepastian.
Nanti akan kujelaskan dalam perjalanan nanti.
Aku akur dengan arahannya. Semua kusiapkan, pedang pusaka moyangku terutamanya.
Sewaktu malam telah lewat, aku dan pak kiyai bertolak ke sempadan dengan menunggang seekor kuda putih.
Kenapa pak kiyai? Soalanku masih belum terjawab.
Aku mendapat alamat bahawa wilayahku itu akan diserang Belanda. Aku tak mahu kau berada di sana nanti.
Tapi, kenapa pak kiyai tak benarkan aku berjuang bersama-sama mereka. Tidakkah aku ini pengecut? Soalku.
Cucuku, aku mahu engkau berjuang di daerahmu nanti, kerana di sana mereka memerlukanmu.
Perjalananku itu melalui denai-denai dan belantara. Entah berapa jauh pun tiada kutahu. Yang pastinya, perjalananku
ini cukup jauh.
Setakat ini sahaja yang dapat kuiringimu cucuku. Jelas pak kiyai sewaktu tiba di sempadan.
Moga-moga pak kiyai beroleh kemenangan, doaku.
Bila engkau senang-senang, datanglah kemari.
InsyaAllah.
Nah, ambillah Kyai Cerubukku ini buat temanmu nanti. Berjalanlah ke arah fajar sodiq. Ujar pak kiyai sewaktu menyerahkan
sebilah keris padaku.
Sebelum berpisah, kucium tangannya. Dia memeluk tubuhku erat.
Moga ketemu lagi. Bisiknya.
Dengan tangkas pak kiyai melompat naik ke belakang kuda putihnya itu.
Assalamualaikum Warahmatullah! Dia memecut kuda itu dengan laju sekali seperti kilat membelah alam. Aku ditinggalkan
keseorangan di sempadan sepi ini.
Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Aku dikejutkan dengan seruan azan subuh. Kepenatan masih terasa. Juga kebas-kebas kakiku kerana terlalu lama bersila
di atas sejadah dalam bilikku. Kubuka mata, di sisiku terdapat sebilah pedang
dan sebilah keris serta di jari manisku tersarung sebentuk cincin permata yang indah.
Allahu Akbar Walillahilhamd!! Ucapku syukur dan pasrah. Betapa besarnya kurniaan Allah bagi sesiapa yang mengetahuinya
Seruling Senja
30 Ogos 1996