30 Ogos 2000 (Rabu)
3.30 petang (waktu Malaysia).
Rombongan kami bertolak
dari rumah saya di Kampung Tanjung Kuala, Tumpat Kelantan Darul Naim. Rombongan ini di sertai oleh empat orang iaitu saya,
ketua rombongan (Mohd Aswadi Yah), abang long (Nizamuddin Alias) dan pemandu arah (Ustaz Zawawi).
Kami tergesa-gesa ke Pengkalan Kubor untuk urusan
pas sempadan kerana saya masih belum ada pas sempadan.
4.00 petang.
Kami tiba di pejabat Imigresen Malaysia di Pengkalan
Kubor Tumpat untuk urusan pasport. Nasib masih menyebelahi keadaan, walaupun pejabat dah tutup atau menamatkan urusannya,
namun kerana jasa baik seorang pegawai yang bertugas, sempat juga dia menguruskan pas sempadan untuk saya.
Inilah kali pertama saya memasuki Thailand dengan menggunakan jalan rasmi. Sebelumnya saya
hanya memasuki Thailand melalui pengkalan haram yang banyak terdapat di sepanjang tebing Sungai Golok.
Selepas selesai urusan pas sempadan dan pasport,
kami menaiki feri Thai dengan kadar bayaran RM6.40 iaitu bayaran untuk sebuah kereta kancil dan empat orang penumpang. Pada
masa itu, feri penuh dengan kenderaan yang hendak ke Pekan Tak Bai.
Hati saya berbunga gembira kerana hajat saya untuk mencari jejak yang hilang di Fatani telah dikabulkan Allah. Perjalanan ini telah lama dirancang, Cuma baru sekarang ia dapat diteruskan walaupun kesuntukan
masa. Perancangannya, kami akan kembali semula ke Kelantan Malaysia pada esok petang 31 Ogos 2000.
3.35 petang (waktu
Thailand).
Kami menjejaki Pekan Tak Bai iaitu pintu masuk
utama ke Thailand
melalui Pengkalan Kubur Tumpat, Kelantan. Kesulitan pertama kami di sini ialah perbezaan waktu. Waktu di Negara Thailand ini lewat sejam dari waktu di Malaysia. Sedangkan
jam tangan kami menggunakan sistem waktu mengikut Malaysia.
Di sini kami ke pejabat Kastam Thai untuk urusan
pas sempadan dan pasport. Manakala ustaz Zawawi kami tugaskan untuk menukar mata wang ringgit Malaysia ke nilai Bath Thailand.
Oleh kerana terlalu lama menunggu ustaz Zawawi, kami berkesempatan untuk melawat pasar di pekan Tak Bai yang amat masyhur
di kalangan penduduk Kelantan dengan barangannya yang agak murah. Kami masuk ke sebuah restoran Melayu sekadar untuk membasahkan
tekak. Sambil berborak-borak, di sinilah timbulnya idea saya untuk membuku atau mengabdikan pengalaman perjalanan saya ini
untuk tatapan umum terutamanya kaum keluarga yang turut ingin tahu hasil pengembaraan ini. Oleh itu, saya memasuki kedai alat
tulis untuk membeli sebuah buku catatan.
Kami kembali semula ke Pejabat Kastam Thailand untuk menunggu kedatangan Ustaz Zawawi. Ketika
inilah kami bertemu dengan Baba (tuan guru) Haji Abd Aziz, Yang Di Pertua Jamiat Islamiah Fatani Darussalam atau Persatuan
Ulama Fatani. Kami masing-masing bertanya khabar hal keadaan diri. Baba mengajak kami untuk minum di sebuah restoran. Mula-mulanya
kami menolak. Maklumlah dah minum tadi, kat mana lagi nak di isi perut ni. Tapi terpaksalah kami menurutnya setelah berkali-kali
dan bersungguh-sungguh beliau mengajak kami.
Terkilan juga rasa hati ini bila mengenangkan
kelewatan ustaz Zawawi ini. Puas kami mencarinya. Dahlah waktu perjalanan yang singkat terpaksa pula berhadapan dengan masalah
begini. Jadi tergendalalah perjalanan ini. Semasa sedang minum, ustaz Zawawi muncul. Kami berkumpul semuanya di restoran ini
bersama Baba. Setelah mengikat janji dengan beliau untuk suatu perbincangan dengannya keesokan hari di Pondok Pungguk, kami
pun berangkat meninggalkan Pekan Tak Bai.
4.35 petang.
Kami bertolak dari Pekan Tak Bai menuju ke Narathiwat. Pelbagai
pemandangan kami lihat di sepanjang perjalanan kami ini. Keadaan bentuk muka buminya yang berpasir dan di tanam dengan pokok-pokok
kelapa. Boleh dikatakan sepanjang jalan terdapat pokok kelapa. Pemandangan ini boleh dikatakan hampir sama dengan pemandangan
yang boleh kita lihat ketika dalam perjalanan hendak ke Semerak, Pasir Puteh Kelantan (pendapat abang long). Jalan rayanya
cukup lebar berbanding Malaysia dan ia di panggil sub-highway. Perjalanan kami cukup lancar. Setiap jalan mempunyai paling kurang dua lorong satu
hala dan tanpa tol. Cukup seronok kerana saya dapat memandu dengan kelajuan 120-130 km/j. Tanpa polis dan speed trap.
Dalam perjalanan ini, kami melalui sebuah bukit
yang diberi nama Bukit Tanjung, kira-kira 5 km dari Narathiwat. Mengikut cerita yang saya perolehi, bukit ini pernah dijadikan
kubu pertahanan negeri Kelantan untuk melawan Siam ketika Wilayah Fatani masih lagi di bawah pemerintahan Kelantan. Tidak jauh dari bukit tersebut, kami melalui
jambatan yang menyeberangi Sungai Narathiwat, iaitu sempadan asal negeri Kelantan dengan Siam dahulu. Namun apa boleh buat. Telah ditakdirkan Allah
untuk kita melihat bencana ini dengan lelehan air mata.
Kemudian, kami memasuki Wilayah Narathiwat sebuah bandar yang cantik terletak di tebing sungai. Pada masa itu, kami
lihat beberapa pasukan perahu lumba Siam sedang berlatih untuk pertunjukan sempena keberangkatan Permaisuri Siam ke wilayah tersebut.
5.10 petang.
Kami tiba di Masjid Narathiwat yang terletak
di tengah-tengah pekan Narathiwat. Masjd ini lebih dikenali dengan nama Masjid Raja Legih iaitu seorang raja Melayu Islam
yang pernah memerintah sebuah wilayah di Thailand.
Mengikut cerita, masjid ini telah dibina oleh
Sultan Hasanuddin (Tengku Ngah) iaitu Raja Legih yang terakhir memerintah. Di hadapan masjid inilah baginda dimakamkan. Kami
sempat melawat makam baginda. Dan sesuatu yang agak aneh, tidak jauh dari makam baginda terdapat sepohon tamar yang sedang
berbuah. Pohon tamar yang satu-satunya terdapat disitu.
Kami mengerjakan solat qasar asar di sini. Sewaktu
saya ingin berwuduk di kolah masjid, ketika mula-mula membasuh tangan tiba-tiba datang seekor ikan talapia ingin menyambar
tangan saya. Terkejut juga saya dibuatnya. Rupa-rupanya di dalam kolah tersebut di pelihara ikan talapia.
5.30 petang.
Saya mencari-cari kedai filem untuk membeli segulung
filem tambahan kerana pada perkiraan saya, segulung filem yang sedia ada tidak akan mencukupi sepanjang perjalanan ini. Alhamdulillah,
saya menemuinya.
5.35 petang.
Kami bertolak dari Masjid Raja Legih di Narathiwat
menuju ke Fatani Darussalam. Perjalanan ini cukup jauh tetapi cukup lancar melalui sub-highway yang elok turapan tarnya, tanpa
tol dengan kelajuan 130 km/j. Pelbagai pemandangan yang kami lihat. Pemandangan yang cukup indah apabila kami melalui bendang
padi yang luas berlatar belakangkan bukit bukau sewaktu matahari terbenam. Banyak juga kampung yang kami lalui semasa dalam
perjalanan ke sana. Diantaranya
ialah Ban Puta, Fung Kha, Koebahong, Lubuk Sawa, Pelebung, Ban Kaw Poe, Pohon Jerai, Kelebo, Teleban, Nat Tanjung, Jambu dan
banyak lagi yang tak sempat saya catatkan kerana semua papan tanda jalan bertulisan
Siam. Tak sempat nak belajar Siam, jadi macam mana nak pandai.
6.00 petang.
Kami memasuki Wilayah Fatani Darussalam. Tujuan
utama kami ke sini adalah untuk melawat Masjid Kresik atau di kenali juga dengan nama Gerbang Kresik atau Masjid Hang Tuah
atau Masjid Sultan Muzaffar Shah.
Fatani Darussalam adalah sebuah empayar pemerintahan Islam yang awal di Asia Tenggara semenjak tahun 1500M sehingga
tahun 1792M. Empayar ini telah mengalami pelbagai peristiwa termasuklah rampasan kuasa, pencerobohan dan peperangan. Tentera
Siam telah
berusaha beberapa kali untuk menawan Fatani tetapi gagal selama 200 tahun. Namun, semasa pemerintahan Sultan Muhamad (1792M)
Fatani sudah tidak dapat menahan serangan dari kuasa Siam. Maka berlakulah peperangan diantara Kerajaan Fatani dan Siam yang menyebabkan kejatuhan empayar Fatani Darussalam. Istana Nilam, Masjid Pintu Gerbang dan kampung halaman dibakar
serta penduduk Fatani dibunuh. Menurut cerita yang saya perolehi, penduduk Fatani dibunuh dengan kejam sekali. Mereka dikumpulkan
disuatu tempat lapang di hadapan Masjid Kresik dan dipijak oleh gajah-gajah. Setengah dari mereka sempat lari menyelamatkan
diri dan tak kurang juga yang dibawa ke Bangkok sebagai tawanan perang. Raja dan penduduk Fatani telah berusaha beberapa kali untuk menawan kembali Fatani Darussalam
dari kerajaan Siam
tetapi gagal. Oleh itu, kerajaan Siam bertindak membakar Fatani Darussalam sehingga tidak ada satu pun kesan melainkan Masjid
Kresik yang masih lagi tertegak sehingga hari ini dan sepucuk mariam Sri Fatani yang dirampas oleh tentera Siam dan diletakkan
di hadapan Pejabat Kementerian Pertahanan Thailand di Bangkok hingga sekarang. Kesan-kesan kebakaran juga boleh kita lihat
di Masjid Kresik ini.
6.27 petang.
Kami tiba di Masjid Kresik ketika senja di perkarangan.
Kami masuk ke kedai menjual sotong kering yang terletak bersebelahan dengan Masjid Kresik. Sebentar kemudian, azan maghrib
berkumandang dari masjid tersebut, kami tidak melepaskan peluang untuk berjemaah di sini. Kami solat maghrib berjemaah bersama
makmum yang lain di imamkan oleh ketua rombongan kami.
Masjid
Kresik atau Masjid Pintu Gerbang adalah pusaka umat Melayu Muslim yang diwarisi oleh nenek moyang dibina pada zaman Sultan
Ismail Shah raja Fatani yang pertama dan disiapkan pada zaman Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1557M. Sheikh Said adalah juru
bina seni dan mengawal pembinaan sampai masjid ini siap sebagai masjid yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu. Masjid ini
dibina dengan bata merah dan tiangnya diukir dengan indah dan cantik serta dihiasi dengan emas pada mimbar. Masjid Kresik
yang terletak di hadapan Istana Nilam, menjadi tempat beribadah oleh raja dan para rakyat jelata.
Disini
kami juga tidak melepaskan peluang untuk melawat perigi Hang Tuah yang terletak di seberang jalan dekat dengan Masjid Kresik.
Perigi ini masih lagi digunakan oleh penduduk tempatan untuk kegunaan seharian mereka. Berkebetulan ketika kami sampai di
situ, seorang kanak-kanak sedang mandi di perigi tersebut. Kami cuba merasai atau test rasa air perigi tersebut. Tawar.
Perut mula berkeroncong dan berdondang sayang
minta di isi. Semasa mencari kedai makan di sekitar Masjid Kresik, kami melihat sekumpulan anak-anak penduduk sedang belajar
membaca Al-Quran hanya ditepi-tepi kedai sahaja dan dalam keadaan terbuka tidak seperti kita di Malaysia yang menyediakan kelas-kelas atau tempat-tempat
yang khusus. Mungkin mereka cukup dhaif untuk mengadakan kelas-kelas sebegitu.
Kami memasuki sebuah kedai makan di tepi Masjid
Kresik. Pemandu arah kami, ustaz Zawawi memesan Tom Yam Kung (nama tom yam yang agak pelik saya dengar) untuk hidangan makan
malam kami di tambah lagi dengan sayur hailam oleh ketua rombongan kami. Semasa menunggu hidangan siap, saya mula mengarang
catatan perjalanan ini yang saya namakan ia Mencari Jejak-Jejak Yang Hilang. Saya namakan demikian kerana tujuan sebenar saya
ke Fatani adalah untuk mencari dan mengesan susur galur keturunan saya yang masih banyak di sani. Mencari susur galur Syed
Thanauddin Jamadil Kubra yang telah hilang. Disamping untuk melihat sendiri keadaan masyarakat Melayu Islam Fatani.
Kami makan cukup berselera. Namun keadaan kesihatan
saya yang tak mengizinkan, batuk-batuk yang kadang-kadang membuatkan dada saya sakit menyebabkan saya tak dapat menyertai
teman-teman yang lain untuk bersantap. Selepas makan, kami berbincang mengenai destinasi seterusnya. Saya sebagai pemandu
hanya menurut perintah dari ketua rombongan sahaja.
8.00 malam
Kami bertolak dari
Masjid Kresik ke Kampung Kedai Jabat untuk menemui bonda ustaz Zawawi di sana. Di sanalah Astora Jabat seorang penulis yang masyhur namanya di Malaysia dan amat alim itu berasal. Jabat di belakang nama samarannya itu
adalah nama tempat kelahirannya iaitu sebuah kampung yang agak jauh di pinggir
Wilayah Narathiwat.
Menurut cerita orang di sana,
Astora ini tidak disukai oleh orang tempatan, malah oleh ayahnya sendiri. Entahlah, tulisannya banyak yang menimbulkan konstroversi.
Lagak alimnya melebihi Al-Qardawi dan Al-Qutb.
8.55 malam.
Kami singgah di Telok Manok untuk menziarahi
Masjid Wadi Al-Hussien, sebuah masjid yang berumur lebih kurang 500 tahun. Mengikut ceritanya, masjid ini telah dibina oleh
leluhur keturunan saya, Syed Al-Hussien. Sebab itulah saya teringin sangat untuk melihat sendiri sebuah masjid yang menjadi
kebanggaan masyarakat Fatani. Sayu juga bila terkenangkan bahawa ia adalah tinggalan leluhur saya.
Di tepi masjid ini terdapat satu kawasan takungan
air yang dipanggil wadi. Bersebelahannya pula terdapat satu kawasan perkuburan. Walaupun keadaan yang cukup gelap, Kami sempat
menziarahi makam Syed al-Hussien yang dikatakan meninggal akibat terkena racun.
Saya juga tidak melepaskan peluang untuk mandi
dan berenang di Wadi al-Hussien walaupun keadaannya gelap. Teraba-raba saya mencari tangga untuk turun. Maklumlah, mata dah
rabun suasana pula gelap. Sekali rasa macam orang buta.
Kami solat Isya qasar berjemaah di Masjid Wadi al-Hussien. Selepas solat, saya dan abang long memanjat tangga untuk
ke menara azan masjid yang pernah di gunakan untuk melaungkan azan suatu ketika dulu. Tinggi juga letaknya dan untuk menaikinya
kami terpaksa memanjat puluhan anak tangga yang sangat cerun dan perlu berhati-hati.
Menurut cerita, masjid ini telah menjadi perebutan
diantara beberapa pihak termasuk Jawa, China, Arab dan Siam. Oleh kerana pertelingkahan ini, Siam cuba mengambil jalan singkat untuk membakarnya. Tetapi nasib baik masyarakat Melayu Islam dan kaum keluarga waris keturunan
Syed al-Hussien telah mempertahankannya. Sehingga kini, masjid ini mengadakan jadual kawalan untuk mengelakkan perkara ini
daripada berlaku.
Di pintu masuk masjid, terdapat sebuah beduk
lama yang telah rosak. Kulitnya koyak dipercayai ditetas oleh orang ramai untuk dibuat ubat. Mungkin mereka percaya beduk
masjid tersebut ada barakah.entahlah
Kami berehat seketika di masjid tersebut. Kemudian
datang salah seorang penjaga masjid yang di kenali sebagai Izzuddin bertemu dan mengalu-alukan kedatangan kami. Mengikut ceritanya,
dia juga adalah salah seorang daripada cucu keturunan dari Syed al-Hussien pengasas masjid ini. Ini bermakna dia juga mempunyai
pertalian darah dengan kami walaupun agak jauh. Maka malam ini, kami tautkan kembali satu tali dari tali-tali yang telah terputus
dan telah kami temui satu jejak dari jejak-jejak yang hilang.
Selepas berkemas-kemas, kami menyambung perjalanan
kami untuk ke Kampung Kedai Jabat. Sebelum itu, ustaz Zawawi telah menelefon bondanya untuk memberitahu tentang kedatangan
kami kesana.
10.35 malam (waktu Thai).
Kami sampai di Kedai Jabat agak tengah malam (waktu Malaysia 11.35 malam) bagi seorang ibu tua untuk menunggu tetamu datang ke rumah dan hanya untuk menjamu pengat pisang
fatimah yang amat digemari tetamunya ini. Kami mendapat layanan yang amat istimewa. Maklumlah suasana keriangan menyelubungi
pertemuan kami setelah bertemu dengan keluarga-keluarga yang telah terputus hubungannya sekian lama dulu.
Kata bonda, pengat pisang itu telah ditempah
awal-awal lagi sebagai santapan istimewa buat kami. Pada mulanya, saya agak keberatan untuk merasainya kerana memandangkan
waktu telah merangkak tua, jadi tidak berapa elok untuk kesihatan dengan memakan makanan manis. Tetapi setelah saya merasai
satu suapan, Masya Allah ada ummpp. Memang sedap rasanya. Patutlah ia dijadikan bonda sebagai hidangan istimewa buat kami,
para tetamunya ini.
Selepas makan, kami berbincang untuk menentukan
destinasi seterusnya dan untuk keesokan paginya. Port untuk kami tidur malam ini telah disepakati ahli rombongan untuk ke
rumah Ustaz Zawawi di Banggol Merbau. Memang letih rasanya memandu agak jauh sebegini. Walau bagaimanapun, oleh kerana terlalu
seronok menyertai rombongan ini, tidak terasa sangat penat ini.
11.20 malam.
Kami
sampai di rumah Ustaz Zawawi, Banggol Merbau. Agak besar juga rumah beliau. Boleh dikatakan seperti mempunyai dua buah dewan
besar mesyuarat. Kami mengambil kesempatan ini untuk melepaskan keletihan yang tertanggung ini. Berbaring-baring, minum air,
masuk meeting ke bilik termenung dan pelbagai lagi asalkan dapat melepaskan kepenatan di dada.