Mencari Jejak-Jejak Yang Hilang (Part 2)
Laman Utama | Doa | Galeri Foto | Legal | Diskusi | Untaian Kata | Sudut Hukum | Warkah | Puisi | Cerpen | Kembara | Tetamu | Tazkirah | Link | Komentar Buku
Seruling Senja

Sebuah Catatan Perjalanan Ke Fatani Darussalam I


31 Ogos 2000 (Khamis)


12.00 pagi
Semuanya keletihan, abang long dan yang lain semuanya telah masuk tidur melainkan saya seorang sahaja yang masih meneruskan catatan perjalanan ini. Saya tak mahu tertinggal walau satu pun maklumat yang diperolehi untuk saya paparkan buat semua pembaca. Setelah kepenatan ini tak tertahan lagi, maka saya pun menyusul ahli rombongan lain untuk beradu kira-kira pada pukul 1.00 pagi.


5.00 pagi.
Saya lena-lena ayam, kerana terlalu banyak yang saya fikirkan dalam minda ini. Dan saya sedar bila azan subuh berkumandang. Di sini masuk waktu subuh pada pukul 5.00 pagi berbanding waktu Malaysia. Walaupun keletihan masih lagi bersisa di dalam diri ini, terpaksalah saya bangun untuk menyahut seruan Ilahi ini. Tambahan pula, perjalanan kami ini masih lagi jauh dan kami perlu mengejar masa yang sedikit ini.
Saya dan ahli rombongan lain mandi awal-awal lagi walaupun terpaksa menahan gigil kesejukan. Selesai sahaja sembahyang subuh, masing-masing dengan urusan sendiri. Ketua rombongan, Aswadi menyambung kembali lenanya, abang long entah apa yang dibuatnya termasuklah ustaz Zawawi, namun aku terus menyambung kembali catatan perjalanan ini sementara ingatan masih lagi segar.
Rupa-rupanya tanpa saya sedari, ustaz Zawawi menyediakan kami seteko kopi kelat dan enam biji roti manis buat kami. Saya dihulurnya sebiji ubat untuk ditelan bagi menahan batuk yang kadang-kadang melampau-lampau dibuatnya.

6.40 pagi.
Kami bertolak dari rumah ustaz Zawawi menuju ke rumah Baba Hj Abdul Muid di Kampung Pupuk. Berumur lebih kurang 74 tahun dan agak uzur. Beliau merupakan seorang guru agama yang hebat yang dulunya memiliki pondok-pondok yang berceratuk di sekeliling rumahnya. Dan kini, pondok-pondok itu telah digantikan dengan sebuah sekolah miliknya sendiri yang mengajar kitab-kitab agama dengan lebih sistematik. Kami menemuinya kerana beliau merupakan salah seorang daripada rumpun keluarga kami, dan memang menjadi tujuan utama pengembaraan ini adalah untuk merapatkan kembali tali persaudaraan yang telah lama putus.
Setelah agak lama bertukar khabar, tibalah masanya untuk kami berangkat menuju ke destinasi seterusnya. Memang adat pengembara, ingin merakamkan kenangan yang indah untuk ditatapinya pada hari-hari yang akan datang. Jadi kami meminta kebenaran dari beliau untuk bergambar bersama kerana kami tahu, golongan baba ini kebiasaannya Allah memberikan karamah atau kelebihan buat mereka. Takut juga nanti bila gambar diambil tanpa seizin beliau, filem tak jadi atau kamera rosak. Naya juga kami dibuatnya. Namun beliau menolak dan tak suka gambarnya diambil. Terpaksalah kami menahan hajat untuk berbuat demikian. Sebagai gantinya, beliau membenarkan kami bergambar dengan anaknya Adnan yang juga salah seorang daripada tenaga pengajar disekolah beliau. Orang kata, kalau tak dapat rotan, akar pun berguna juga.
Selepas itu, kami bertolak kembali ke Kedai Jabat untuk makan pagi di sana. Semalam kami telah berjanji dengan bonda untuk bersarapan di rumahnya. Kesian juga orang tua itu jika hajatnya tidak kami tunaikan. Oleh itu, dengan hati yang cukup gembira sebab boleh makan free, terpaksalah kami bertolak kesana.

7.28 pagi.
Kami tiba di rumah bonda di Kedai Jabat untuk bersarapan. Pagi ini, kami dihidangkan dengan hidangan yang lebih istimewa dari semalam. Bermacam-macam rupa bentuk hidangan yang telah bonda sediakan untuk kami. Diantaranya pulut ikan kering, pulut berinti, pulut sekaya, nasi kerabu, nasi dagang, nasi minyak, meehoon goreng, bubur kacang dan buah cempedak. Masya Allah hidangan seorang ibu tua buat tetamunya, ahli keluarga yang telah lama terputus dan kini menjelma kembali untuk menyambung persaudaraan. Satu hidangan yang cukup istimewa dan penghormatan buat kami.
Selesai makan, tiba masanya untuk kami meneruskan perjalanan. Terasa sayu juga bila menerima salam perpisahan dari bonda dan sedikit buah tangan buat keluarga di Kelantan. Entah bila lagi kami berpeluang untuk menemui bonda, namun kami telah berjanji sekiranya diizinkan Allah kami akan datang lagi untuk pengembaraan yang keseterusnya. Lambaian tangannya kami sambut dengan kesedihan di hati.

7.56 pagi.
Kami bertolak ke Kuala Kawi sebuah kampung di daerah Si Sa Khon dalam Wilayah Narathiwat untuk menemui Tok Biluk ( Hj Hassan Mahmud). Beliau merupakan seorang guru pondok atau madrasah yang dikenali dengan nama Maahad At-Taufiqiah Al-Islamiah.
Dalam perjalanan, kami singgah di stesen minyak untuk mengisi minyak kereta kami walaupun kadar bayaran per liternya lebih mahal berbanding dengan harga minyak petrol Malaysia, namun terpaksalah kami isi demi untuk meneruskan perjalanan kami.
Kami melalui kawasan kebun getah yang cukup luas di selang seli dengan dusun buah-buahan yang entah berapa luas tak dapat kami pastikan. Yang pastinya cukup boring juga rasanya bila asyik memandang pohonan menghijau.
Nasib tak menyebelahi kami, Tok Biluk telah keluar. Jadi terpaksalah kami batalkan niat kami untuk bertemu dengannya, namun peluang untuk bergambar tak pernah kami lepaskan.
Jadi kami teruskan perjalanan kami menuju ke Muassasah Ath-Thaqafah Al-Islamiah Ahliah Pungguk, di Kampung Kelisa daerah Tanjung Mas Wilayah Narathiwat untuk menemui Baba Abdul Aziz, Yang Di Pertua Jamiat Islamiah Fatani Darussalam. Beliau merupakan orang rujukan kami untuk mencari susur galur yang telah kehilangan jejaknya di Fatani. Dalam salsilah keluarga, beliau berpangkat moyang bagi saya (penulis).
Sebagaimana yang telah saya ceritakan di awal-awal lagi bahawa jalan-jalan raya di Thailand ini cukup elok, lebar, tak ada tol dan banyak lagi keistimewaannya, jadi kami gunakan kelebihan ini untuk memecut selaju yang boleh sehingga kelajuan yang termampu oleh seekor kancil yang kami tunggang.
Dalam perjalanan, kami menemui seorang teman. Sempat berhenti di bahu jalan dan sekadar bertukar cerita dan sindiran diantara kami.

9.10 pagi.
Tiba di Madrasah Darussalam sebab abang long nak cari mak sepupunya yang dah lama tak ditemui. Tapi nasib tetap tak menyebelahi kami, orang yang dicari tak dapat kami temui.
Jadi kami meneruskan perjalanan ke Pondok Pungguk, Tanjung Mas untuk menemui Baba Hj Abdul Aziz.

9.20 pagi.
Kami tiba di Muassasah Ath-Thaqafah Islamiah Ahliah. Sebuah kawasan pondok yang dalam pembangunan. Beberapa bangunan baru sedang dibina untuk menampung pelajar-pelajar yang semakin bertambah. Disamping madrasah tersebut, terdapat pondok-pondok untuk orang tua belajar atau mendalami ilmu agama.
Baba tak ada di pejabat madrasah, jadi kami menunggunya di sana. Disamping itu, kami cuba mendapatkan beberapa maklumat yang diperlukan untuk dimasukkan ke dalam catatan perjalanan ini. Buat masa sekarang, madrasah ini menampung 300 pelajar termasuk lelaki dan perempuan. Pelajarannya pula diajar berdasarkan sistem kombinasi iaitu diantara sistem pondok dan sistem moden sekarang. Baru ditubuhkan sekitar 3 tahun. Dan pada pandangan saya, keadaan madrasah ini cukup dhaif jika hendak dibandingkan dengan sekolah agama rakyat di Malaysia.
Seorang ustaz datang memberitahu kami bahawa baba sedang menunggu kami di masjid yang terletak bersebelahan dengan madrasah tersebut. Kami memenuhi jemputan itu kerana memang tujuan kami datang adalah untuk menemui beliau. Segan juga rasanya bila melalui beberapa kelas semasa dalam perjalanan ke masjid. Rombongan kami dipandang oleh hampir keseluruhan pelajar madrasah tersebut. Mungkin mereka tertanya-tanya, siapakah kami ini orang asing yang datang dengan kereta yang tak pernah mereka tengok dengan membawa buku catatan dan kamera. Persis seorang wartawan atau soldadu kerajaan Thai? Tetapi kami datang dengan penuh tazim untuk melakukan lawatan muhibbah bagi membantu masyarakat Melayu Islam di Fatani Darussalam ini.
Kami disambut oleh Baba Hj Abdul Aziz di masjid. Dan dalam pertemuan yang singkat ini, kami gunakannya semaksima mungkin dengan mengadakan perbincangan tertutup dari hati ka hati sesama Muslim, bagaimanakah kami dapat membantu untuk membangunkan madrasah ini khasnya dan masyarakat Fatani amnya.
Dalam perbincangan itu saya (penulis), abang long (Nizamuddin Alias), ketua rombongan (Aswadi) dan pemandu arah Ustaz Zawawi di sebelah pihak rombongan. Manakala di sebelah pihak madrasah pula diwakili oleh Baba Hj Abdul Aziz selaku YDP Jamiat Islamiah Fatani Darussalam merangkap penasihat madrasah, Pak Cu Pa, mudir madrasah dan seorang tenaga pengajar. Perbincangan kami ini merangkumi pelbagai aspek dari sekecil-kecil aspek hinggalah kebesar-besarnya.
Baba mencadangkan supaya mahasiswa universiti di Malaysia datang ke Fatani untuk membuat kajian atau tesis kearah pembangunan rakyat Islam Fatani. Membangunkan sistem pondok moden seperti di Kelantan yang menggabungkan pengajian duniawi dan ukhrawi bagi membentuk masyarakat Fatani yang lebih mahir dalam kehidupan mereka sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak kerajaan Thai. Beliau juga mengharapkan sumbangan ikhlas daripada saudara Muslim di seluruh dunia untuk pembangunan masyarakat Melayu Islam Fatani. Dan beliau menaruh harapan yang besar kepada mahasiswa universiti di Malaysia khususnya saya dan abang long agar dapat mengumpulkan seberapa ramai tenaga ikhlas untuk turun ke Fatani bagi melihat sendiri penderitaan, keperitan, kedhaifan dan kemunduran masyarakat Fatani ini. Beliau mengharapkan kami berdua dapat mengumpulkan tenaga dan datang ke madrasah beliau untuk mengadakan program-program untuk pelajar-pelajar atau kursus-kursus untuk tenaga pengajar. Semuanya dialu-alukan dengan tangan terbuka dan dengan hati yang penuh rela dan redha. Di sini dapat saya simpulkan bahawa beliau mahu kita sebagai saudara Muslim sama-sama merasai keperitan dan penderitaan masyarakat Melayu Islam Fatani Darussalam untuk membina kembali kekuatan mereka bagi mendapatkan kemerdekaan wilayah tersebut. Dan banyak lagi isi-isi perbincangan kami yang tak dapat saya sebutkan disini.
Saya dan abang long telah berjanji kepada Baba akan cuba sedaya upaya kami untuk merialisasikan harapan beliau yang mewakili seluruh masyarakat Melayu Islam di Fatani Darussalam. Ketua rombongan pula memberikan jaminan bahawa dia akan menyediakan sponsor untuk menanggung semua perbelanjaan Mahasiswa UIA khususnya untuk datang mengadakan program atau kursus disini. Dan mengapakah peluang ini ingin anda persiakan begitu sahaja? Fikirlah..
Setelah perbincangan selesai, kami dijemput baba untuk menikmati hidangan tengahari ala Melayu Fatani. Cukup hebat rasanya bagi saya yang memiliki taste kampung ini. Kami juga di jamu dengan pelbagai jenis buah-buahan yang menurut katanya tak pernah dibeli. Hanya sedekah dari penduduk kampung sahaja.
Allahu Akbar.. dimanakah ukurannya perjuangan kita jika hendak dibandingkan mereka yang selalu dikejar dan diburu oleh soldadu kerajaan.
Sebelum kami meninggalkan madrasah tersebut, seperti biasa kami merakamkan beberapa keping gambar kenangan disana. Dan kami tinggalkankan mereka dengan sejuta harapan, selaut impian dan segugus doa semoga usaha yang bakal kita lakukan ini akan diterima dan makbulkan oleh Allah S.W.T.

11.20 pagi
Kami bertolak dari madrasah Pungguk menuju ke Fatani sekali lagi untuk melihat kesan-kesan tinggalan sejarah Kerajaan Islam dan kesan-kesan tinggalan nenek moyang saya sendiri. Rombongan kami melalui stesen keretapi Tanjung Mas yang penuh sesak dengan penumpang untuk ke destinasi masing-masing.
Setelah tiba di hadapan Masjid Tanjung Mas Lama, kami menukar pemandu. Saya ambil alih tugas memandu kereta dari ketua rombongan. Sebelum ini, saya banyak mencatat semua maklumat yang diperolehi semasa dalam perjalanan ini daripada memandu. Tapi disebabkan ketua rombongan terlalu letih, jadi saya ambil je. Lagi pun seronok memandu laju-laju bila keadaan jalan raya cukup lengang. Apa lagi, naik minyaklah saya yang kadang-kadang membuatkan ahli rombongan yang lain tak senang duduk. Gerun..
Perjalanan ini cukup jauh dan meletihkan. Cuba anda bayangkan, kereta yang dipandu secara kelajuan statik 120 km/j memakan masa selama sejam dua puluh minit untuk sampai ke Komplek Pemakaman Raja Fatani di Fatani.
Dalam perjalanan ini, kami melalui satu kawasan yang dikenali pada zaman dahulunya dengan nama Negeri Selindung Bayu yang di perintah oleh Tengku Sai. Kawasannya cukup indah berlatar belakangkan bukit bukau yang menghijau.

12.40 tengahari
Kami sampai di Komplek Pemakaman Raja Fatani Kampung Datuk dalam Wilayah Fatani. Di dalam komplek ini terdapat beberapa makam lama yang pada perkiraan saya adalah kerabat-kerabat Raja Fatani disamping makam raja-raja itu sendiri. Di sini sempat juga saya menghadiahkan al-Fatihah buat al-Marhum Sultan Sulaiman (raja terakhir Fatani) iaitu dari keturunan bagindalah, lahirnya para Raja Kelantan. Melalui baginda jugalah salsilah keturunan saya (Syed Thanauddin Jamadil Kubra) bertemu. (mengikut cerita yang saya perolehi)
Disamping makam baginda terdapat makam Ratu Kuning dan Ratu Ungu yang pernah memerintah Fatani suatu ketika dahulu. Khabarnya, al-marhum semua itu adalah pemerintah yang hebat. Tetapi Allah ingin menduga sejauh manakah hambanya mampu mempertahankan Islam dengan kejatuhan Kesultanan Fatani. Makam ini terletak di tapak asal istana atau kota pemerintahan Kesultanan Fatani dahulu. Kesan-kesannya masih lagi boleh dilihat seperti tempat singgahsana dan balai penghadapan.
Di tepi komplek makam tersebut terdapat sebuah perigi. Menurut ceritanya, perigi ini adalah kepunyaan Kesultanan Fatani. Perigi ini masih lagi terjaga rapi dan bersih airnya. Ramai juga pengunjung yang datang ke sini mengambil air perigi tersebut untuk di jadikan ubat dan penawar. Sejauh mana keberkesanannya Wallahu Aalam.
Di sebelah belakang komplek makam tersebut, terdapat sebuah lagi makam lama. Makam itu dikenali dengan nama makam Tok Panjang. Ia adalah makam dua bersaudara iaitu Hj Idris dan Maulana Gombak atau al-Marhum Tanjung. Makam ini agak ajaib pada pandangan saya kerana ukurannya tak pernah sama. Sekiranya kita mengukurnya buat pertama kali dan mendapati ukurannya sepanjang 3 meter tepat, tetapi ia akan bertambah ukurannya apabila diukur untuk kali kedua. Dan setiap orang yang mengukurnya tak akan mendapat ukuran yang sama.
Mengikut cerita, keturunan saya adalah melalui Tok Panjang inilah yang bersambung daripada Syed Thanauddin Jamadil Kubra. Beliau juga merupakan mertua kepada salah saorang daripada ratu pemerintah Fatani. Ketika Fatani menghadapi peperangan dengan Siam, ratu tersebur telah mengeluarkan titah supaya semua rakyat menyerahkan semua tembaga yang ada untuk membina meriam Fatani. Dan barang seiapa yang ditangkap mempunyai tembaga akan dijatuhkan hukuman bunuh.
Tok Panjang telah ditangkap kerana mempunyai tembaga, namun ratu teragak-agak untuk menjalankan hukuman bunuh tersebut kerana Tok Panjang adalah mertuanya sendiri. Setelah didesak oleh sekalian rakyat, maka ratu pun menjalankan hukuman tersebut. Setelah dipancung, mayatnya dibuang ke dalam Sungai Budi. Mengikut ceritanya mayat tersebut jatuh dalam keadaan tegak dan tak hanyut hingga beberapa hari. Oleh kerana busuk, orang kampung mengambil mayat tersebut dimandi dan dikapankan serta dimakamkan bersebelahan komplek Makam Kesultanan Fatani tersebut. Setakat mana kesahihannya, hanya Allah sahaja Yang Teramat Tahu..

12.58 tengahari
Kami bertolak ke Masjid Raja Jambu atau Masjid Raudhatul Jannah untuk bersolat jama dan qasar zohor dan asar serta berehat-rehat melepaskan penat dan letih.

1.10 tengahari
Kami tiba di Masjid Raja Jambu iaitu salsilah keturunan abang long (Nizamuddin Alias). Di masjid ini, kami mengambil kesempatan untuk berehat, sembahyang, meeting di bilik termenung dan sebagainya.
Di sebelah masjid tersebut terdapat makam Raja Jambu yang membina masjid tersebut iaitu Tengku Ahmad ibn Abdul Hafiz. Namun ustaz Zawawi dan ketua rombongan yang mempunyai salsilah yang sama dengan saya agak keberatan untuk menziarahi makam tersebut kerana kata mereka, Raja Jambu adalah diantara orang yang menjatuhkan kerajaan Fatani. Wallahu Aalam..




1.45 tengahari.
Kami bertolak dari Masjid Raja Jambu menuju ke Pulau Kerengga untuk melawat Komplek Pemakaman Sultan Muzaffar Shah, Sultan Besar Kerajaan Fatani.
Perjalanan kami ini melalui sub-highway dan penempatan masyarakat Melayu dan Siam Thai. Komplek ini terletak betul-betul di tepi pantai negara Thailand. Seperti biasa, saya memandu dengan kelajuan statik bagi mengejar masa yang hanya tinggal sedikit cuma. Perancangan kami, kami akan menyeberangi Sungai Golok di Pekan Tak Bai, Thailand menuju ke Pengkalan Kubor, Malaysia menggunakan perkhidmatan feri yang terakhir yang berakhir pada pukul 6.30 waktu Malaysia.

2.29 petang.
Rombongan kami tiba di Komplek Pemakaman Sultan Muzaffar Shah di Pulau Kerengga Thailand. Kawasannya sungguh indah sekali. Komplek ini berlatar belakangkan pemandangan laut saujana mata memandang dan di hadapannya tersedia sebuah tasik yang berlatar belakangkan pemandangan bukit bukau yang menghijau. Cukup indah sekali. Mengikut cerita yang saya perolehi, komplek ini di bina di atas tapak istana baginda yang asal.
Kami memasuki komplek tersebut. Disamping makam Sultan Muzaffar Shah dan isteri baginda, terdapat banyak makam lama yang saya percayai bahawa ia dalah makam-makam kaum kerabat dan pahlawan baginda. Kami bertafakur sejenak di sini menghadiahkan bacaan Fatihah untuk semua kaum kerabat baginda. Terdetik di hati kecil ini, hanya ini sahaja yang dapat kita bangga sekarang. Cuma tinggalan sejarah dan kenangan silam yang cukup menyayatkan hati. Saya sebagai kaum kerabat yang jauh, cukup pilu bila mengenangkan perjuangan mereka menentang Siam suatu ketika dahulu sehinggalah tiba saatnya kejatuhan Kesultanan Fatani.
Sekarang, telah muncul kembali semangat Kesultanan Fatani yang masih berbaki di dalam jiwa rakyat Fatani Darussalam untuk bangkit menuntut kemerdekaan dan pembelaan ke atas kejatuhan Fatani dahulu.
Kami tinggalkan komplek ini dengan penuh rasa syahdu dan sendu. Dan kami berdoa agar semangat kebangkitan yang muncul ini akan terus marak menuntut kembali hak-hak mereka yang telah hilang direnggut tangan-tangan durja.
Perjalanan kami ini menuju ke Pekan Narathiwat dengan melalui pesisir pantai Thailand yang cukup indah. Dalam perjalanan ini , kami melalui sebuah Kem Tentera Laut Di Raja Thailand yang teletak di tepi laut. Kem atau pengkalan ini cukup luas dan besar. Mengikut cerita yang saya perolehi, sebenarnya kem ini telah di bina di atas tanah milik orang Melayu Islam. Mereka telah menghalau dan membunuh pemilik-pemilik asal tanah tersebut dan pihak Siam merampasnya dengan kejam. Penduduk yang terselamat, melarikan diri dan meninggalkan kawasan tersebut. Hari ini masih lagi boleh didapati kesan-kesan rumah penduduk kampung yang terdapat di sekitar kem tersebut.
Kemudian, kami melalui sebuah lapangan terbang kecil milik kerajaan Thai. Mungkin lapangan terbang ini hanya untuk penerbangan kecil dengan menggunakan pesawat kecil dan mungkin juga ia di gunakan untuk ketenteraan kerana ia terletak tidak jauh dari kem Tentera Laut Di Raja Thai.

3.04 petang.
Kami tiba di Masjid Raja Legih di tengah-tengah Pekan Narathiwat. Kereta kami tinggalkan di situ dan menuju ke sebuah kedai buku. Saya dan abang long ingin mencari buku sebagai kenangan perjalanan kami ini. Kami memasuki sebuah kedai buku Muslim milik O Ban Nara (Abdullah) yang terletak di tepi jalan menuju ke masjid. Pemilik kedai tersebut keluar dan hanya pembantunya sahaja yang ada. Di Thailand ini, seemangat kebangsaannya cukup kuat dan sama dengan negara Jepun. Mereka hanya menggunakan bahasa Thai untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja termasuk pelancong yang tak pandai sepatah haram pun bahasa Thai. Nasib baiklah kami membawa Ustaz Zawawi sebagai pemandu arah sekaligus merangkap juru bahasa kami di sana.
Bukunya banyak tetapi hanya sedikit sahaja dalam bahasa Inggeris, dan yang selebihnya dalam bahasa Thai. Terkial-kial saya dan abang long memilih buku-buku tersebut kerana kami tak tahu apa tajuknya. Setelah puas memilih, abang long memutuskan untuk membeli sebuah buku peta negara Thailand manakala saya tak membeli apa-apa buku pun. Bagi saya, kalau kita beli sekadar nak tengok tetapi tak tahu nak baca buat apa. Baik tak payah beli, buang duit saja.
Selepas itu, kami memasuki sebuah restoran Melayu yang terdapat di pekan ini untuk menghilangkan haus tekak kami. Ini adalah destinasi terakhir kami bersama Ustaz Zawawi kerana selepas ini, kami akan menghantarnya ke stesen pick-up. Dia akan pulang ke kampungnya di Banggol Merbau sebab sekarang musim cuti sekolah. Dia sebagai ustaz di Sekolah Menengah Ugama Maahad Muhammadi Tumpat balik bercuti di kampung bersama keluarga. Tambahan pula, dia amat jarang pulang ke sana.
Kami turunkannya di stesen pick-up. Setelah bersalam-salaman, kami tinggalkannya dengan salam persaudaraan yang cukup erat. Dan kami berjanji bahawa suatu hari nanti, kami akan meneruskan lagi perjalanan ini hinggalah ke Kerajaan Lama Champa di Kemboja. Hanya Allah sahaja yang menentukannya nanti.

3.38 petang.
Kami bertiga bertolak balik menuju ke Pekan Tak bai. Dalam perjalanan ini, destinasi terakhir kami adalah Istana Lama Raja Legih yang terletak di hadapan balai bomba di pekan Narathiwat.
Keadaan istana ini cukup dhaif sekali dan hanya tunggu masa untuk roboh. Tak adakah para waris yang ingin memeliharanya daripada berkubor begitu saja? Padahal ia merupakan satu bahan tinggalan sejarah yang patut di pelihara dan dikekalkan demi anak-anak generasi masa depan. Biar mereka tahu bahawa wilayah ini pernah diperintah oleh Raja-raja Melayu Islam.
Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Pekan Tak Bai. Abang long mengingatkan ketua rombongan selaku pemandu ketika ini untuk berhenti atau singgah di Pejabat Pelancongan Thailand untuk mendapatkan beberapa risalah dan maklumat mengenai Thailand.

3.45 petang.
Kami singgah di Pejabat Pelancongan Thai. Penyambut tetamu agak kehairanan menyambut kami. Saya dan abang long memperkenalkan diri sebagai pelancong dari Malaysia dan datang untuk mendapatkan maklumat mengenai Thailand. Dia kelihatan agak payah untuk memahami bahasa Inggeris yang kami gunakan terutamanya bila kami bercakap laju. Jadi terpaksalah kami bercakap dengannya dengan menggunakan bahasa Inggeris sepatah demi sepatah.
Selepas dia memahami tujuan kami, dia memberikan kami pelbagai risalah tentang Thailand. Saya meminta kebenaran untuk merakamkan gambar di pejabat itu. Mula-mulanya dia agak keberatan, tetapi selepas itu dia tersenyum dan membenarkan saya mengambil gambar di situ.
Kami meneruskan lagi perjalanan ke Pekan Tak Bai. Dalam perjalanan, kami dapati ramai anggota polis Thai sedang berkawal untuk menyambut keberangkatan Permaisuri Raja Thai ke Istana Bukit Tanjung. Jadi kami menambahkan kelajuan kerana tak ingin terserempak dengan baginda. Untuk pengetahuan semua, amat susah prosedurnya bila kita terserempak dengan kaum kerabat Di Raja Thai.
Di Pekan Che He, kami mengekori sebuah lori tanah yang digunakan untuk mengangkut kanak-kanak sekolah yang baru pulang dari sekolah. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan gambar tersebut kerana di Malaysia, sudah tentu pihak polis atau JPJ akan menahan lori tersebut. Tetapi di sini, selamba sahaja.

4.23 petang.
Kami tiba di Pusat Imigresen Thailand di Pekan Tak Bai. Kalut-kalut kami ke pejabat Imigresen untuk urusan cop pas sempadan kerana feri untuk ke Malaysia telah sedia menunggu. Pada mulanya, kami ingin membeli dan membelah di Pekan Tak Bai ini kerana duit Siam masih lagi berbaki dengan saya dalam dua tiga ratus bath. Kalau simpan tak ada gunanya juga kerana kat Malaysia, duit ini tak laku. Jadi terpaksalah kami simpan juga, mungkin untuk pengembaraan seterusnya nanti.
Kami menaiki feri Thai yang akan ke Malaysia. Filem masih lagi berbaki dalam beberapa keping. Jadi kami adakan upacara menghabiskan filem tersebut.

4.40 petang.
Feri berlepas dari pengkalan Tak Bai di Thailand menuju ke Pengkalan Kubur di Malaysia. Pada masa yang sama, feri Thai yang kami naiki itu berselisih dengan feri Sri Tanjung milik Malaysia yang membawa penumpang ke Pekan Tak Bai Thailand.
Keadaan Sungai Golok agak sibuk dengan sampan dan bot yang keluar masuk melalui muara Tak Bai.

5.45 petang (waktu Malaysia).
Kami tiba di Pengkalan Kubor Malaysia untuk urusan checking dan pastport. Alhamdulillah kami selamat sampai kembali ke Kelantan, Negeri Serambi Mekah yang kami cintai ini.
Kami merancang dan berdoa, kami akan susuli lagi Catatan Perjalanan Ke Fatani Darussalam II yang bakal kami teruskan. Insya Allah.


Kg Tanjung Kuala Tumpat,
Kelantan, Malaysia.
1 September 2000

sultanpatani.jpg
Makam Sultan Muzaffar Shah, Raja Fatani

Full name:
Email address:
Comment:
  

Enter supporting content here