Menyelusuri Jejak Bertapak (Part I)
Laman Utama | Doa | Galeri Foto | Legal | Diskusi | Untaian Kata | Sudut Hukum | Warkah | Puisi | Cerpen | Kembara | Tetamu | Tazkirah | Link | Komentar Buku
Seruling Senja

PENDAHULUAN
 
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Segala puja dan puji ku persembahkan pada Allah, tuhan yang meliputi segala takdir, Maha Pemurah dan Maha Pengasih terhadap hambanya. Selawat dan salam buat rasul junjungan, penutup segala nabi dan rasul, dan ahli keluarga serta para sahabatnya sekalian.
Alhamdulillah, tiadalah yang berhak dipuji selain dariNya. Walaupun dalam keuzuran dan dugaan yang hebat ini, aku masih lagi diberi kesempatan dan kemampuan untuk menyiapkan Catatan Perjalanan Ke Fatani Darussalam II yang ku namakan ia Menyelusuri Jejak Bertapak. KepadaNya jualah ku serahkan segala hasil usaha yang seadanya ini.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih ku ucapkan buat Dato Hj Mohd Noor bin Kamarudin, Pengarah Yaskin Travel di atas perbelanjaan perjalanan ini.  Semua ahli rombongan, Aswadi selaku ketua rombongan, abg Zaini selaku pemandu dan pemilik kereta, ustaz Zawawi selaku pemandu arah merangkap jurubahasa, Saiful teman untuk berbicara dan Mohd Izzat Dzhiaul Haq yang membuatkan aku cukup terhibur dengan gelagatnya.. Buat keluarga di Tumpat, Kajang, Fatani dan seluruh kaum keluarga keturunan Jamadil Kubra. Semoga usaha yang tak seberapa ini akan diberkati Allah dan diberikan kejayaan hendaknya.
Teristimewa buat seorang kakak juga merupakan guru dan doktor jiwa ku yang banyak membantu di dalam mencari identiti diri yang telah hilang. Serta yang banyak menunjukkan aku jalan dalam mencari secebis ketenangan. Tiada katakata yang mampu ku ungkapkan buat jasa yang telah diberikan. Kiranya aku mampu, nescaya akan ku tukarkan seluruh hidup ini dengan sesuatu yang dapat membayar segala pertolongan dan jasa itu. Hanya Allah sahaja yang layak membalasnya. Doa dan harapanku agar kak bisa menemukan jalan bahagia dalam pencarian kasih, sayang cinta dan rindu di bawah lembayung cinta Allah yang Maha Pengasih tetapi tak pernah pilih kasih dan yang Maha Penyayang tetapi tak pernah pilih sayang.
Akhirnya, setiap pembaca yang membaca catatan perjalanan ini diwajibkan memberi sebarang komen atau pendapat tidak kira  sama ada dari segi catatan, jalan cerita atau diri penulis sendiri. Aku sedia menerima kelemahan diri ini seadanya kerana aku hanyalah insan yang lemah. Dan segala jasa kalian itu hanya dapat ku balas dengan doa dan harapan pada Allah.
Ya Allah! Engkaulah pemilik kesejahteraan dan sumber dari segala kesejahteraan itu. Engkaulah pemberi berkat, maka berkatilah kami wahai yang memiliki keperkasaan dan kemuliaan!!
Amin!!!!
 

      Seruling Senja
      Tumpat, Kelantan.
      23 November 2000
      1.55 tgh
      serulingsenja@hotmail.com
  
 
 
 
 
 
 
 
 

14 November 2000 (Selasa).
 
 Perjalanan kedua ke Fatani Darussalam ini sebenarnya telah dirancang semenjak saya di Kuala Lumpur lagi. Perbincangan demi perbincangan yang diadakan nampaknya membuahkan hasil. Jadi, hari ini saya bersama seorang adik (Aswadi), abang (Zaini), anak saudara (Izzat), dan seorang saudara (Saiful) telah bertolak dari rumah saya di Kampung Tanjung Kuala, Tumpat Kelantan menuju ke Pusat Imigresen Pengkalan Kubor Tumpat.
 
 Kami tiba di sana pada pukul 3.08 petang. Di sini kami menyelesaikan beberapa urusan untuk menyeberangi sempadan seperti cop pas sempadan, surat untuk membawa kereta dan sebagainya. Pada masa itu, feri milik Kerajaan Thai telah pun tiba di pengkalan. Jadi kami memiliki feri tersebut pada pukul 3.10 petang untuk menyeberangi Sungai Golok menuju ke Pekan Tak Bai, Thailand. Kali ini, perjalanan kami agak kurang selesa kerana faktor cuaca. Masa ini, musim tengkujuh sedang melanda negeri-negeri sebelah pantai timur. Jadi, hujan turun dengan lebatnya masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Keadaan Sungai Golok yang berarus deras dan hujan yang lebat membuatkan hati gelisah.
 
 Kami tiba di Pusat Imigresen Tak Bai, Thailand pada pukul 2.20 waktu Thailand. Banyak urusan yang perlu dilakukan di sini selain daripada cop pas sempadan, seperti surat kebenaran membawa masuk kereta dan urusan road tax. Kali ini kami menaiki kereta Honda Accord milik abang Zaini ke sana. Hujan masih lagi lebat. Aswadi selaku ketua rombongan bersama Saiful meninggalkan kami untuk urusan tersebut sementara mereka menukar duit Malaysia kepada nilai Bath Thailand. Sekarang, nilai mata wang Thai lebih tinggi daripada nilai mata wang Malaysia.
 
 Selepas semua urusan selesai, rombongan kami bertolak ke Kedai Jabat dalam wilayah Narathiwat untuk menemui ustaz Zawawi di sana. Dia sebagai pemandu arah dan jurubahasa tetap kami. Abang Zaini yang memandu terpaksa berhati-hati kerana hujan terlalu lebat dan jalan agak licin. Dalam keadaan begini kita perlu menumpukan perhatian kepada pemanduan bagi menjamin keselamatan. Jauh juga perjalanan ini dan kalau tak silap saya jarak diantara Pekan Tak Bai dengan Kedai Jabat kira-kira hampir 100 km.  Keadaan dingin dan sejuk , saya, Saiful dan Izzat selalu sahaja terlena di tempat duduk belakang. Maklumlah, sejuk-sejuk begini membuatkan tidur itu lebih enak
 
  Kami tiba di Kedai Jabat dalam wilayah Thailand pada pukul 3.55 (Thai). Kami berhenti untuk solat qasar asar di Masjid Jamiyyah Kedai Jabat. Sewaktu memasuki masjid, saya dapati sekumpulan jemaah tabligh sedang mengadakan halaqah zikir. Memang tidak dinafikan bahawa jemaah ini memang kuat melakukan usaha dakwah bagi menyeru umat manusia untuk mendekatkan diri atau kembali kepada Allah, namun di sana ada beberapa tuntutan yang telah dilupakan oleh jemaah ini yang sepatutnya diutamakan tetapi dilupakan dan di biarkan begitu sahaja.
 
 Suasana agak tenang, cuaca mendung dan agak lembab baru lepas hujan. Selesai sahaja urusan ketuhanan itu, kami singgah di warung pengat pisang Fatimah. Warung ini memang masyhur dengan pengat pisangnya yang cukup sedap. Setiap kali kedatangan kami ke sini, kami tidak melepaskan peluang untuk menikmati pengat pisang ini. Boleh dikatakan setiap ahli rombongan akan memuji-muji keenakan pengat pisang yang di nikmati itu. Saiful dan Aswadi memesan meggi sup sebagai tambahan. Nampaknya lapar juga mereka berdua ini. Maklumlah, perjalanan yang memakan masa agak lama sudah tentu membosankan, melenguhkan dan melaparkan perut. Jadi, bila dah berpeluang begini sudah tentu diisinya cukup-cukup.
 
 Selepas menikmati keenakan pengat pisang, kami mengunjungi bonda Ustaz Zawawi di rumahnya  berdekatan dengan masjid tersebut. Kami tidak akan lupa untuk menziarahinya tatkala tiba ke sana kerana bonda adalah seorang ibu tua yang cukup baik. Memuliakan kami para tetamunya dengan pelbagai hidangan. Dan sudah menjadi kebiasaannya, menyediakan jamuan untuk kami walaupun hanya tea o dan roti manis. Sebagai menghormati  dan mengambil hatinya kerana telah bersusah payah menyediakan juadah itu buat kami, terpaksalah kami menyentuhnya walaupun sedikit kecuali abang Zaini kerana dia sedang memenuhi puasa tiga bulan.
 
 Bonda memberitahu kami bahawa dia sedang risau kerana seorang anak perempuannya yang menjadi guru belum lagi pulang ke kampung walaupun sekolah telah beberapa hari bercuti. Katanya, kalau ada apa-apa biasanya anak perempuannya itu akan menelefon terlebih dahulu. Tapi kali ini tiada sebarang pengkhabaran darinya. Kami cuba untuk menenangkannya dengan memberitahu mungkin anak perempuannya itu sedang sibuk dengan beberapa urusan atau program.
 
 Selepas itu, kami bertolak dari Kedai Jabat menuju ke rumah Ustaz Zawawi di Banggol Merbau. Beliau adalah orang penting bagi kami dalam setiap sessi perjalanan kerana beliau selaku  pemandu atau penunjuk arah dan sekaligus menjadi jurubahasa kami yang tidak rasmi. Perjalanan kali ini saya hanya selaku tukang catat dan co-pilot sahaja kerana tugas memandu diambil alih sepenuhnya oleh abang Zaini. Mujurlah dalam perjalanan kali ini saya membawa bersama anak saudara saya Mohd Izzat yang berumur 8 tahun kerana hati agak terhibur dengan gelagat nakalnya. Dia beriya-iya mahu mengikut saya ke Fatani. Macam-macam gelagatnya yang membuatkan kami tak kering gusi.
 
 Kami tiba di rumah Ustaz Zawawi di Banggol Merbau pada pukul 5.00 petang (Thai). Waktu itu, Ustaz Zawawi tiada di rumah kerana pergi membeli gas. Agak susah juga untuk sampai ke rumahnya kali ini kerana jalan becak disebabkan hujan lebat yang turun tak henti-henti. Sebelum sempat kami melepaskan lenguh-lenguh badan, kelihatan Ustaz Zawawi bermotosikal bersama isteri dan anaknya. Dia tersenyum memandang kami. Dia bersalaman dan memeluk kami sebagai mengalu-alukan kedatangan kami.
 
 Seperti biasa, di sinilah port untuk kami malam ini. Jadi kami keluarkan segala beg dan barang keperluan sepanjang perjalanan kami di sini. Saya hanya dengan sebuah beg pakaian kecil berisi beberapa helai baju dan seluar , beberapa buah buku dan sebuah tape recorder. Kali ini agak mudah bagi saya untuk merakam segala maklumat penting. Hanya menggunakan tape recorder tanpa memerlukan buku tulis lagi seperti perjalanan yang lepas. Lagaknya seperti seorang wartawan dengan beg sandang kecil yang berisi tape recorder dan sebuah Al-Quran kecil kesayangan  yang selalu saya bawa kemana-mana. Itulah dia ubat penenang jiwa yang diberikan oleh pakar jiwa saya.
Sebenarnya, selain dari tujuan utama perjalanan ini untuk mencungkil sejarah Fatani, saya juga ingin mencari kedamaian bagi jiwa yang penuh keluh kesah ini. Saya perlu mencari ubatnya walau di mana ia berada. Sebelum bertolak ke Fatani, saya terlebih dahulu berjumpa dengan guru juga merangkap pakar jiwa tentang hal ini. Dia amat bersetuju dengan cadangan saya untuk ke Fatani kerana katanya, mungkin di sana akan saya temui sesuatu yang menjanjikan ketenangan dan kedamaian buat saya. Saya juga berkesempatan menemui tok guru dan menyatakan hal perjalanan ke Fatani ini, beliau juga sependapat dengan pakar jiwa saya. Katanya lagi, jumpalah tok guru-tok guru di sana dan semoga ada keberkatan di sisi mereka. Dan hanya Allah sahaja yang sebenar-benar tahu akan hal ini.       
 
 Selepas berhenti penat seketika, kami mandi dan bersiap untuk solat maghrib manakala abang Zaini berbuka puasa. Ini adalah malam pertama kami di sini bagi perjalanan kedua ini. Selesai sahaja solat jama dan qasar maghrib serta isyak termasuk wirid khususiyah masing-masing, kami berbincang mengenai planning sepanjang kami berada di sini. Kemana yang akan kami pergi dan bila waktunya. Hujan masih lagi menghiasi kesunyian malam walaupun taklah selebat petang tadi.
 
 Kami makan malam ala kampung bersama. Walaupun tanpa lauk pauk yang istimewa namun ia tetap membuka selera kampung kami. Kami dihidangkan dengan gulai ikan daun kesum dan pelbagai jenis  ulam-ulaman seperti jering dan petai. Bagi saya ia adalah satu hidangan yang cukup istimewa.
 Selepas makan, kami bersiap-siap untuk ke rumah Baba Hj Abd Muid bagi melawat beliau. Jarak diantara rumah beliau di Kampung Pupuk dengan rumah Ustaz Zawawi taklah jauh sangat, hanya dipisahkan oleh bendang padi dan tali air sahaja. Kami berkereta ke sana kerana kami mungkin ke Kedai Jabat selepas melawat baba.
 
 Kami disambut oleh Adnan dan Hisyam, anak Baba Hj Abd Muid. Kedua-dua saudara ini  adalah diantara orang kuat berusaha untuk mengumpulkan salasilah keluarga  keturunan kami di sana. Banyak hal ehwal keturunan keluarga, kami bincangkan di sini. Mereka juga memberitahu maklumat terbaru yang mereka perolehi mengenai keluarga Zuhdi Khan. Menurut mereka lagi, keturunan Zuhdi Khan ini ada hubung kait pertalian dengan Kesultanan Fatani. Salasilah ini baru sahaja diperolehi mereka. Berbeza dengan kami, kami telah lama mengetahui tentang keturunan kami ini mempunyai pertalian dengan Kesultanan Fatani.
 
 Sebagai tetamu, kami dihidangkan dengan ubi rebus dan kelapa manis. Hidangan biasa bagi orang kampung. Lebih-lebih lagi pada musim hujan begini. Kata Adnan lagi, keluarga di sana akan mengadakan satu mesyuarat dalam waktu yang terdekat ini bagi membincangkan untuk  mengadakan perhimpunan  keluarga kali keseterusnya selepas hari raya puasa nanti. Kami menyokongnya dengan sebulat suara, cuma kami berharap mereka dapat memaklumkan kami lebih awal lagi bagi membolehkan keluarga di Malaysia membuat persiapan untuk datang ke sini. Kami juga diberikan manaqib keluarga Zuhdi Khan yang baru.
 
 Pukul 9.00 (Thailand), kami bertolak dari rumah baba ke Kedai Jabat. Saja ronda-ronda untuk melihat panorama malam. Dalam perjalanan ke Kedai Jabat, satu peristiwa yang agak menggelikan hati berlaku. Semasa kereta kami melalui sebuah lopak air, tiba-tiba sebuah lori datang dari arah yang bertentangan dan menyebabkan air lopak tersebut tersimbah masuk ke dalam kereta. Saya, Aswadi dan Saiful yang menjadi sasaran. Basah juga dibuatnya. Terasa gatal-gatal akibat air tersebut. Entah air bekas apa. Bimbang juga kami kalau-kalau lopak air tersebut tempat anjing bermain atau mandi.
 
 Kami pusing-pusing pekan Kedai Jabat tanpa tujuan. Ustaz Zawawi mahu memperkenalkan seorang saudara Saiful di sana., tapi rumahnya berkunci sewaktu kami tiba. Di sana kami sempat  melihat kedai karaoke  yang menawarkan pasangan untuk pengunjungnya.
 
 Kami singgah di rumah Fikri, salah seorang kenalan baik di sana. Rumahnya berhadapan dengan masjid Kedai Jabat. Dia diantara salah seorang yang selalu mengikuti perkembangan politik di Thailand. Manakala Ustaz Zawawi dan Aswadi  meninggalkan kami di rumah Fikri  kerana mereka mahu menemui  Dik Sin, timbalan datuk bandar bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan keluarga. Beliau adalah salah seorang anak Baba Hj Abd Muid. Bangga juga saya kerana ada diantara keluarga di sana yang menyandang jawatan tinggi di dalam pentadbiran kerajaan.
 
 Pelbagai cerita, fikiran dan pandangan yang kami kongsikan bersama Fikri. Dia adalah seorang mekanik, namun cukup pandai dan mahir membuat khat. Salah satu hasil tangannya boleh dilihat pada dinding Masjid Jamaiyah di Kedai Jabat. Ayat Quran tersebut, dia yang tulis dan cat. Nampaknya dia juga mempunyai bakat seni yang cukup hebat. Kami berada di sana sehingga pukul 10.30 malam (Thailand).
 
 Badan terasa letih dan penat, jadi kami bertolak balik ke rumah Ustaz Zawawi di Banggol Merbau untuk tidur di sana. Tidak banyak program yang dapat dilakukan hari ini kerana kami sampai agak lewat. Jadi pagi esok, kami aturkan jadual dan perancangan agar kami dapat memanfaatkan semaksima mungkin masa perjalanan kami ini. Di rumah Ustaz Zawawi, kami disediakan satu jag air asam jawa. Ini adalah salah satu minuman yang tak akan kami lupa untuk menikmatinya setiap kali kami tiba ke sini. Jus asam jawanya yang cukup sedap dan pekat.
 
 Dan malam ini, saya akhiri dengan harapan yang tinggi berserta doa pada Allah agar diberkati  perjalanan ini dan diberi secebis ketenangan ke dalam hati yang penuh keluh kesah ini. Rasa rindu yang direnjiskan ke dalam jiwa ini sentiasa membara walau di mana berada, saya dan Saiful sama-sama merasai demikian. Rindu pada keluarga yang telah dibina dan rindu pada seaorang kakak yang cukup berjasa dan berbudi. Entah dengan apa akan saya bayar hutang ini, yang pasti budinya itu akan saya kenang sampai mati.
 
 Malam saya ini diselimuti dengan hujan yang menyimbah bumi membasuh kotoran terkumpul moga-moga hati dan jiwa ini turut sama bersih sebagaimana hujan yang membersihkan permukaaan tanah dan dicambahkan benih iman dan taqwa. Wahai malam yang sentiasa setia datang dan tetap akan datang. Sesungguhnya tiadalah sebaik-baik janji melainkan janji Allah.
 
 
15 November 2000 (Rabu)

 Bangun untuk mengadap Rabbul Jalil walaupun hujan terus mengulit dan selimut menggoda, tetap jua saya menguatkan iman yang secebis ini untuk bangun menunaikan kewajipan. Solat subuh berjemaah, mengadu, mengharap dan berdoa kepadaNya. Hanya Dialah yang layak membantu dan tiada siapapun boleh  menolong selain daripada pertolonganNya.
 
  Ya Ilahi!
  Engkaulah tujuan ku
  Dan ridhaMu yang ku harapkan.
 
 Saya sambung wirid dengan Al-Quran.beginilah keadaaan seorang hamba yang terpaksa mencari ubat untuk mengubati jiwa yang telah kehilangan arah. Saya jadikan Al-Quran itu sebagai teman hidup harian. Biar ia sebati dengan jiwa ini, hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui akan segala-galanya.
 
 Selepas mengerjakan wirid khususiyyah masing-masing kembali menyambung lena berulitkan hujan yang turun sehinggalah pukul 8.30(Thailand). Kami bangun bersiap-siap untuk meneruskan kembali perjalanan yang masih banyak ini. Kali ini kami berkesempatan untuk menonton siaran langsung penamaan calon pilihanraya di Bangkok melalui tv. Sistem pilihanraya di Thailand agak berbeza dengan sistem pilihanraya yang diamalkan di Malaysia. Terlalu banyak perbezaannya. Satu bahagian calon-calon yang bertanding untuk kerusi wakil rakyat dan satu bahagian lagi bertanding untuk kerusi menteri. Di Malaysia parti pemerintah yang akan menentukan menteri-menteri kabinet, tetapi di Thailand rakyat yang menentukan siapa menteri mereka. Hebat bukan?!
 
 Sebelum turun, kami bersarapan dahulu pagi ini. Nasi kerabu adalah hidangan buat kami berulamkan pucuk pegaga dan buah jering, berselera sekali kami makan kecuali abang Zaini yang masih meneruskan puasanya. Kami  juga terpaksa melayan seorang saudara isteri Ustaz Zawawi yang datang untuk berubat.
 
                       Pukul 10.30 pagi (Thai), kami bertolak dari rumah Ustaz Zawawi menuju ke Kuala Kawi untuk menemui Tok Biluk di Maahad Taufiqiah Islamiah atau dikenali juga dengan Pondok Beras Segenggam. Tok Biluk adalah gelaran bagi Baba Haji Idris , seorang tok guru pondok yang cukup tinggi ilmunya.
 
 Kami cukup bernasib baik kali ini kerana Tok Biluk ada di rumah dan pesakit yang datang untuk berubat pula tak ramai. Jadi kami mempunyai peluang yang agak luas untuk berbual dengan beliau serta bertanyakan beberapa kemusykilan yang terdapat dalam benak fikiran kami. Beliau melayan kami dengan begitu mesra kerana beliau mengenali kami. Setiap kali kami datang, tak pernah kami lupa untuk melawatnya di sini.
 
 Beliau seorang tok guru yang tinggi ilmu mantiknya. Banyak perumpaan dan sindiran di tujukan kepada kami. Sebelum berangkat, kami di beri buah tangan daripada beliau berupa beberapa amalan dan wirid yang perlu di kerjakan. Kami menerimanya dengan perasaan sungguh gembira.

 12.08 (Thai) kami bertolak ke Fatani. Dalam perjalanan ini, kami dapati banyak sign board gambar calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya Thailand nanti. Hujan masih lagi mengiringi perjalanan kami. Kami singgah di  Chekuas pertengahan jalan ke Fatani untuk menemui Pak Man Hitam bekas ahli Majlis Agama Islam Narathiwat bagi mendapat perkembangan terbaru mengenai keluarga Zuhdi Khan. Selepas bertanyakan beberapa orang penduduk, akhirnya kami menemui tempat tujuan. Kami agak bernasib baik kerana Pak Man baru sahaja pulang dari meeting. Ini adalah pertemuan pertama kami dengan beliau. Selepas memperkenalkan diri, beliau amat mengalu-alukan kedatangan kami sebagai ahli atau rumpun keluarga yang besar. Beliau menceritakan pada kami susur galur keturunannya berasal dari keluarga Khan di India. Datang berdakwah ke Fatani dan akhirnya berkahwin dengan salah seorang puteri raja Fatani. Ikatan perkahwinan ini menyebabkan keturunan kami mempunyai pertalian dengan keluarga di raja Fatani. Kemudian meletus perang diantara Siam dan Fatani yang menyebabkan ramai keluarga lari ke Malaysia terutama Kelantan, Perak dan Kedah. Dan Sultan Mahmud Kedah adalah dari keturunan raja Fatani yang melarikan diri semasa meletusnya perang Fatani.
 
Kami agak kecewa kerana tak dapat untuk menunjukkan manaqib keturunan keluarga kami yang bersambung dengan Rasulullah kerana terlupa untuk membawanya. Terkilan sangat rasa hati ini. Juga lambang keluarga Usrah Jamadil Kubra yang juga lupa untuk dibawa. Sesungguhnya manusia itu dijadikan dalam keadaan lupa.
 
 Selepas mengikat janji lagi untuk bertemu di lain kali, kami pun bertolak menyambung perjalanan kami ke Fatani. Jarak perjalanan kami ini kira-kira lebih 100 km. Kami tidak dapat menikmati pemandangan yang cantik kerana hujan masih turun dengan lebat sekali. Tadi kami sempat membeli beberapa bungkus makanan ringan sebagai alas perut kami di dalam kereta sebelum kami berhenti atau singgah untuk makan nasi.
 
 Kami singgah di Kelaba untuk makan tengahari setelah perut mula  berdikir barat. Semua ahli rombongan masuk ke kedai makan kecuali abang Zaini kerana dia berpuasa. Jadi dia ambil peluang untuk tidur dalam kereta. Kami memesan tom yam, sayur kailam, daging masak merah, dan telur goreng sebagai hidangan makan tengahari kami. Kami juga sempat menonton siaran tv dari Malaysia kerana kedai tersebut menggunakan parabola untuk mendapatkan siaran tv mereka.
 
 Selepas makan tengahari, saya ambil alih tugas memandu dari abang Zaini. Seperti biasa, masa yang sedikit ini perlu dikejar supaya tidak terlepas atau terkeluar dari jangkaan perjalanan. Tempat tujuan seterusnya, ialah Pondok  Baba Hj Ghazali Sekam. Hujan musim tengkujuh terus mencurah-curah. Saya memecut kereta sehingga 120 km/j.     
 
 Kami tiba di Pondok Sekam. Keadaannya berselut merah kerana kawasan pondok baru sahaja ditambak. Ditambah pula dengan hujan lebat begini, becaklah jadinya. Kereta yang kami naiki tiba-tiba sangkut di kawasan pondok, tetapi mujurlah anak-anak pondok ramai yang datang membantu menolak kereta. Kami disambut mesra oleh anak-anak pondok dan Baba Li sendiri. Baba Hj Ghazali adalah seorang tok guru yang agak muda umurnya. Pada agakkan saya dalam lingkungan 25 tahun. Tapi ilmunya cukup hebat. Lepasan universiti di Mesir. Ketika memasuki rumahnya, saya amat terpegun kerana mendapati kitab-kitab agama yang bertimbun dan berkotak-kotak. Masya Allah, saya mengambil kesempatan ini untuk membelek-belek beberapa buah kitab. Aswadi selaku ketua rombongan bertanya pada Baba Li tentang harga kesemua kitab tersebut. Beliau mengatakan ianya mencecah lebih 5000 rial. Terkejut saya dibuatnya. Kalaulah dia menawarkan saya beberapa buah, sudah pasti saya tidak akan menolaknya. Baba Li adalah seorang tok guru yang bergiat cergas dalam arena politik. Perancangan politik masa depan yang cukup hebat bagi menaikkan Islam di Fatani.
 
 Kawasan pondoknya sedang dalam pembinaan tambahan bagi menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah. Ramai pelajar yang datang dari seluruh Thailand malah dari seluruh nusantara termasuklah Kemboja, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Nampaknya Islam semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
 
 Selepas bertukar khabar, kami meneruskan perjalanan. Tempat tujuan kami kali ini ialah Pondok Baba Hj Abdullah Syarah Bendang Badang. Perjalanan kali ini saya terlena kerana terlalu letih. Dan tiba di Pondok Bendang Badang pada pukul 4.45 petang (Thai). Sakit dan lenguh pinggang ini dibuatnya, kerana terlalu lama berada dalam kereta.
 
 Di kawasan pondok ini, dipenuhi dengan sangkar-sangkar burung ketitir. Baba dan menantunya amat menikmati seni suara burung. Kami solat jama dan qasar di sini. Selesai solat dan wirid, kami menemui Baba Mat menantu Baba Hj Abdullah yang juga guru muda pondok ini. Beliau berharap agar kami dapat bermalam di sini. Dan kami menerima tawaran beliau itu dengan senang hati kerana memandangkan hari pun dah gelap, takut nanti kami tidak sempat untuk meneruskan perjalanan ini.
 
 Kami dibawa ke rumah penginapan tetamu untuk berehat. Rugi rasanya kerana saya tak bawa beg pakaian bersama. Hanya abang Zaini sahaja yang membawa beg pakaian. Jadi, agak sukar untuk ahli rombongan yang lain untuk mandi dan menukar pakaian. Kami melepaskan penat dan lenguh-lenguh dengan berbaring-baring di rumah tetamu. Boleh tahan juga rumahnya. Ia akan menjadi port untuk kami melayari mimpi-mimpi kami malam nanti. Ustaz Zawawi tidak melepaskan peluang untuk menemui adiknya, Marwan di sini. Adiknya juga salah seorang pelajar di pondok ini. Dia datang menemui kami selepas pulang dari bendang kerana membantu Baba berkebun. Begitulah hidup seorang pelajar yang mencari keberkatan gurunya. Sanggup menolong Baba walaupun tanpa sebarang upah.
 
 Apabila azan maghrib berkumandang,  kami bersiap-siap untuk solat berjemaah di surau pondok di imamkan oleh Baba sendiri. Kami ahli rombongan terus jama taqdim isyak selepas solat maghrib. Kedatangan kami ke surau itu untuk berjemaah mendapat perhatian pelajar-pelajar pondok. Mungkin kami ini orang asing  pada pandangan mereka. Tambahan pula, kami mendapat layanan istimewa dari Baba.
 
 Seperti biasa, wirid khususiyah dan Al-Quran adalah amalan wajib selepas solat kerana ia adalah diantara ubat yang mujarab  bagi jiwa yang tak keruan dalam perjalanan mencari keredhaan Allah. Hanya dengan cara bertaqarrub sahaja barulah dapat ditemui apa yang di cita-citakan oleh para ahli salik. Saya terpaksa bermujahadah dengan sepenuh kemampuan sebagai seorang hamba yang dhaif. Hanya kepadaNya saya bermohon dan berharap agar ditunjukkan jalanNya, dipermudahkan segala urusan dan ditenangkan jiwa ini.
 
 Baba Mat, guru muda pondok ini telah menjemput kami untuk makan malam di rumahnya selepas Isyak nanti. Beginilah diantara sikap-sikap terpuji masyarakat Melayu Islam Fatani, mereka terlalu memulia dan menghormati tetamu mereka. Mereka tidak akan membenarkan tetamu meningggalkan rumah mereka tanpa menjamah sebarang hidangan. Kami ke rumah Baba  Mat untuk menikmati hidangan malam bersama beliau. Seperti biasa, hidangan yang tak melupakan ulam dan budu yang merupakan makanan kegemaran saya. Sambil menikmati makanan malam ini, banyak perkara yang kami bincangkan terutama amalan-amalan harian. Kami juga berkesempatan untuk mendengar cerita mengenai lawatan Syeikh Ahmad Alawi Al-Maliki Al-Hasani cucunda keturunan Rasulullah yang berada di Tanah Suci. Baba Mat menunjukkan sekeping gambar yang diambil sewaktu beliau sedang menghadiahkan sebatang tongkat kepada Syeikh Ahmad. 
 
 Selepas makan, kami terus menyambung perbualan kami dalam banyak hal. Baba Mat juga menceritakan tentang beberapa peristiwa pelik dan aneh yang berlaku di kawasan pondoknya. Beliau memohon dengan jasa baik kami untuk membantu beliau dalam mengatasi masalah ini. Aswadi mewakili kami untuk melihat kawasan sekitar pondok. Selang beberapa minit, dia kembali ke rumah Baba Mat dan memberitahu kami bahawa ada bahagian kawasan pondok ini yang merupakan jalan dan tempat bermain sekumpulan makhluk halus. Juga ada pihak-pihak yang cuba menggunakan sihir ke atas penghuni pondok ini. Lalu Aswadi melakukan apa-apa yang patut untuk mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku.
 
 Saya meninggalkan Aswadi dan ustaz Zawawi bersama Baba Mat kerana mata sudah mula mengantuk. Penat masih lagi terasa. Saya kembali ke rumah tetamu dan mendapati Saiful, Izzat dan abang Zaini telah lena dibuai mimpi. Mereka pulang lebih awal daripada saya. Malam terus diselubungi sejuk akibat hujan.
 
  Ya Allah! Jadikanlah hujan ini sebagai nikmat dariMu buat kami dan janganlah Engkau jadikan hujan ini sebagai satu musibah atau bala ke atas kami. Hanya padaMu aku bermohon dan kepadaMulah aku minta tolong.
  Ya Allah! Siang telah berlalu dan kini malam datang menjelma. Matahari telah lama hilang berganti dengan bulan dan bintang. Rehatkanlah tubuhku dan tenangkanlah fikiranku. Dengan nama Engkau Ya Allah yang menghidup dan mematikan aku.

kresik.jpg
Masjid Kresik di Patani

Full name:
Email address:
Comment:
  

Enter supporting content here