16 November 2000 (Khamis)
Kami bangun menunaikan solat Subuh, hujan masih lagi turun mencurah-curah. Dan seolah-olah menggoda hamba-hambanya
yang lemah iman untuk terus melayan nafsu tidur. Selepas wirid dan baca Quran, masing-masing menyambung kembali lena untuk
menunggu hari cerah.
Kemudian, kami dijemput ke rumah Baba Mat untuk bersarapan pagi. Dengan geliat malas, kami bangun menuju
ke rumahnya. Suasana kampung yang sejuk menyebabkan kami agak kemalasan untuk bergerak. Di sana kami dihidangkan dengan nasi
kerabu dan ulam petai. Baba Mat juga menerima tetamu dari Perak, bekas anak muridnya dahulu yang datang untuk melawat bersama
teman-temannya. Pada pertemuan yang singkat ini, kami sempat berkenal-kenalan diantara satu sama lain. Seperti biasa, bila
bertemu ulam begini terpaksalah saya tambahkan nasi ke dalam pinggan. Lagi pun jarang nak dapat peluang macam ini.
Sewaktu sedang makan, Baba Hj Lah datang menjemput kami ke rumahnya pula. Beliau kata, dia dah sediakan sarapan
pagi buat kami di rumahnya pula. Jadi terpaksalah kami singgah di rumahnya sebentar walaupun tak makan kerana dah kenyang
sebagai menghormati tuan guru itu. Selepas berbual sedikit dengan beliau, kami terus menyambung perjalanan ke Fatani. Jarak
diantara Bendang Badang dengan Fatani taklah jauh sangat, mungkin dalam kira-kira 10 km. Hujan masih turun renyai-renyai.
Dalam perjalanan ke sana, kami sempat melihat sejumlah pelajar perempuan sekolah arab. Mereka berjubah dan
bertelekong labuh sebagai pakaian seragam mereka. Berbeza dengan pelajar sekolah arab atau agama di Malaysia. Tampak keayuan
mereka sebagai muslimah yang akan bangkit untuk mempertahankan dan memperjuangkan Islam sebagai Ad-Din nanti. Di sana sedang
bertiup semangat untuk bangkit memajukan masyarakat Melayu Islam Fatani agar setanding dengan kaum Thai. Mereka sebagai penduduk
asal Fatani agak mundur keadaan kehidupan mereka jika hendak dibandingkan dengan kaum Thai sebagai kaum pendatang di sana.
Kerajaan Siam telah membahagikan Fatani besar kepada tujuh wilayah kecil iaitu Fatani, Teluban, Nong Chik, Jalur,
Jambu, Legih (Narathiwat) dan Raman. Kerajaan Siam percaya bahawa dengan pemecahan Fatani kepada wilayah kecil ini akan dapat
melemahkan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang mereka. Setiap wilayah kecil itu akan diperintah oleh raja masing-masing.
Sementara itu, kerajaan Siam memindahkan orang-orang Siam ke negeri tersebut dengan tujuan mengimbangkan penduduk yang berketurunan
Melayu. Selepas dari peristiwa inilah, terdapatnya oarng-orang Siam di dalam wilayah tersebut.
8.45 pagi (Thai) kami memasuki Fatani Darussalam dan tempat tujuan pertama kami ialah Perkuburan Tok Ayah Cabang
Tiga Fatani. Tok Ayah atau nama sebenarnya Wan Sulaiman ini dikatakan mempunyai pertalian dengan kami. Mengikut ceritanya,
beliau adalah seorang yang amat alim dan mempunyai banyak karamah. Dan kawasan perkuburan ini diambil sempena nama beliau.
Jadi dikesempatan ini, kami mengambil peluang untuk berdoa di makam beliau. Di kawasan perkuburan ini juga terdapat makam-makam
raja Fatani yang berasal dari Kelantan. Dan salah satu makam ialah Makam Tengku Sulaiman berbuat dari marmar yang cantik.
Di belindangnya terpahat satu pesanan yang dipahat dalam bahasa jawi yang panjang. Di sini saya catatkan pesanan tersebut:
Hai segala mereka yang mempunyai mata hati,
lihatlah engkau daripada masa aku lagi hidup di dalam dunia
di
atas kerajaanku dan aku memegang akan Negeri Fatani
seumpama bunga sekuntum
tiada keberatan kepada aku.
Maka
tatkala kecut bunga itu,
Telah terbuanglah ia daripadaku hinggalah kosong tanganku.
Demikianlah orang yang
menuntuti dunia.
Hanyalah aku meninggal di dalam dunia dua perkara,
Nama yang baik atau nama yang jahat.
Dan
aku bawa bersama dengan aku kepada negeri akhirat yang baqa pun
Dua perkara juga
Amal yang baik atau amal
yang jahat.
Hendaklah engkau sekalian mengambil fikiran
atas ibarat selain perkataan pesanan aku
ini adanya.
Semasa saya menziarahi makam tersebut, kedua-dua nisan makam baginda yang berasal dari Itali telah dicuri orang.
Kami juga berkesempatan untuk melawat makam syuhada tragedi 13 Disember 1975 iaitu Hari Raya Aidil Adha (gambar 5). Bermula
peristiwa itu pada hari raya korban, orang ramai banyak memberi derma wang dan makanan kepada Pusat Pembela Rakyat. Askar
Thai mulai mengawal jalan-jalan masuk ke Bandar Fatani bagi mengelak penyertaan lebih ramai penduduk. Sembahyang hari raya
berlangsung dalam hujan yang mencurah di hadapan Sala Klang.
Pada malamnya, kira-kira lepas maghrib pada waktu diadakan sudut pidato dan orang sedang ramai, satu bom tangan telah dilontar
oleh polis kerajaan Thai dan membunuh 11 orang penunjuk perasaan dan mencederakan lebih 30 orang. Dalam keadaan kelam kabut
orang ramai menyelamat diri serta jerit pekik mangsa yang kesakitan, ditambah dengan pelita yang padam, polis Thai telah merampas
barang-barang yang didermakan oleh orang ramai.
Tidak semua daripada 11 orang yang terkorban dalam peristiwa ini dikebumikan di tanah perkuburan Tok Ayah Cabang Tiga. Cuma
empat dari daripada mereka iaitu Harun Muhammad, Hasbullah Ibrahim, Afandi Mat Rashid dan Wan Ismail Wan Husin dikebumikan
di sini. Manakala tujuh yang lain, atas kehendak keluarga dekat mereka, dikebumikan di tanah perkuburan di kampung masing-masing.
Beginilah hidup pejuang, tak pernah kenal erti kalah kerana di dalam perjuangan hanya ada dua kemungkinan. Sama ada menang
atau syahid. Dan mereka memilih syahid sebagai jalan yang terbaik buat mereka. Dan sesungguhnya telah dijanjikan buat orang-orang
yang mati di dalam perjuangan menegakkan Islam dengan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang indah. Dan mereka
memasukinya dengan rahmat dan rahman Allah tanpa sebarang hisab. Di manakah letaknya nilai perjuangan kita yang masih hidup
ini jika hendak dibandingkan dengan mereka. Kami tinggalkan mereka dengan penuh kehormatan sebagai pahlawan agama Allah yang
benar.
Kemudian, kami juga berkesempatan
untuk melawat Masjid Raja Cabang 3 Fatani Darussalam. Sebuah masjid lama semasa dalam pemerintahan Raja-raja Fatani. Masjid
ini adalah adalah sebuah masjid yang bersejarah di negara Thailand. Ia didirikan oleh para raja Fatani merdeka. Ia di bina
sejak zaman Tengku Besar atau Sultan Mohamad di Cabang 3 Fatani pada tahun (1845-1856). Baginda adalah seorang putera raja
Kelantan pada masa itu. Baginda berhijrah ke Fatani dan kemudiannya dilantik oleh rakyat Fatani sebagai raja Fatani I. Selepas
ditabalkan menjadi raja, baginda membina sebuah balai tempat bersembahyang di dalam istana sebagai masjid jamek negeri. Bangunan
pertamanya dibina dengan kayu getah 400 meter dari masjid sekarang.
Semasa pemerintahan Putera Sultan Muhamad, masjid ini dialihkan ke sebelah kanan masjid sekarang dan reka bentuknya
diubah menggunakan teknologi tempatan. Menggunakan atap bata merah Senggora dan konkrit, campuran simen, kapur putih, kulit
kerang bakar, telur putih dan manisan madu.
(1861-1870) Diperbesarkan lagi ke arah timur untuk keperluan makmum. Baginda melantik seorang yang bernama Hj Abd Latif menjadi
imam rasmi pertama masjid dan merangkap penyelia diraja di dalam menyelesaikan masalah hal ehwal agama Islam pada masa itu.
Ketika itu, masjid ini dijadikan tempat perkembangan ilmu Islam dan bahasa Melayu (jawi).
Semasa pemerintahan Sultan Sulaiman atau Tengku Bongsu, baginda menyiapkan pembinaan masjid ini dengan memasukkan ukiran kayu
yang unik seperti yang ada di dalam masjid sekarang(gambar 7). Baginda juga menukar nama panggilan Pattani ke dalam bahasa
arab iaitu Al-Fatani. Kolam besar di hadapan masjid pula telah di bina atas arahan permaisuri sebagai tempat berwudhuk umum.
Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, raja Fatani yang terakhir telah memberi arahan kepada Imam Abdul Latif supaya menguruskan masjid
dengan lebih luas fungsinya selain menjadi tempat bersolat, tempat pembelajaran Al-Quran dan kitab agama bahasa Melayu sehinggalah
baginda di tangkap oleh kerajaan Siam dan dibuang negeri ke wilyah utara selama dua tahun. Selepas itu, baginda berangkat
ke Negeri Kelantan sehingga akhir hayatnya. Pada masa itu, masjid ini telah mengurangkan peranannya kepada masjid biasa sampai
sekarang. Dan masjid ini diuruskan oleh 7 orang imam. Insya Allah, masjid ini akan memainkan peranan yang lebih luas lagi
meniupkan semangat perjuangan rakyat Fatani.
Selepas melawat bahagian dan kawasan sekitar masjid tersebut, kami berangkat untuk melawat Istana Cabang 3 Fatani yang terletak
tidak jauh dari kawasan masjid. Tidak dapat dipastikan bilakah istana ini mula di bina. Yang jelas, ia dibina oleh Tengku
Besar selepas beberapa tahun baginda dilantik menjadi raja Fatani pada tahun 1845. Salah satu peristiwa yang penting berlaku
di istana ini ialah semasa pemerintahan Tengku Abdul Kadir, raja Fatani yang terakhir. Baginda telah mengadakan satu
mesyuarat dengan raja-raja Melayu lain di Istana Cabang 3 bagi membincangkan langkah-langkah yang harus diambil
bagi kepentingan negeri dan orang Melayu. Mesyuarat tersebut telah bersetuju untuk melancarkan pemberontakan sekiranya kerajaan
Siam terus campur tangan dalam urusan negeri-negeri Melayu.
Agak sukar bagi kami untuk mencari tapak bekas istana tersebut kerana ia telah dikelilingi oleh rumah-rumah para penduduk
tempatan. Dan yang tinggal hanyalah pagar kota sahaja. Itu pun agak condong dan menunggu masa untuk roboh. Istana asal telah
diroboh dan kami dapati ada beberapa buah rumah moden di dalam tapak kawasan tersebut. Kami mencari penduduk sekitar yang
boleh menceritakan kepada kami serba sedikit tentang sejarah istana tersebut.
Dengan bantuan Ustaz Zawawi, kami menemui seorang perempuan tua yang bernama Che Ulah bt Amir yang berasal dari Setol. Berumur
74 tahun dan datang ke Fatani sejak berumur 18 tahun lagi semasa pendudukan Jepun. Dari ceritanya, datuknya dahulu pernah
berkhidmat di istana tersebut sebagai hamba. Dan rumah-rumah yang berada di dalam kawasan bekas tapak istana tersebut adalah
milik hamba-hamba yang pernah berkhidmat dengan raja-raja Fatani Darussalam. Dan mengikut Ustaz Zawawi, tak peliklah kiranya
mereka telah menjual banyak daripada tanah-tanah yang dulunya milik Kesultanan Fatani. Begitulah telah terjadi setelah kaum
kerabat Kesultanan Fatani melarikan diri dan setengahnya di buang negeri.
Selepas itu, kami berkesempatan untuk melawat Bandar Fatani. Mula-mulanya kami singgah di pinggir Bandar Fatani
untuk membeli baju lelong. Keadaan dan suasana sekitar hampir sama dengan keadaan pasar lama Wakaf Bharu, Tumpat Kelantan.
Abang Zaini yang beria-ia untuk singgah memberi beberapa helai baju.
Kemudian kami meneruskan perjalanan
ke Bandar Fatani. Agak pesat juga pembangunan di Bandar Fatani dengan gedung-gedung pakaian, bahan atau peralatan pembinaan,
gedung peralatan elektrik dan komunikasi serta banyak lagi. Setelah mendapat tempat untuk parking kereta, kami berpecah. Ustaz
Zawawi, Saiful dan Aswadi mencari kedai menjual kitab-kitab lama manakala saya, abang Zaini dan Izzat cuma ronda-ronda Bandar.
Kami memasuki kedai menjual telefon, pada mulanya kami disambut dengan baik. Tetapi setelah bertanya, nampaknya
kami mempunyai masalah komunikasi. Pekerja kedai tersebut tidak memahami sepatah pun bahasa Inggeris dan hanya tahu bahasa
Thai sahaja. Kami hanya mampu berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Angguk dan geleng kepala sahaja. Kami keluar kerana
tak ada gunanya umpama orang bisu bercakap dengan orang buta.
Kami masuk pula ke kedai menjual jam. Tapi tak jadi nak beli kerana harganya agak tinggi berbanding harga jam yang
sama di Malaysia. Sebagai untuk kenangan, kami memasuki kedai pakaian. Abang Zaini ingin mencari jubah untuk isterinya. Saya
hanya memilih sahaja, tak ada apa untuk dibeli. Dua tiga buah kedai pakaian juga telah kami masuki. Dan saya berkesempatan
untuk membeli sebuah buku yang bertajuk Sejarah Perjuangan Melayu Fatani.
Dan akhirnya kami bertemu kembali dengan Ustaz Zawawi, Saiful dan Aswadi di kedai pakaian. Mereka sedang makan
pulut inti yang dibelanja oleh tuan punya kedai pakaian tersebut. Rupa-rupanya pemilik kedai tersebut mengenali Ustaz Zawawi.
Tambahan pula, anak lelaki tuan punya kedai yang bernama Luqman adalah bekas pelajar SMU Falahiah di Kelantan, Malaysia. Di
kedai tersebut juga kami sempat memilih beberapa helai pakaian untuk dibawa balik. Izzat dengan sepasang baju melayu, Aswadi
dengan beberapa helai kemeja dan sehelai telekong untuk orang yang teristimewa. Saya dan Saiful cuba untuk mencari sehelai
telekong untuk Kak Idah, seorang kakak yang banyak memahami keadaan kami. Namun masalahnya, telekong tersebut agak singkat
daripada telekong-telekong yang biasa kak Idah pakai. Kami cuba untuk memilih yang cantik tetapi masalah yang sama tetap kami
hadapi. Jadi kami membatalkan hasrat untuk membeli telekong tersebut sebagai cenderamata untuk kak Idah. Tapi bagi saya, saya
mempunyai sesuatu yang tersendiri buat Kak Idah. Hanya sekadar hadiah daripada seorang adik yang banyak masalah buat seorang
kakak yang banyak membantu.
11.33 tengahari (Thai) kami bertolak dari Bandar Fatani menuju ke Kresik untuk melawat Masjid Kresik atau Masjid
Pintu Gerbang atau Masjid Hang Tuah . Cuaca agak cerah sedikit dan hujan sudah berhenti. Perjalanan kami agak lancar.
Di hadapan Masjid Kresik terdapat sebuah tok pekong cina yang baru di bina. Betul-betul bersebelahan dengan masjid.
Pihak Siam cuba mengelabui mata masyarakat bahawa tok pekong ini adalah yang terlebih dahulu dibina daripada Masjid Kresik.
Namun rakyat atau masyarakat Melayu Islam Fatani telah tahu helah yang cuba dimainkan oleh pihak Siam. Semasa kami tiba di
hadapan Masjid Kresik, para penganut Budha sedang mengadakan satu upacara keagamaan. Mereka membakar mercun dengan begitu
kuat sekali.
Kami berkesempatan untuk membeli makanan berasaskan ikan dan sotong di sebuah kedai berdekatan dengan Masjid Kresik.
Pada mulanya kami ingin mengerjakan solat jama di sini, tetapi di tunda kerana pada waktu itu waktu zohor belum lagi masuk.
Kami bertolak ke wilayah Jambu untuk mencari saudara yang telah terputus hubungannnya sejak berbelas-belas tahun
lalu. Saya sempat mengenalinya semasa saya di bangku sekolah rendah. Dan selepas itu, dia terus menghilang. Jadi dengan harapan
untuk menyambung kembali tali yang terputus ini, kami cuba menjejakinya berdasarkan beberapa maklumat yang kami perolehi.
Kami tiba di Masjdi Jambu pada pukul 12.32 tengahari (Thai) sewaktu para jemaah sedang bersolat zohor. Jadi kami
singgah untuk solat qasar dan jama. Selesai solat, kami bertanyakan beberapa orang penduduk tempatan yang kami temui di masjid
tersebut mengenai orang yang kami cari. Alhamdulillah, kami dapat menjejakinya setelah kami pusing-pusing mengikut panduan
yang telah diberikan. Kami menemui rumah abang Yeh. Dia merupakan seorang yang amat dikenali terutamanya oleh para peminat
seni suara burung kerana dia adalah diantara pengadil seni suara burung yang terkenal. Dia pernah menjadi pengadil pertandingan
di peringkat Asia yang diadakan di Thailand dan Malaysia.
Rumahnya dipenuhi dengan burung-burung ketitir yang mencecah puluhan ribu ringgit Malaysia harganya seekor. Terkejut
kami dibuatnya apabila diberi penjelasan demikian oleh abang Yeh.
Suasana pertemuan kami dengan keluarga ini amat mengembirakan. Bayangkanlah setelah berbelas-belas tahun kami terputus
hubungan sehinggakan mereka telah mempunyai anak-anak yang tak kami kenali. Mereka bersungguh-sungguh menahan kami sehingga
makan tengahari bersama sebagai tanda kesyukuran dipertemukan kembali.
Sebelum berangkat ke destinasi seterusnya, kami singgah sekejap di rumah Kak Yoh sebagai memenuhi ajakannnya. Dan
kami sempat merakamkan gambar sebagai tanda kenangan. Mereka berjanji akan mengunjungi kami di Malaysia dan kami juga berjanji,
sekiranya kami datang lagi ke Fatani Insya Allah kami tidak akan lupa untuk melawat mereka.
Selepas bertukar salam, kami meneruskan perjalanan ke Tanjung Dato untuk melawat Komplek Pemakaman raja-raja
Fatani. Di sini terdapat makam Ratu biru dan Ratu Hijau serta beberapa makam lain yang tak dapat dikenal pasti pemiliknya.
Kami datang ke sini untuk mendoakan kesejahteraan mereka.
Tidak jauh dari komplek tersebut terdapat dua buah makam yang dikenali dengan nama Makam Tok Panjang. Makam tersebut
milik Dato Gombak dan khadamnya Abdul Mumin saudagar dari Minangkabau yang datang ke Fatani berniaga tembaga. Pada Zaman pemerintahan
Ratu biru, satu arahan telah dikeluarkan supaya menyerahkan semua tembaga kepada Ratu untuk dijadikan meriam bagi melawan
Siam. Barang siapa yang engkar akan dikenakan hukuman bunuh. Dan Dato Gombak serta khadamnya telah ditangkap oleh tentera
Ratu sewaktu menjual tembaga kepada orang luar. Mereka berdua telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh Ratu Biru.
Mengikut catatan dalam Hikayat Fatani, Dato Gombak dan khadamnya telah dibunuh di suatu tempat yang bernama Pintu
Gajah di kaki Jambatan Kedi. Mengikut catatan :
Maka mayatnya pun telah dibuangkan pada sungai parit itulah. Dengan takdir Allah Taala di atas hambanya, maka
mayat Syeikh Gombak itupun terdiri hingga pinggangnya di atas air itu, dan mayat Abdul Mumin itu terdiri sehingga dadanya
di atas air. Apabila air surut mayat keduanya itu hanyut ke hilir, kedua beriring-iring seperti orang berjalan rupanya. Apabila
air pasang, kedua mayat tersebut kembali hanyut balik ke jambatan, tiga hari lamanya sedemikian. Maka dipersembahkan orang
kepada Tuk Besar. Arakian maka Tuk Besar pun masuk mengadap Ratu memohonkan mayat Dato Gombak dengan mayat Abdul Mumin itu
pun di kurniakan baginda, maka mayat kedua itu pun disuruh oleh Tuk Besar bawa ke seberang. Setelah sampai ke pantai seberang
itu, maka mayat keduanya itu pun ditarik orang naik untuk dikebumikan. Maka dengan takdir Allah Taala mayat kedua-duanya memanjang
dirinya dengan lembut. Tiada pernah mayat orang sedemikian. Maka mayat kedua itu dikuburkan orang. Maka kubur tok panjang
itulah kuburnya.
Khabarnya, kubur tok panjang ini tidak
pernah tetap ukurannya. Jika anda mengukur pada kali pertama sepanjang tujuh hasta, maka pada kali yang lain, ukuran ini didapati
berubah sama ada bertambah atau berkurang.
Di sini kami sempat melihat beberapa orang penduduk tempatan datang membayar nazar mereka. Masya Allah, ada lagi kepercayaan
khurafat begini. Hanya kepada Allah sahaja tempat selayaknya kita bersyukur.
Kami menghadapi sedikit masalah teknikal. Kereta yang kami naiki menghadapi masalah brek. Jadi kami ambil sedikit
masa untuk membaiki mana yang patut. Oleh kerana sebab ini, kami terpaksa membatalkan dua destinasi kami iaitu Makam Raja-raja
Teluban di Pulau Kerengga dan Masjid Di Raja Teluban. Kami terus bertolak ke Masjid Wadi Al-Hussin untuk melawat masjid warisan
leluhur saya yang amat dibanggakan oleh seluruh masyarakat Melayu Islam.
5.24 petang (Thai), kami tiba di Masjid Wadi Al Hussin Telok Manok. Kali ini kami sungguh bernasib baik kerana
tiba di sini sewaktu hari masih lagi siang atau cerah. Biasanya dalam perjalanan yang lepas, kami akan tiba di sini pada waktu
tengah malam. Jadi saya sempat merakamkan beberapa keping gambar. Sewaktu kami tiba di sini, sekumpulan anak-anak sedang mandi
manda di Wadi al-Hussin. Semua ahli rombongan kami tidak melepaskan peluang untuk mandi, berenang dan menyelam di sini.
Agak lama juga kami mandi sehinggalah azan maghrib berkumandang di menara Masjid Telok Manok ini. Kami berkesempatan
berjemaah bersama penduduk tempatan diimamkan oleh ketua rombongan kami, Aswadi .
Selepas solat, kami
sempat berbual dengan beberapa orang penduduk tempatan termasuklah cicit kepeda Wan Hussin Senawi, pembangun Masjid Wadi Al-Hussin
telok Manok. Kami menunjukkan kepada beliau salasilah keturunan yang kami perolehi serta memberitahunya tentang usaha kami
untuk mengumpulkan seluruh cabang keluarga. Beliau amat menyokong usaha yang sedang kami lakukan ini.
Kami bersiap-siap untuk balik ke Banggol Merbau walaupun perancangan sebenar kami untuk singgah di Pondok Pungguk.
Ustaz Zawawi telah menelefon isterinya supaya menyediakan makan malam buat kami. Memang isterinya seorang yang baik
dan patuh terhadap suaminya. Dan calang-calang orang yang boleh jadi suaminya kerana dia pernah belajar pondok di Kelantan
pada waktu usia gadisnya dulu.
Kami bertolak balik ke Banggol Merbau. Perut-perut kami sudah pun berbunyi minta di isi. Sewaktu dalam perjalanan
ini, tiba-tiba timbul idea daripada pemandu untuk ke Bandar Narathiwat untuk melihat panorama malam serta makan malam di sana.
Jadi kami membatalkan perancangan asal untuk terus pulang ke Banggol Merbau. Jarak diantara Narathiwat dari simpang Jingga,
iaitu jalan ke Kedai Jabat atau Banggol Merbau kira-kira dalam 15 km.
7.00 malam (Thai) kami memasuki wilayah Narathiwat. Ustaz Zawawi menelefon isterinya untuk memberitahu pembatalan
rancangan kami untuk makan malam di rumah. Indah juga pemandangan suasana malam di Bandar Narathiwat ini. Kami berhenti di
hadapan Masjid Raja Legih untuk makan malam di sebuah kedai yang bersebelahan dengan masjid.
Aswadi memesan pak Thai sejenis makanan yang seakan-akan mee tetapi bukan mee. Di goreng bercampur dengan udang
kering dan dimakan bersama ulam, air lada, daun bawang dan taugeh. Saya hanya berkongsi dengan Izzat. Anak buah kesayangan
dan penghibur hati dalam perjalanan.
Kemudian Aswadi memesan tom yam, daging masak merah, sayur masin dan telur goreng untuk hidangan malam kami. Ramai
juga anak-anak gadis Thai yang makan di kedai tersebut. Dan ada diantara mereka yang berpakaian seragam sekolah. Saya bertanyakan
ustaz Zawawi tentang mereka ini. Katanya, di Thailand sekolah dibahagikan kepada tiga sessi. Iaitu pagi, petang dan malam
kerana jumlah murid yang terlalu ramai. Patutlah waktu-waktu malam begini kita akan dapati ramai pelajar yang berpakaian sekolah.
Makan malam kali ini agak
kurang berselera kerana semua jenis hidangan agak masam. Agaknya di sana asam limau dan cuka terlalu murah ataupun tukang
masaknya memasak hidangan sewaktu mukanya masam mencuka. Entahlah, terbantut selera makan.
Abang Zaini mengajak kami ronda-ronda Bandar Narathiwat dengan berjalan kaki. Aswadi dan Ustaz Zawawi menolak kerana
kata mereka tak larat sebab agak besar juga Bandar Narathiwat ini. Walau bagaimanapun, saya, Saiful, Abang Zaini dan Izzat
bersetuju untuk jalan-jalan di Bandar Narathiwat. Selepas berjanji dengan Ustaz Zawawi dan Aswadi untuk bertemu di suatu tempat
pertemuan, kami meninggalkan kereta pada mereka.
Agak menarik juga pemandangan waktu malam
di Bandar Narathiwat ini dengan gelagat penjual jalanan atau kaki lima dalam memperagakan barang jualan mereka. Kami hanya
jengok-jengok sahaja. Ramai di kalangan orang tempatan memerhati kami sewaktu kami melintasi mereka. Mungkin cara kami agak
pelik bagi mereka. Tapi tak mengapa asalkan jangan ada yang berkenan sudahlah. Setakat pandang sahaja tak mengapa. Agak jauh
juga kami berjalan kaki sehinggalah kami berhenti rehat di bulatan di hadapan masjid besar Narathiwat. Dan kami sempat
merakam gambar di bulatan berlatar belakangkan air pancut.
Kemudian kami berpatah balik untuk mencari Ustaz Zawawi
dan Aswadi di tempat yang dijanjikan. Kami menemui mereka ketika mereka keluar dari rumah seorang kenalan di tengah-tengah
Bandar Narathiwat. Jadi kami bertolak ke Banggol Merbau. Perjalanan yang biasa, cuma abang Zaini sahaja yang banyak bertanyakan
Ustaz Zawawi selaku penunjuk arah dan jurubahasa kami di sini. Sewaktu kami memasuki Kedai Jabat, kereta yang kami naiki telah
ditahan oleh pihak polis dan tentera Siam dalam satu sekatan jalan raya. Mereka bertanyakan sesuatu, Ustaz Zawawilah yang
menjawab atau jurucakap kami. Banyak hal juga di tanyakan pada Ustaz Zawawi. Entah apa yang yang dicakapkan pun kami tidak
tahu kerana mereka bercakap menggunakan bahasa Thai. Dan kami bersyukur kerana kereta kami dibenarkan melepasi sekatan jalan
raya tersebut. Risau juga kami dibuatnya kalau-kalau mereka tahan terus. Hanya kepadaNya selayaknya kembali segala kesyukuran
dan sebaik-baik tempat kembali adalah di sisiNya.
8.30 malam (Thai), kami tiba
di Kedai Jabat. Kami pusing-pusing mencari kedai roti canai untuk super kami malam ini sewaktu berbual-bual. Tapi nasib tak
menyebelahi kami kerana roti canai sudah habis. Jadi pulanglah kami dengan tangan kosong ke Banggol Merbau. Cadangannya mahu
beli roti canai dan bawa pulang untuk dimakan bersama dengan keluarga Ustaz Zawawi. Jadi kami pulang ke Banggol Merbau selepas
membeli roti di sebuah kedai sebagai makanan kami malam ini.
10.30 malam (Thai) kami
tiba di rumah Ustaz Zawawi di Banggol Merbau. Selepas membersihkan badan dan ke bilik air, kami masing-masing membuka kitab-kitab
yang telah dibeli siang tadi di Fatani. Cuba membaca isi kandungannya serta membincangkan sedikit tentang masalah yang timbul.
Banyak juga kitab yang dibeli tadi seperti syarah Syarqawi sebanyak 3 jilid, senjata mukmin, bintang 12, majmu saghir dan
banyak lagi. Saya membelek-belek beberapa buah kitab yang agak menarik perhatian saya. Payah nak jumpa kitab-kitab lama macam
ini. Kadang-kadang kitab yang tak dicetak lagi. Hanya ahlinya sahaja yang tahu betapa berharganya kitab-kitab sebegini.
Saya
akhiri malam yang yang begitu indah ciptaan Allah ini dengan doa pengharapan agar masih diberi kesempatan untuk menyedut udara
segar dan bertanyakan khabar dunia buat esok harinya. Dialah tuhan yang tak pernah mengantuk dan tak pernah tidur. Dialah
tuhan yang menghidup dan mematikan.
Ya Allah
Ya tuhan!! Sesungguhnya aku menyerahkan seluruh jiwa dan ragaku dalam penjagaanMu dan tiadalah sebaik-baik penjaga melainkan
Engkau Ya Allah.
17 November 2000 (Jumaat)
Selepas solat subuh dan berwirid.
Ya Allah Yang Maha Mengetahui hal yang ghaib, yang berkuasa atas segala ciptaanNya,
panjangkanlah usiaku jika memang kehidupan ini baik bagiku dan cabutlah nyawaku jika memang kematian itu lebih baik bagiku.
Ya Allah, berikanlah aku rasa takut terhadap Engkau, baik disaat tersembunyi atau tidak. Berikanlah kepadaku kalimat yang
haq lagi adil, baik diriku sedang dikuasai marah mahupun kebahagian. Berikanlah kepadaku kejelasan maksudMu, baik dalam kefakiran
mahupun kecukupan. Berikanlah kepadaku kenikmatan yang tidak pernah lenyap, kebahagian yang tidak pernah hilang, kerelaan
dalam menerima ketentuanMu, kehidupan yang bahagia setelah mati, kenikmatan memandang wajahMu serta kerinduan untuk bertemu
dengan Mu. Akan tetapi, bukan saat datangnya kesengsaraan yang menyengsarakan atau fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah
kami dengan keimanan dan jadikanlah kami penuntun bagi orang-orang yang mencari petunjuk.
Kami tidur kembali kerana hari masih lagi gelap. Hari ini, saya sendiri pun tidak tahu ke mana destinasi seterusnya. Mengikut
perancangan, kami akan singgah di Pondok Baba Hj Abdul Aziz Pungguk. Tapi tak tahulah setakat mana perancangan ini akan
menjadi realiti.
Hujan telah reda dan
matahari telah mula bersinar kembali, di harapkan perjalanan hari ini akan menjadi lebih lancar daripada sebelumnya. Kami
bersiap-siap selepas bangun tidur. Barang-barang keperluan yang dibawa dikemas dan dimasukkan ke dalam beg kerana kami akan
terus bertolak balik tanpa datang semula ke rumah Ustaz Zawawi dan untuk perjalanan kali ini Ustaz Zawawi tidak akan mengikuti
kami. Sebelum bertolak, kami bersarapan dulu sambil menonton tv Siam. Macam-macam siaran yang kami tonton. Nasib baiklah Ustaz
Zawawi selaku jurubahasa menterjemahkan buat kami. Kalau tidak, jadilah kami seperti seekor tikus yang melihat besi. Tak tahu
apa-apa.
10.43 pagi (Thai)
kami bertolak dari rumah Ustaz Zawawi untuk balik. Dan kemungkinan singgah di Pondok Pungguk sekejap. Ustaz Zawawi membekalkan
kami satu beg plastik besar berisi buah ciku yang baru dipetik. Kami meninggalkan Ustaz Zawawi dan keluarganya dengan salam
persaudaraan yang mesra dan erat. Doa dan harapan kami agar dapat bertemu lagi di lain kali untuk perjalanan yang keseterusnya.
Perjalanan kami agak lancar kerana
cuaca cerah dan panas. Kami singgah untuk mengisi minyak di Kedai Jabat bagi perjalanan pulang kami ke pekan Tak Bai. Berkebetulan
pada masa itu, keretapi melintasi perjalanan kami. Tidak jauh bezanya diantara keretapi Malaysia dengan Thailand.
Perjalanan balik kami melalui Tanjung Mas terus ke Pekan Tak Bai dengan membatalkan perancangan asal kami untuk singgah
di Pondok Pungguk untuk menemui Baba Hj Abd Aziz. Agak jauh juga perjalanan kami ini namun agak selesa kerana cuaca yang elok
dan keadaan sub-highwaynya yang lengang dari kenderaan. Kami berhenti sekejap di pasar borong Che He kerana abang Zaini ingin
membeli buaian yang diperbuat dari tali.
Oleh kerana waktu Jumaat telah masuk, kami berhenti di Masjid Che He untuk solat Jumaat. Saya sempat mendengar khutbah
yang telah disampaikan oleh khatib pada hari tersebut. Dan satu perumpaan atau contoh yang amat terkesan di buat oleh khatib
ialah dengan mengatakan bahawa anak-anak perlu menjaga kedua ibu bapa mereka apabila keduanya telah tua. Jangan sewenang-wenangnya
membiarkan mereka atau menghantar mereka ke rumah orang-orang tua seperti yang dilakukan di Malaysia. Saya cukup tersindir
dengan contoh yang telah diberikan. Tapi apa boleh buat, sememangnya realiti masyarakat Malaysia mengamalkan perbuatan begitu.
Di manakah letaknya kasih sayang seorang anak terhadap kedua ibu bapanya yang telah tua sedangkan tangan-tangan mereka itulah
yang membelai dan memanjakan mereka suatu ketika dulu.
Ya Allah Ya tuhanku!! Muliakanlah kedua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku semasa
kecil. Rahmatilah hidup mereka dan kurniakanlah mereka dengan syurgaMu Ya Allah Ya tuhan Yang Maha Perkenan. Perkenankanlah
doaku ini.
Kami tiba di Tak Bai Border House pukul 12.52 (Thai) untuk urusan check out. Selepas itu, kami ke Pekan Tak Bai
untuk makan tengahari. Lagi pun feri masih belum sampai lagi. Masih banyak masa. Di sini sekali lagi selera kami terbantut
dengan hidangan yang dipesan. Masakannya yang agak kurang sedap. Memang nasib kami kali ini, hidangan yang dipesan tidak menepati
piawai selera kami yang agak cerewet ini. Jadi kami hanya makan sekadar sahaja untuk mengelakkan pembaziran terhadap hidangan
yang telah dipesan itu.
Feri Thailand tiba di Pusat Imigresen Tak Bai pada pukul 1.45 (Thai). Hanya feri Thai sahaja yang beroperasi hari
ini kerana di Kelantan hari Jumaat adalah hari cuti mingguan. Jadi perkhidmatan feri Malaysia cuti hari ini. Kami menaiki
feri untuk menyeberangi Sungai Golok dari pekan Tak Bai Thailand menuju ke Pengkalan Kubor Kelantan. Feri tersebut menyeberangi
Sungai Golok pada pukul 1.55 (Thai). Suasana Sungai Golok yang agak sibuk dengan perahu dan bot-bot yang mudik. Feri yang
kami naiki juga penuh dengan dengan kenderaan yang ingin ke Malaysia termasuklah beberapa orang pelancong Eropah.
Feri tiba di Pengkalan Kubor Kelantan Malaysia pada pukul 2.38 (Thai) bersamaan dengan pukul 3.38 waktu Malaysia.
Kami terus ke pejabat Imigresen untuk urusan check in dan kastam.
Kami sangat bersyukur pada Allah di atas selamatnya kami pergi dan balik perjalanan kali ini. Hanya kepada Allah
sahajalah kami berserah dan berharap. Tiada daya dan upaya kami untuk melakukan sesuatu tanpa izin dariNya.
Ya Allah Ya Tuhanku!! Hanya sanya Engkaulah sahaja yang mengetahui akan diri ini. Tunjukilah aku jalanMu, permudahkanlah
segala urusanku, tenangkanlah jiwaku dan perkenankanlah doaku.
Ya Allah Yang Maha Pengampun!! Sesungguhnya aku ini
hambaMu yang asi datang kepadaMu dengan penuh bergelumang noda dan dosa yang berdaki. Sesungguhnya keampunanMu yang kuharapkan
buat menyucikan palitan keras bunga-bunga neraka ini.
Ya Allah! Aku bermohon kepadaMu dengan perbuatan yang baik, meninggalkan yang mungkar dan mencintai orang-orang
miskin. Ya Allah! Ampuni dan rahmatilah aku. Jika Engkau berkehendak menurunkan fitnah pada sesuatu kaum, maka panggilah diriku
kehadratMu, agar aku terbebas dari fitnah itu. Dan aku meminta kepadaMu untuk mencintai orang yang mencintaiMu dan juga mencintai
perbuatan yang mendekatkan aku kepada kecintaanMu.
Ya Allah!! Aku bermohon dengan berkat nama-namaMu, mukjizat
nabi-nabiMu, dengan wasilah kekasihMu maka perkenankanlah doaku ini. Ya Ilahi!! Sesungguhnya Engkaulah tempat tujuan ku dan
keredhaanMu yang kucari.
Amin Ya Rabbal Alamin!!!!!!!!!!
Seruling senja
Tumpat, Kelantan.
23
November 2000
1.55 tgh