Wahai kekasih hatiku, sesungguhnya engkau adalah tergolong dalam kalangan yang amat kusayangi.
Sukamu adalah kegembiraanku dan dukamu adalah kesedihanku jua.
Ketahuilah olehmu sayangku,
Sesungguhnya kehidupan ini penuh dengan onak dan duri serta seribu kemungkinan
yang telah ditakdirkan tuhan. Dalam seribu kemungkinan itu, kita adalah salah satu darinya. Tidak seorang pun diantara kita
yang tahu akan rezeki, jodoh serta ajal maut dirinya sendiri. Oleh itu, bersabarlah kiranya telah tiba takdir tuhan untuk
orang yang kita sayangi. Ujian Allah itu ada hikmah di sebaliknya. Dan redhalah kiranya ketentuan Allah telah tiba untuk dirimu
sendiri. Siapalah kita di sisi tuhan untuk mempertikaikan takdir dan ketentuanNya.
Sayang,
Dunia ini bukanlah hanya milik kita. Tapi ia telah dianugerahkan tuhan untuk seluruh makhlukNya untuk diuji, siapakah
diantara kita yang paling bersyukur? Hitunglah olehmu akan anugerah tuhan. Pastinya tiada terhitung. Dan sebesar-besar anugerah
dariNya ialah Iman dan Islam. Dengan apakah patut dibalas pemberianNya ini?. Ingatlah kiranya engkau mengumpul seluruh kekayaan
memenuhi bumi ini dan engkau beramal selama lima ratus ribu tahun sekalipun untuk membayar harga hanya sebiji mata, ketahuilah sesungguhnya tempat bagimu adalah neraka
kerana engkau telah berhutang denganNya.
Tetapi, Dia
tidak pernah meminta sedemikian rupa. Memadailah bagiNya untuk melihat kita benar-benar menjadi hambaNya. Mengabdikan diri
buatNya, tuhan yang memiliki semesta alam. Tuhan Yang Maha Pengampun walaupun dirimu datang kepadanya dengan dosa dan noda
setinggi bergunung. Dialah tuhanYang Maha Pemurah, tidak pernah melambatkan rezeki walaupun hidupmu penuh dengan kederhakaan.
Dialah tuhan Yang Teramat Tahu walaupun engkau kunci dan sembunyikan rahsia hidupmu nun jauh disudut hati yang gelap gelita.
Dialah tuhan Yang Maha Pengasih, selangkah engkau rapat kepadaNya, sepuluh langkah Dia merapatimu. Dialah Raja bagi sekalian
raja walaupun engkau berkuasa memerintah seluruh isi dunia ini. Dan sesungguhnya, segala-gala yang terdetik di hati dan terlintas
di fikiranmu itu adalah milikNya jua.
Duhai kekasih, duhai sayang,
Sesungguhnya tidakku miliki emas permata walaupun sebesar biji kurma untuk ku hadiahkan buatmu, namun sudilah kiranya
dirimu menghayati pesananku ini buat pedoman dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh bergelombang ini. Juga aku tidak
memiliki sesuatu untuk kuberikan padamu sebagai bukti tanda kasihku padamu, tetapi ketahuilah, ku punya hati yang padanya
kubina tugu kasih dan sayangku dengan penuh keikhlasan serta kukalungkannya jambangan bunga taqwa. Dan kini aku serahkan segala-galanya
pada tuhan.
Ingatlah,
kiranya takdir tuhan telah tiba buatku untuk menemuiNya tak kuminta apa-apa darimu. Cukuplah sekadar segugus doa dan fatihah
buatku, agar kutenang di tempat peristirehatan sementara serta halalkan makan dan minumku dan maafkan kesalahanku terhadapmu
dari hujung rambut sampai ke hujung kakiku. Atau kiranya engkau masih lagi berdendam terhadapku, tuntutlah pembalasannya nanti
di hadapan tuhan Yang Maha Adil PengadilanNya. Dan nasihatku buatmu, bersabarlah.
Usah ditangisi pemergianku ini dan simpanlah air mata mu itu kerana banyak lagi perkara yang bakal engkau tangiskan di dalam
hidupmu nanti.
Sayangku,
Walaupun ku tak dapat hidup di sampingmu, tetapi memadailah buatku untuk mati di pangkuanmu. Salam ampun dan maaf dariku
buat semua dan teristimewa buatmu SAYANG!!!
Seruling Senja
10.8.2000
12.40 tgh