Hikmah al-Isyraqi
Home | Falsafah Sains Menurut Tradisi al-Hikmah | Fajar Keilmuan | Indeks hlm. 305 | Indeks hlm. 306 | Indeks hlm. 307 | Indeks hlm. 308 | Indeks hlm. 309 | Indeks hlm. 310 | Indeks hlm. 311
Fajar Keilmuan

 

Fajar Keilmuan:

Suatu Pengalaman Semasa Penyemakan

Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi:

Dari Estetika Menuju Fizika

 

oleh: Mohd Zaidi Abdullah (mzaid_saf@yahoo.com)

 

Seingat saya tulisan Prof. Shaharir yang terawal yang disentuh oleh benak saya ialah Pengenalan Tamadun Islam Dalam Sains Dan Teknologi[1] hasil suntingan beliau, Pengislaman Sains Matematik[2] yang ditulis bersama dengan Dr. Abdul Latif Samian dan Towards A Quantum Leap In The Development of Islamic Science In Malaysia[3].

 

Setahun dua berikutnya, dengan takdir Tuhan, saya menghubungi Prof. Shaharir untuk bertanyakan tentang sejauh mana perjuangan sains Islam telah berada di Malaysia dan penerapannya serta peluang-peluang baru yang boleh diterokai. Saya, yang sudah tentu bersikap kemelayuan dalam memahami persekitaran kerana telah mengikuti pengajian di Pondok Lubok Tapah yang didedahkan dengan kitab-kitab jawi melayu silam[4], sedikit sebanyak sudah tentu mempengaruhi sikap saya tentang potensi warisan tempatan untuk memajukan pembangunan negara Malaysia. Di sinilah titik pertemuan yang lojik mendorong saya berusaha mendapatkan khidmat penyemakan daripada Prof. Shaharir, seorang tokoh pejuang bahasa Melayu selain Prof. Osman Bakar, Prof. Madya Baharudin Ahmad, Prof. Madya Shahidan dan Dr. Alinor.

 

Saya yang mengamalkan sikap meneruskan apa yang telah dilakukan oleh orang sebelum saya, cuma perlu menokok-tambah bagi pembaikan ilmu pengetahuan yang berada di Malaysia khususnya dan di Nusantara amnya. Adalah tidak merugikan apabila saya memasukkan sikap dan pencapaian yang diterokai Prof. Shaharir terutama dalam pengislaman sains matematik, keparadigmaan[5] dan pemeribumian sains di Malaysia. (sekalipun sebahagian isi Nafas Baru turut dipengaruhi oleh buku Classification of Knowledge dan Tawhid and Science karya Prof. Osman Bakar yang turut menyemak buku saya sebelum diberikan kata pengantar khasnya dan sumbangan maklumat[6] yang tidak ternilai yang diajarkan oleh Tuan Guru Hj. Abdullah bin Allahuyarham Tuan Guru Hj. Abd. Rahman).

 

Pengalaman Semasa Proses Perbualan Ilmiah dan Semasa Proses Semakan

Saya bukanlah pakar matematik tetapi memahami sedikit sebanyak liku-liku perkembangan falsafah-hikmah sejak Ibnu Sina dan al-Farabi hingga ke zaman semasa berdasarkan jaluran keilmuan yang bersambung-sambung dengan menggunakan salasilah atau rantaian keilmuan (sanad).[7] Sebenarnya liku-liku perkembangan pemikiran dalam tamadun Islam terselit aspek keparadigmaan. Jadi, dalam kertas ini, aspek pensejarahan dan keparadigmaan disekalikan. Secara umumnya, yang diterima ramai pakar ilmuwan tamadun Islam yang dapat disebut sebagai aksiomnya, pertautan rohani dan jasad adalah ciri utama paradigma yang diamalkan oleh umat Islam sejak diutusnya Nabi Muhammad s.a.w. (Dalam kata yang lebih mantap lagi, umat manusia yang beriman kepada para rasul hingga Nabi Muhammad s.a.w. memperakui pertautan rohani dan jasmani)

 

Antara pemimpin mursyid agung umat Islam yang menggabungkan rohani dan jasmani ialah Sultan Muhammad al-Fātih.[8] Sultan Muhammad al-Fatih telah mengiktiraf dan menganugerahkan Khawajah Zadah sebagai pemenang dalam bidang penulisan pemikiran al-hikmah Islam menerusi karyanya yang berjudul Tahafut al-Falasifah.[9] Dalam karya Khawajah Zadah ini, aspek matematik dan geometri diletakkan di peringkat pertengahan (al-hikmah al-wusta). Jadi, secara lojiknya, saya kena berurusan dengan Prof. Shaharir yang menilai apa yang berlaku dalam matematik dari segi penyemakan. Pendekatan yang digunakan oleh beliau ialah keparadigmaan.

 

Dalam mel-e bertarikh 25. Julai 2003, saya bertanya:

Adakah dalam matematik dan geometri ada aspek keparadigmaan dalam pemerian bahan ?

 

Jawab Prof. Shaharir:

Memang ada. Itulah yang saya cuba tegakkan selama ini kerana teori Kuhn hanya ditumpukan kepada sains bukan matematik sahaja khususnya untuk fizik dan kimia sahaja (sains bukan matematik yang lain memang sudah terkenal ada hubungannya dengan sistem kepercayaan dan sebagainya). Oleh itu, ramai yang mengatakan teori Kuhn tidak berlaku dalam matematik. Saya cuba buktikan sebaliknya. Dalam geometri  umpamanya, memang paradigma baru sama sekali muncul selepas terbitnya geometri bukan Euklidan dalam kurun ke-18 M itu; walaupun bibitnya telah ditanam oleh beberapa orang sarjana Islam dahulu lagi.

 

Keparadigmaan penting dalam pengolahan lanjutan terhadap pengembangan ilmu pengetahuan. Cuma saya terfikir adakah keparadigmaan itu ada yang bersifat induk atau yang bersifat sub atau juz`i. Seperti mazhab Syafiei berada dalam paradigma induk Islam. Paradigma Islam yang diterima sebagai asas oleh Imam Syafiei ialah al-Quran, al-Hadith, Ijma dan Qiyas manakala tiga mazhab yang lain menerima al-Quran dan hadith serta menambah lagi aspek lain. Bagi saya, inilah penentu paradigma itu terbentuk.

 

Bidang matematik dan geometri yang menduduki tingkat pertengahan, ciri-cirinya masih boleh diperkayakan oleh pencapaian ilmu semasa yang diislamisasikan. Kedudukan pertengahan juga melibatkan ciri-ciri dalam sistem paradigma Hikmah al-Isyraqi. Sebenarnya kedudukan pertengahan itu diikat dengan rapi antara dua hikmah lagi iaitu yang di atasnya hikmah utama dan di bawahnya hikmah asfal yakni alam benda. Ikatan tersebut dirangkumi oleh ilmu teori dan amali.[10] Saya berharap benar, andai ada karya-karya ilmiah yang ditulis bagi bidang ini disenarai dan dikenalpastikan untuk dijadikan sains kemalaysiaan. Saya rasa buku seperti Sains Permulaan karya Prof. Shaharir dan Sejarah Aritmetik dan Aljabar Islam karya Dr. Mat Rofa Ismail dapat memperkayakan pengelasan yang telah saya paparkan dalam Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi.

 

Mewujudkan Sains Islam Menerusi Pengalaman Hikmah al-Isyraqi

Dapat dikatakan Hikmah al-Isyraqi muncul dalam bentuk tulisan pada masa bermulanya kritikan Hujjatul Islam al-Ghazali terhadap falsafah Peripatetik. Ini bermakna umat Islam amat terhutang budi terhadap beliau. Dalam kajian saya, didapati ilmu kalam sama ada yang berat bahasannya dan juga yang disebut sifat dua puluh adalah dibayangi oleh Hikmah al-Isyraqi[11]; ditampilkan dalam bentuk rasional ini telah sebati tersemat dalam tasawwuf dan usuluddin sehinggakan sukar untuk dipisahkan.

 

Dalam kajian yang dilakukan, saya telah dapat mengenal pasti potensi yang dibawa oleh aliran ini dan sekaligus kita akan menjadi generasi penerus. Itulah sebabnya dapat dilihat percubaan yang dikemukakan dalam Nafas Baru untuk mensistematikkan kehierarkian sikap terhadap apa jua yang berkaitan dengan kita.

 

Pemeribumian Ilmu

Masyarakat Islam Nusantara untuk tempoh yang cukup panjang sememangnya bernaung di bawah pengaruh keilmuan di al-Haramain (Makkah dan Madinah). Al-Haramain yang merupakan pusat kerohanian yang penuh berkat sudah tentu mempengaruhi segala bentuk ilmu yang diajarkan termasuk dalam bidang pemikiran Islam. Warisan yang dimiliki seperti yang dikhabarkan dalam Nafas Baru perlu dipertingkatkan kegunaannya sehingga Malaysia memiliki satu bentuk sains yang sesuai dengan rakyat yang berada di Dunia Timur yang menekankan hubungan jasad-rohani.

 

Bagi mengambil kira pertautan ini, umat Islam sudah tentu memerlukan pengajian sains yang sesuai dengan pegangan agama mereka. Antaranya, saya telah menilai kembali istilah Hukum Keabadian Tenaga, dan perlu ditukarkan kepada Hukum Keberadaan Tenaga kerana dalam ajaran Islam semua perkara di alam ini dijadikan berterusan oleh Allah s.w.t.[12] Perkara beginilah yang menyumbangkan wujudnya paradigma penyusunan semula sains mengikut acuan sendiri tanpa bertaqlid semata-mata. Prof. Shaharir telah mencirikan apa itu karya dalam acuan sendiri atau karya ijtihad dalam Kaedah Pemeribumian Penulisan Ilmiah Sains, Teknologi dan Perubatan terbitan Penerbit UKM.

 

Ini, adalah tugasan berterusan umat Islam, sejak dulu hingga sekarang; antara penyelidikan yang menarik dikemukakan oleh ulama Melayu yang belajar di Makkah ialah Tausi‘ah al-Fikri (Luas Fikiran - selesai tulis 1379H) oleh Hj. Wan Ali al-Saulati dan Muqaddimah al-Hai`ah (Pengantar Astronomi - selesai tulis 1389H)  oleh Hj. Awan Din (dari Yala)[13]. Penulisan ini sebenarnya hasil daripada pengajian membaca kitab Arab lalu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu secara lumat dan halus sehingga menghasilkan susunan kata yang menarik. Karya sebegini patut diambil kira oleh penggubal dasar atau mana-mana individu yang ada kaitan dengan penyusunan dasar pendidikan negara.

 

Bagi menjalankan pemeribumian sains juga, kita patut menghargai jasa-jasa ulama-ulama yang telah bertungkus-lumus menulis karya-karya penting dalam semua bidang; pembacaan karya-karya mereka patut diteruskan sehingga dapat difahami mengikut maksud sebenar; antaranya, dikaitkan dengan karya-karya agung tamadun Islam.

 

Prof. Osman Bakar (pemegang Kerusi Malaysia Dalam Pengajian Islam Asia Tenggara di Universiti Georgetown, Washington D.C.) turut menyedari, karya-karya ulama melayu kebanyakannya ditulis dalam bahasa Melayu klasik sehingga menyukarkan kebanyakan peminat yang telah dididik dengan bahasa Melayu moden sedangkan karya-karya klasik bermutu tinggi.[14] Oleh itu, pembaharuan dalam bidang bahasa perlu mengambil kira kesan-kesan baik dan buruknya kepada kesinambungan khazanah warisan tanah air kita.

 

Jadi, dua aspek iaitu pemeribumian dan cara menanggapi karya silam perlu seiring bagi pemantapan ilmu pengetahuan tanah air. Hanya dengan warisan-warisan dan karya-karya baru yang bernilai menjadikan bahasa Melayu dihargai dan dihormati. Saya berharap benar kenyataan Perdana Menteri Malaysia yang berhasrat “menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang penting di dunia”[15] diusahakan secara berksesan tanpa mengira apa jua rintangan dan dugaan. Kelebihannya, apabila orang luar ingin mengetahui apa yang dicapai oleh negara maka mereka kena mempelajari bahasa kebangsaan seperti kita mempelajari bahasa asing kerana hendak ambil ilmu pengetahuan asing.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

*** Kertas ini disebarkan kepada peserta Seminar Mengenang Jasa Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain anjuran Persatuan Matematik Malaysia (PERSAMA) & Pusat Pengajian Sains Matematik, pada 3hb. Jun. 2004.

 

 

Terbitan: Kurnia Ilham (001410986-A)

e-mel: kurnia_ilham@yahoo.com



[1] Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka (1985)

[2] Lihat Islam dan Pemikiran Sains Masa Kini, suntingan Osman Bakar, terbitan Akademi Sains Islam Malaysia.

[3] Lihat Islam: Science and Technology, suntingan Anuar Ab Razak & Abu Bakar Abdul Majeed, terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

[4] Antaranya kitab-kitab yang diterbitkan oleh Khazanah Fathaniyah, K.L.

[5] Lihat Menjana Keilmuan Islam, Terbitan Tak Berkala 2, 1997.

[6] Rujukan penting digunakan, lihat Nafas Baru . . . , hlm. xxviii-xxix.

[7] Lihat buku saya, Nafas Baru . . . , hlm. 91-121.

[8] Lihat maklumat penting dalam buku saya, Nafas Baru . . . , hlm. xxx, 123-128.

[9] Ada sebuah lagi karya yang diarahkan penulisannya oleh Sultan Muhammad al-Fatih ialah al-Durrah al-Fakhirah yang ditulis oleh tokoh sufi terkenal al-Jami. Lihat buku saya, Nafas Baru .. , hlm. 118-120, 127.

[10] Lihat Nafas Baru . . . hlm. 26.

[11] Lihat buktinya dalam al-Jurjani (w.816H), Syarh al-Mawaqif. Al-Jurjani juga seorang ahli tasawwuf dan tariqat. Inilah bukti pertautan rasional ilmu kalam dan rasional ilmu tasawwuf.

[12] Lihat Nafas Baru . . , hlm. 44.

[13] Lihat Nafas Baru . . , hlm. 172-175.

[14] Lihat Nafas Baru . . . , xv.

[15] Lihat Utusan Malaysia, 30hb. Mei. 2004, ketika merasmikan Seminar Persahabatan China-Malaysia di Beijing Foreign Studies University.



Enter supporting content here