Pertubuhan Seni Silat Gayong Warisan Serantau Malaysia |
Dalam Pembinaan
|
Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman bin Uda Mat HashimPengasas dan Pengembang Silat Seni Gayong Allahyarham
Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd.Hashim ialah pencipta dan pengasas Silat
Seni Gayong. Darah yang mengalir di dalam batang tubuh Dato' Meor Abdul Rahman
adalah darah Bugis yang diwarisi dari Daing Kuning, seorang pendekar
terbilang.Daing Kuning atau lebih dikenali dengan gelaran Panglima Hitam adalah
salah seorang daripada tujuh beradik berasal dari Makasar yang mendarat di Tanah
Melayu bagi mencari tapak penghidupan baru.
Hasil
perkongsian hidup Daing Kuning dengan seorang puteri Raja Patani, beliau telah
dikurniakan seorang putera dan kemudiannya dikenali dengan nama Penghulu Che'
Ngah Tambah.Daing Kuning meninggal dunia pada tahun 1875 di Taiping, Perak.
Penghulu Che' Ngah Tambah pula telah mendapat seorang anak lelaki yang diberi
nama Uda Mohd. Hashim. Uda
Mohd.Hashim kemudiannya mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Aluyah binti Syed
Zainal Al-Attas dan dikurniakan dua orang anak lelaki, salah seorang daripadanya
dinamakan Meor Abdul Rahman.Meor Abdul Rahman dilahirkan di Taiping, Perak pada
17 Ogos 1915 dan mula mempelajari persilatan ketika berusia 12 tahun, daripada
datuk sebelah ibunya, iaitu Tuan Syed Zainal Al-Attas. Syed Zainal adalah
seorang penghulu di Pekan, Pahang, dan ikut sama berjuang menentang campur
tangan Inggeris di Pahang bersama-sama dengan Dato' Bahaman, Mat Kilau serta
pembesar-pembesar Pahang yang lain. Pada
tahun 1936, Allahyarham telah digelar "Rahman Sendo" oleh almarhum
Sultan Alang Iskandar, setelah menunjukkan keistimewaan dan kependekarannya di
istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar,Perak. Dengan kehendak almarhum Sultan,
Allahyarham telah diambil sebagai anak angkat oleh baginda sehinggalah baginda
mangkat pada tahun 1938. Pada
tahun 1938, Allahyarham telah berhijrah ke Singapura dan bekerja di Royal Signal
Corp, Gillman Barrack. Di sini Allahyarham turut mengajar seni tempur tangan
kosong kepada tentera British. Apabila
tentera Jepun menyerang Singapura pada tahun 1941, Allahyarham bersama-sama
dengan keluarganya telah menyelamatkan diri ke Pulau Sudong, sebuah pulau di
selatan Singapura. Setelah melalui pelbagai dugaan, barulah beliau dan
keluarganya dibenarkan menumpang di pulau tersebut.Di Pulau Sudong inilah Silat
Seni Gayong mula dikembangkan, iaitu pada 17 Februari,1942. Di Pulau Sudong ini
beliau telah menunjukkan kebolehannya memperdaya tentera Jepun dan seterusnya
menyelamatkan penduduk Pulau Sudong daripada kekejaman tentera Jepun. Silat Seni
Gayong kemudiannya diajar kepada semua penduduk Pulau Sudong.Tidak lama kemudian,
beliau bersama-sama keluarganya telah pulang ke Taiping, Perak. Pada
tahun 1943, beliau telah ditangkap oleh tentera Jepun kerana menentang tentera
Jepun yang cuba mengganggu isterinya. Beliau telah dipenjarakan di penjara
Taiping dan setelah dibicarakan, beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Sewaktu
dibawa ke tempat penggantungan, beliau telah menunjukkan kependekarannya dengan
menumpaskan tentera-tentera Jepun yang mengawalnya. Akibat daripada peristiwa
ini, beliau telah dibebaskan. Tidak lama kemudian beliau telah dipaksa menyertai
pasukan tentera Jepun. Apabila
Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, beliau sekali lagi telah berhijrah ke
Pulau Sudong dan telah ditawarkan menjawat jawatan penghulu di situ. Setelah
beliau menetap di Pulau Sudong, Silat Seni Gayong telah tersebar ke pulau-pulau
sekitar termasuklah pulau-pulau di dalam wilayah Indonesia. Pada
tahun 1947, beliau telah berpindah ke pulau besar Singapura kerana ditawarkan
bekerja sebagai mata-mata gelap di Jabatan Siasatan Jenayah, Singapura. Pada
tahun tersebut juga beliau telah dianugerahkan pingat King George VI oleh
kerajaan British kerana jasa-jasanya menentang pendudukan Jepun di Singapura.
Bermula dari tahun 1948, beliau telah gigih mengembangkan Silat Seni Gayong di
Singapura, dan seterusnya ke Tanah Melayu. Setelah bersara dari pasukan polis,
beliau telah menubuhkan Sekolah Pusat Latihan Silat Seni Gayong di
Woodlands,Singapura pada tahun 1960. Di pusat latihan inilah,
gurulatih-gurulatih awal Gayong dari Semenanjung Tanah Melayu mendapatkan
pelajaran silat mereka. Pada
tahun 1959, Allahyarham Dato'Meor Abdul Rahman telah bertemu dengan Dato' Onn
Jaafar, pengasas UMNO dan penentang Malayan Union. Dato' Onn telah mengusulkan
Silat Seni Gayong didaftarkan supaya menjadi suatu pertubuhan yang sah di sisi
undang-undang. Akhirnya, dengan jasa-jasa Dato' Onn, Silat Seni Gayong telah
diluluskan pendaftarannya pada 22 Oktober 1963 dengan nombor pendaftaran
361(Johor Bahru). Ia adalah pertubuhan silat yang pertama didaftarkan di
Malaysia. Dato' Onn telah dilantik sebagai penasihat dan setiausaha agung yang
pertama. Pendita Za'ba pula telah
diminta melukis lambang Gayong dan mereka bentuk sijil Gayong.
Kegigihan dan pengorbanan Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman dalam usaha
mengembangkan Silat Seni Gayong telah dirakamkan dengan pengurniaan pingat Dato'
Paduka Cura Simanja Kini (DPCM) oleh Sultan Idris Shah, Sultan Perak pada tahun
1971. Dato'
Meor Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah pada 23 Jun 1991 dalam usia 76
tahun dan telah dikebumikan di perkuburan Masjid Lama, Taiping, Perak. Al-Fatihah ...
Lihat AMANAT Mahaguru |
Sila hantar e-mel kepada webmaster
jika ada kemusykilan atau komen.
|