Pertubuhan Seni Silat Gayong Warisan Serantau Malaysia |
Dalam Pembinaan
|
Mengenal GayongPerkataan
SILAT itu pada
umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian
pelajaran GAYONG, dan pelajaran GAYONG
itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi hikmat-hikmat
kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang
mengelirukan, yang terkandung di dalam kandungan gerak semula jadi, iaitu
pergerakan pantas secara automatik. GAYONG yang
mengandungi pelajaran sepak-menyepak, tumbuk-menumbuk, tikam-menikam,
tangkap-menangkap, hempas-menghempas, buang-membuang, sekat-menyekat,
elak-mengelak, hadang-menghadang, tangkis-menangkis dan seumpamanya lagi itu
adalah menjadi pakaian keperwiraan kepada setiap lelaki dan wanita. Pelajaran
ini amatlah berguna dalam masa kecemasan bagi mempertahankan diri sebagai
perisai untuk mengelakkan serangan musuh atau lawan. Dalam suatu pertarungan
yang menggunakan sepenuh tenaga kekuatan, kepantasan, kecekapan, keazaman, dan
kepintaran masing-masing untuk mengalahkan lawannya, sama ada dengan menggunakan
senjata ataupun tanpa menggunakan senjata, maka di dalam pertarungan yang
seumpama itu biasanya dinamakan GAYONG. Tetapi
pelajaran SILAT
yang dimaksudkan kepada bunga-bunga tarian bagi pelajaran GAYONG
itu adalah lebih merupakan pertunjukan atau persembahan yang tertentu, umpamanya
untuk menyerikan sesuatu majlis keramaian, atau kerana sesuatu upacara istiadat
di dalam kebudayaan Melayu. Maka di dalam pertunjukan yang seumpama itu,
tidaklah persembahan itu lebih merupakan suatu pertarungan yang sungguh-sungguh
berlaku di situ, malah hanya persembahan itu lebih merupakan sebagai satu
daripada ciri perlawanan yang dipersembahkan secara imbasan pertarungan yang
dipenuhi dengan keindahan dan kesenian bunga-bunga tarian dalam pelajaran GAYONG
yang disampaikan dengan penuh ketenangan jiwa, sabar, bertatatertib, tidak
melanggar kesopanan dan kesusilaan dan tertakluk pula kepada taraf majlis di
mana persembahan itu diadakan. Persembahan seumpama itu dinamakan BERSILAT.
Maksud
perkataan GAYONG dalam ejaan jawi: Ga - Genggam Berpegang
kepada janji setia dan ikrar yang telah dilafazkan. Juga bermaksud menjaga
segala rahsia dan amanat yang diberikan. Alif - Angkat Meletakkan
dan menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan tempat rujukan. Ya - Yakin Yakin
kepada kebolehan diri sendiri Wau - Waras Membuat
pertimbangan yang sewajarnya sebelum bertindak. Nga - Ngeri Bersungguh-sungguh
dalam segala perbuatan. Dalam konteks latihan dan persembahan, kesungguhan ini
digambarkan dalam kengerian orang lain yang menyaksikannya.
Warna-Warna
GAYONG: Hitam Bayang-bayang/Rahsia
- Merupakan sosiostatus manusia yang tidak membezakan ahli-ahli silat dari segi
warna kulit dan darjat. Hitam juga membawa konotasi rahsia iaitu ilmu Silat Seni
Gayong mempunyai pelbagai rahsianya (...rahsia tersimpan di purbakala,ilham
menyusun zahir semula.) Kuning
Beraja/berdaulat
- Silat Seni Gayong adalah seni mempertahankan diri warisan bangsa Melayu. Merah Berani/Kepahlawanan
- Setiap ahli dipupuk semangat berani menegakkan kebenaran dan mencegah
kemungkaran. Ahli Gayong juga bersemangatkan darah kepahlawanan. Petua
Langkah Gayong/Langkah Laksamana/Langkah Hang Tuah Lambang
Gayong
Lambang
Gayong diilhamkan oleh Allahyarham Dato' Meor Abdul
Rahman dan telah dilukis oleh Pendita Za'ba di Singapura. Lambang Gayong
asal terdiri daripada seekor naga sahaja. Pada lambang Gayong terdapat
perkara-perkara berikut: 1.
Bulan bintang di puncak dunia
- melambangkan agama Islam menjadi teras persilatan ini. 2.
Bejana air - ia berkaitan dengan falsafah Gayong yang intipatinya membawa erti
bersatu-padu dalam menegakkan yang hak. 3.
Naga -
ia sebagai simbol yang berkaitan dengan proses kelahiran Dato'
Meor Abdul Rahman. Naga yang melingkungi dunia yang kepalanya hampir
bercantum dengan ekornya itu melambangkan ilmu Silat Seni Gayong akan terkenal
di seluruh dunia. Lambang dua naga dicipta semasa hendak mendaftarkan Silat Seni
Gayong sebagai mengenang jasa-jasa Meor Abdul Aziz, kekanda Mahaguru Dato
Meor Abdul Rahman, mengembangkan Seni Gayong di negeri-negeri di
bahagian utara tanah air. PSSGWSM
menggunakan lambang dua naga sebagai logo pertubuhan. 4.
Keris bersilang - melambangkan Semangat Tuah dan Semangat Jebat. Pada zaman keagungan
Kesultanan Melayu Melaka, terdapat dua orang laksamana yang gagah berani iaitu
Hang Tuah dan Hang Jebat. Hang Jebat mati sewaktu menjadi Laksamana. Jawatan
Laksamana tidak diambil semula oleh Hang Tuah selepas kematian Hang Jebat. Keris
dalam lambang tersebut adalah keris Tamingsari yang pernah digunakan oleh dua
orang laksamana Melaka. 5.
Sundang - senjata yang melambangkan kepahlawanan. 6.
Selepang Kebesaran Gayong
- melambangkan Silat Seni Gayong adalah bersendikan adat. Tempat
Sejarah Gayong Terdapat
empat tempat sejarah Gayong seperti yang pernah dinyatakan oleh Allahyarham Dato'
Mahaguru, iaitu: 1.
Padang Antah Berantah di Beruas, Perak(tempat
terdirinya kerajaan Gangga Negara) 2.
Padang Sanai di Kedah(kawasan
Mahaguru dikhatamkan) 3.
Pulau Sudong di Singapura(tempat
bermulanya Gayong diperkenalkan semula) 4.
Sedili di Johor(tempat "pengakhiran Gayong") |
Sila hantar e-mel kepada webmaster
jika ada kemusykilan atau komen.
|