    
Koleksi
Sinar
|
MEWARNAI
LEMBARAN KEMERDEKAAN
GENAP 40 TAHUN. Malaysia kini berada di pintu
kematangan jika dipandang dari sudut kemerdekaannya daripada belenggu penjajahan.
Ribuan kesyukuran harus kita panjatkan kepada Allah di atas kurniaanNya
ini. Kemerdekaan ini bukanlah sesuatu yang murah. Kemerdekaan ini memerlukan
perjuangan. Dan perjuangan itu menagih pengorbanan yang berupa masa, harta
dan juga nyawa. Kemerdekaan ini dibeli oleh para pejuang dengan air mata
darah yang tumpah membasahi bumi Tanah Melayu demi untuk membebaskan anak
cucu mereka dari terus dibawah kekuasaan sistem jahiliyyah Barat. Kini
kita anak merdeka.
Kini, tugas kita ialah mengisi kemerdekaan yang telah
diperjuangkan selama ini. Ibarat lembaran-lembaran yang perlu diisi dengan
coretan-coretan emas, supaya sejarah yang bakal dirakamkan di dalamnya
merupakan sejarah yang gemilang dan menjadi kebanggaan. Namun terfikirkah
kita? Adakah lembaran-lembaran itu selama ini telah diisi dengan coretan-coretan
emas yang boleh dibanggakan atau hanya contengan-contengan arang yang mengotori?
Imbaslah kembali. Selaklah lembaran-lembaran itu dan bacakanlah di hadapan
hatimu yang dipimpini cahaya iman dan hidayah Illahi. Biarkan hatimu itu
menjadi panel hakim dalam menilai kejernihan sejarah yang termaktub di
dalam lembaran-lembaran tersebut. Jangan…Sekali kali jangan menilai lembaran
itu melalui kulit emas yang membalutinya. Perhatikan isinya.
Tidak dinafikan, selama 40 tahun sudah, kekosongan
kemerdekaan telah diisi dengan pelbagai bentuk pembangunan. Dari segi struktur
politik, ekonomi dan juga social. Malaysia berbangga dengan pembangunan
infrstruktur yang kian pesat. Malaysia tak mahu kalah dalam segala segi.
Dari yang "terpanjang" kepada "tertinggi". Daripada yang
"terbesar" dan bermacam-macam lagi. Melihat orang lain maju dalam
bidang teknologi, Malaysia tidak melepaskan peluang menyertainya seperti
penglibatan Malaysia dalam Multimedia Super Corridor. Melihat orang
lain maju dalam bidang hiburan, Malaysia berhempas pulas menyuburkan dunia
hiburannya yang kononnya berteraskan budaya timur. Begitulah reaksi Malaysia
yang baru berumur 40 tahun ini. Persis seorang pemuda yang menjangkau era
kedewasaannya yang bersemangat dan kaya dengan cita-cita. Kata orang; darah
orang muda. Kalau boleh, seluruh isi dunia ingin dinikmatinya.
Dalam keghairahannya menyaingi negara-negara Barat,
Malaysia lupa bahawa akar imannya masih rapuh. Ibarat akar sebuah pohon
yang belum kukuh. Kemajuan yang dicontohi dari Barat adalah umpama menilai
sebuah pohon dari buah dan dedaunnya. Kemudian, menyainginya dari sudut
yang begitu kabur ini. C.K. Prahalad dari Harvard Business Institute di
dalam tulisannya yang bertajuk "Core Competence of the Corporation",
mengatakan bahawa sesuatu organisasi itu adalah umpama sepohon pokok. Kebolehan
tersendiri atau Core Competence setiap organisasi adalah akar pokok tersebut.
Manakala produk atau hasil pencapaiannya merupakan dedaun pokok. Oleh itu
menurutnya, kita perlu menumpukan saingan pada memantapkan kebolehan tersendiri
kita daripada membuang masa, tenaga dan juga pendirian kita dalam bersaing
di sudut hasil pencapaiannya.
Dalam konteks pembangunan yang di Malaysia, jelas
pada kita bahawa pemegang amanah pemerintahan lebih menumpukan saingan
pada hasil pencapaian negara-negara maju seperti US, Britain dan lain-lain
lagi tanpa menitik beratkan akar tunjang pendirian kita sebagai negara
umat Islam dan negara orang Timur. Akibatnya, kita bukan sahaja gagal dalam
ertikata yang sebenarnya dalam saingan ini malah mengulangi sejarah hitam
negara-negara Barat dalam mengejar kemajuan yang tidak mempunyai akar tunjang
yang bersih dan kukuh.
Akar tunjang yang dimaksudkan di sini ialah keimanan
dan ketaqwaan kepada Allah. Lihat sahaja benih-benih muda yang telah kita
semai selama 40 tahun yang sudah. Serba serbinya maju. Maju dalam ekonomi,
maju dalam teknologi. maju dalam berpakaian, maju dalam pergaulan, dan
maju dalam hiburan. Malangnya mereka mundur dari segi akhlak. Umpama pohon
yang cantik buah dan lebat dedaunnya tapi akarnya telah diserang anai-anai
tanpa kita sedari. Ia hanya menunggu masa untuk tumbah bila ribut menerjah
datang.
Lihatlah anak-anak merdeka yang telah kita lahirkan.
Leka dengan konsert-konsert yang kononnya mencerminkan kemajuan Malaysia
dalam industri muzik. Kerana tidak mahu dikatakan ketinggalan zaman dalam
dunia perfileman, anak-anak merdeka ini tidak segan silu menerbitkan filem-filem
ganas dan berunsur lucah. Kerana tidak mahu dikatakan jumud, tubuh badan
diperagakan supaya namanya harum sebagai ratu cantik dunia dan NERAKA.
Kerana tidak mahu dikatakan orthodox, pandangan ulama diperlecehkan dan
Islam ditafsirkan se"sederhana" yang mungkin.
Bukanlah kita menolak pembangunan, kerana Islam menuntut
kemewahan. Kemunduran dan kesengsaraan boleh menyebabkan pemindahan rasa
kehambaan pada Allah kepada kehambaan pada manusia, atau dalam ertikata
lain; penjajahan. Akan tetapi biarlah kemajuan yang ingin dikejari tumbuh
dari akar yang kukuh dan mampan. Biarlah, lantai keimanan mendasari setiap
pembangunan. Biarlah kebudayaan Timur menyuburi kemajuan.
Selaklah semula lembaran-lembaran sejarah kemerdekaan
kita. Dan adililah ia dengan ilmu yang ada dan dengan iman di dada. Yang
sudah termaktub biarkanlah ia. Usahlah contengan-contengan arang diwarnakan
dengan warna-warna pelangi. Tempalah sejarah baru. Sejarah yang bakal ditempa
dengan dasar iman dan taqwa. Supaya anak-anak merdeka yang bakal lahir
nanti, akan tersenyum bangga dengan coretan-coretan emas yang mewarnai
lembaran-lembaran kemerdekaan. Bukankah itu yang kita mahukan?
|