Melayu terima konsep globalisasi sejak abad ke-14
Laporan Tuan Nazuri Tuan Ismail
KUALA LUMPUR, Selasa: Masyarakat Melayu
sudah mula menerima konsep globalisasi atau dunia tanpa sempadan sejak abad ke-14 lagi, kata bekas Timbalan Naib Canselor
(Akademik) Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Osman Bakar.
Beliau yang kini Penyandang Kerusi Malaysia di Universiti
Georgetown, Washington, Amerika Syarikat, berkata ini kerana pemikiran tradisional Melayu pada zaman sejarah, iaitu dari abad
ke-14 hingga ke-16, dibentuk dan dipengaruhi idea dan institusi Islam.
Malah, idea tertentu berkaitan konsep globalisasi
seperti yang difahami ketika ini, sudah sebati dengan dunia tradisional Melayu lama sebelum kemasukan kuasa kolonial Barat
ke wilayah Nusantara. Ini termasuk dalam sektor perdagangan, yang menjadi ciri utama globalisasi.
Beliau berkata, masyarakat
tradisional Melayu secara tabii memang bersikap toleransi dan terbuka terhadap idea dari budaya lain.
Dengan kedatangan
Islam, pemahaman serta sanjungan terhadap globalisasi menjadi lebih halus, katanya dalam kertas kerja bertajuk Fikiran Tradisional
Melayu dan Globalisasi pada hari pertama Persidangan Antarabangsa Peradaban Melayu Pertama di sini, hari ini.
Persidangan
tiga hari itu yang dianjurkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), disertai kira-kira 100 peserta.
Osman berkata,
karya kesusasteraan tradisional Melayu mengenai pelbagai judul, seperti ilmu keagamaan, kosmologi, undang-undang dan politik
jelas menggambarkan transformasi intelektual yang penting dan menunjukkan pandangan global di kalangan orang Melayu.
Pada
peringkat institusi Islam, katanya, mengerjakan haji menjadi landasan utama dalam globalisasi bagi umat Islam.
Ulama
Melayu sangat maklum mengenai wacana intelektual dan keagamaan yang bersifat sejagat dan semasa di kalangan orang Islam.
Di
samping itu, kedudukan penting perdagangan antarabangsa dalam kawasan orang Melayu ketika itu adalah disebabkan kedudukan
strategik Selat Melaka sebagai pusat pertemuan Timur dan Barat, katanya.
Osman berkata, kemunculan Melaka sebagai negara
bandar yang global dan pusat perdagangan bebas dunia membantu menyemarakkan lagi pandangan global orang Melayu.
|