Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durrah an-Nafisah bahasan tasawuf, guna bahasa beradab
Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah
Kitab dipercayai dikarang Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari
SEBUAH kitab tasawuf peringkat
tinggi yang cukup terkenal di dunia Melayu yang banyak kali dicetak adalah Ad-Durr an-Nafis karya Syeikh Muhammad
Nafis bin Husein al-Banjari. Kitab ini ditulis pada 1200 hijrah/1785 masihi dan dicetak pertama kalinya seratus tahun kemudian
iaitu pada 1300 hijrah/1882.
Cetakan pertama ditashhih oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Kitab yang saya perkenalkan
dalam artikel ini bukan Ad-Durr an-Nafis, tetapi Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan Wahdah fi al-Af'al wa al-Asma'
wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah yang ditulis kira-kira 39 tahun selepas Ad-Durr an-Nafis.
Tarikh
tepat penulisan mulai waktu Dhuha, Jumaat, 15 Rabiulakhir 1239/19 Disember 1823. Ia selesai ditulis pada tengah malam Isnin,
9 Muharam 1240/3 September 1824.
Kitab ini belum pernah diterbitkan dalam bahan cetakan. Manuskrip yang ada hanya
sebuah dan ada dalam simpanan saya.
Sungguhpun tidak ada nama pengarang, dapat diduga ia adalah karangan Syeikh Muhammad
Nafis al-Banjari. Ia adlah syarah kitab beliau yang berjudul Ad-Durr an-Nafis. Jadi, manuskrip yang sekarang menjadi
koleksi peribadi saya adalah asli tulisan tangan Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari.
Sebelum memasuki kandungan Ad-Durrah
an-Nafisah, sebagai mukadimah Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari memperkenalkan dua karya ringkas mengenai tasawuf.
Sebuah 18 muka dan satu lagi 14 halaman. Kedua-duanya tanpa judul. Sebuah tanpa tahun dan sebuah lagi selesai penulisan pada
malam, 30 Jamadilawal 1235/16 Januari 1820.
Pada mukadimah risalah yang pertama, Syeikh Muhammad Nafis bin Husein
al-Banjari menyebut mengenai ‘diri’ ada empat jenis.
Kata beliau: “Pertama, diri yang berdiri, iaitu
diri jasad atau tubuh badan. Kedua: diri yang terperi. Ketiga, diri yang nyata pada ilmu Allah. Keempat, diri yang sebenar-benar
diri.”
Keempat-empat ‘diri’ dihuraikan dengan agak panjang menurut kaedah dalam ilmu tasawuf.
Kedua-dua
risalah yang dianggap sebagai mukadimah Ad-Durrah an-Nafisah, saya tinggalkan dan langsung saja kepada manuskrip
yang sedang diperkenalkan.
Syeikh Muhammad Nafis bin Husein al-Banjari memulakan bicara dengan katanya: “Aku
memulai akan risalah ini pada hijrah Nabi SAW seribu dua ratus tiga puluh sembilan tahun, pada tahun Alif, pada lima belas
hari bulan Rabiulakhir, yaum al-Jum’ah, waktu Dhuha, jam pukul dulapan (maksudnya: Jumaat, jam 8 pada 15 Rabiulakhir
1239 pen:)”
Sebab beliau menulis kitab itu juga dinyatakan dalam mukadimah pada halaman berikutnya. Kata beliau:
“Kemudian daripada itu, maka tatkala adalah tahun seribu dua ratus tiga puluh lima tahun, daripada tahun hijrah, pada
hari yang ketiga puluh cukup, daripada bulan Jamadilawal, (maksudnya: pada 30 Jamadilawal 1235, pen:).”
Selanjutnya
beliau jelaskan: “Sanya memintalah kepadaku setengah daripada saudaraku yang telah dibukakan [oleh] Allah hatiku dan
hatinya dengan cahaya terang musyahadah, yakni cahaya terang memandang dan mengenal.” Beliau jelaskan selanjutnya: "Bahawa
itu aku perbuatkan baginya akan suatu risalah yang simpan (maksudnya: yang ringkas) perkataannya dengan bahasa Jawi-Melayu
yang lemah lembut...”
Barangkali oleh kerana kandungan keseluruhan Ad-Durrah an-Nafisah adalah tasawuf
peringkat tinggi, maka diperlukan bahasa yang beradab. Itulah yang dimaksudkannya dengan ‘bahasa Jawi-Melayu yang lemah
lembut’ bukan bahasa Melayu yang kasar, yang tiada beradab atau tiada berakhlak atau boleh juga dikatakan tiada berbudi
bahasa.
Sebelum memasuki bahasan tasawuf, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari terlebih dulu membicarakan mazhab dalam
akidah. Megenai perkara ini ada yang beliau bicarakan dalam Ad-Durr an-Nafis. Tetapi, selepas dibanding ternyata
dalam manuskrip Ad-Durrah an-Nafisah penambahan dan bahasan jauh lebih banyak serta perbicaraan jauh lebih luas dan
mendalam.
Mengenai dua mazhab iaitu Qadariyah dan Jabariyah tidak banyak tambahan, tetapi mengenai mazhab Ahli Sunnah
Wal Jamaah dalam Ad-Durrah an-Nafisah ada tambahan yang sangat banyak.
Dalil mengenai mazhab Ahli Sunnah
Wal Jamaah, beliau jelaskan ketika turun ayat al-Quran mengenai ‘kaum yang kasih kepada Allah’ salah seorang sahabat
bertanya kepada Rasulullah. Nabi menjawab dan menunjuk sahabat Baginda, Abu Musa al-Asy'ari. Manakala muncul keturunan beliau,
iaitu Imam Abu Hasan al-Asy'ari, maka sepakatlah ulama bahawa Imam Abu Hasan al-Asy'ari R.A adalah ‘imam’ mazhab
Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari menyebut pula, ‘mazhab yang berpegang kepada iktikad
Imam al-Asy'ari ini, iaitu Imam Malik ibnu Anas dan Imam Muhammad anak Idris Syafie. Maka, mazhab Imam Abu Hanifah ibnu Tsabit
dan Imam Ahmad ibnu Hanbal itu adalah mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang pada iktikad itu, iaitu Imam Abu Manshur Maturidi.’
Selepas membicarakan tiga mazhab di atas, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari membahas pula mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah
golongan Ahl al-Kasyaf dan Musyahadah.
Walaupun karya Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari judul Ad-Durr an-Nafis
yang pernah dicetak berlaku kontroversi dengan beberapa tokoh ahli zahir, namun bagi saya Ad-Durrah an-Nafisah yang
juga syarah Ad-Durr an-Nafis mesti diperkenalkan. Kedua-dua kandungan kitab itu tidak salah menurut ulama ahli sufi.
- dipetik dari Berita Harian, Selasa 27hb. Disember. 2005.
|