naungan_nur_wahyu
Ensiklopedia Nusantara: Kitab Syeikh Daud kupas fiqh mazhab Syafie
Home
Ma'arij al-Lahfan Hujah Tariqah Naqshabandi
Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durrah an-Nafisah Bahasan Tasawuf, Guna Bahasa Beradab
Ensiklopedia Nusantara: Penulis kitab Taj as-Salathin Masih Diragui
Ensiklopedia Nusantara: Tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin Pedoman Ilmu Falak Melayu
Ensiklopedia Nusantara: Tabligh al-Amanat Pencatat Polemik Tarikat di Minangkabau
Ensiklopedia Nusantara: Jam'u al-Fawaid Kupas Kelebihan Dalam Bulan Islam
Ensiklopedia Nusantara: Kitab Syeikh Daud kupas fiqh mazhab Syafie
Ensiklopedia Nusantara: Bidayah al-Hidayah banyak petik tulisan al-Ghazali
Ensiklopedia Nusantara: At-Tauhidiyah Bicara Ilmu Akidah
Artikel John Voll
Karya Prof. Emeritus Osman Bakar
Dialog Peradaban
Koleksi Artikel Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah
Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durr al-Mantsur Bukti Tok Kenali Pernah Menulis Kitab Terjemahan Arab
Koleksi Artikel Mohd Zaidi Abdullah
Kertas Kerja Hari Pondok Se-Malaysia 1
maklumat lanjut Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi
Bacaan Pilihan Dari Pelbagai Jurus Pandang
Categories
Globalisasi Dan Pemikiran Islam Silam
The West's Perception Towards Islam After Sept 11 by Prof. Osman Bakar
al-Ghazali and Aesthetics
Bruno Guiderdoni In Interview
The Exploration of the Cosmos : an endless Quest ? by : Bruno Guiderdoni
Paparan Sejarah Islam: Abad Ke-11 Hingga Abad Ke-15 H

Enter subhead content here

Ensiklopedia Nusantara: Kitab Syeikh Daud kupas fiqh mazhab Syafie


SYEIKH Daud Abdullah al-Fathani ialah ulama dunia Melayu yang paling banyak menghasilkan karya kitab dalam pelbagai disiplin ilmu. Pada kesempatan ini diperkenalkan karya beliau yang berjudul Bughyah ath-Thullab li Murid Ma'rifah al-Ahkam bi ash-Shawab, tanpa tarikh.
 
Kitab ini mengandungi dua jilid. Syeikh Daud memulakan karyanya dengan mukadimah. Antara kalimat beliau: "Bahawasanya beberapa nafsu (diri) yang cerdik yang menuntut bagi beberapa martabat yang tinggi sentiasa perangainya itu di dalam menghasilkan beberapa ilmu syarak. Dan setengah daripadanya mengetahui akan furu’ ilmu fiqh. Kerana bahawasanya dengan dia menolakkan akan wiswas yang syathaniyah. Dan mengesahkan akan jual beli dan segala ibadat yang diredakan..."

Masih dalam mukadimah, Syeikh Daud memperkenalkan pelbagai hadis mengenai ilmu pengetahuan. Selepas itu, memperkenalkan riwayat ringkas Imam al-Syafie. Kandungan keseluruhan Bughyah ath-Thullab adalah membicarakan fiqh bahagian ibadat dalam mazhab Syafie.

Pada kitab ini pengarang menggunakan nama lengkap Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathani. Beliau menulis: "Bahawa menghimpunkan beberapa masalah yang sedikit daripada Abwab al-Fiqh, daripada Kitab at-Thaharah hingga akhir Kitab al-Ummuhat, daripada kitab yang muktamad yang difatwakan."

Disebutkan pula kitab yang dirujuk adalah Minhaj dan sekalian syarahnya seperti Tuhfah oleh Syeikh Ahmad bin Hajar, Nihayah oleh asy-Syamsu ar-Ramli, Mughni (Khathib Syarbaini, Syarh Damiri, Fath al-Wahhab dan syarahnya) dan Syarh Tahrir (Syeikh al-Islam Zakaria al-Anshari.

Antara kitab Melayu/Jawi yang dirujuk adalah Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah, 1310 Hijrah. Dicatat pada halaman depan bahawa kitab ini dijual oleh Syeikh 'Abdullah Baz dan Syeikh Ahmad Baz, Babus Salam, Makkah. Dicetak di bahagian tepi Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin, juga karya Syeikh Daud.

Ada juga cetakan Rabiulakhir 1321 Hijrah oleh percetakan yang sama. Keterangan pada halaman depan sama cetakan yang pertama. Dicetak pula oleh percetakan yang sama tahun 1328 Hijrah dinyatakan sebagai cetakan yang ketiga.

Keterangan pada halaman depan diubah, dinyatakan bahawa ditashihkan dengan amat cermat dengan merujuk kepada naskhah tulisan pengarangnya sendiri. Dinyatakan bahawa barang siapa berkehendak kepada karangan Syeikh Daud boleh membeli di kedai Syeikh Muhammad Nur Daud al-Fathani di Qasyasyiah.

Pada cetakan ini juga didaftar hak mencetak adalah milik ahli waris. Tercatat pada halaman depan bahawa hak mencetak milik ahli waris dengan daftar pada peraturan Majlis Idarah al-Wilayah, tarikh 15 Mac 1326 nombor 8. Nama ahli waris yang terdaftar ialah Syeikh Muhammad Daud al-Fathani. Cetakan ini atas usaha Syeikh Abdullah Daud dan Syeikh Muhammad Nur Daud, kedua-duanya anak Syeikh Muhammad Daud al-Fathani (maksudnya Syeikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani). Dipercayai ditashhih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, ada kalimat tashhih daripada beliau, tetapi namanya tidak termaktub pada cetakan.

Bughyah ath-Thullab termasuk kitab besar, tebal 538 halaman dengan ukuran 27 x 18.6 sentimeter.

Kemungkinan Nahju ar-Raghibin wa Subul at-Muttaqin, jilid 1, yang dicetak pada bahagian tepi itu adalah lanjutan Bughyah ath-Thullab.

Dalam manuskrip dicatat bahawa mulai menulis Nahju ar-Raghibin tahun 1226 Hijrah (jilid 1) dan selesai pada Isnin, 6 Jamadilakhir 1232. Jilid kedua selesai pada Jumaat, waktu Asar, Jamadilakhir 1234.

Catatan tarikh ini dan Nahju ar-Raghibin jilid 2 tidak ada dalam semua cetakan. Kandungan membicarakan hukum dan cara perniagaan dalam Islam.

Selain Bughyah ath-Thullab, ada sebuah lagi kitab karya Syeikh Daud berjudul Perhubungan Bughyah ath-Thullab. Nama judul diberikan berdasarkan pada halaman terakhir. Satu setengah halaman sebelum memasuki kitab ini ada risalah mengenai zakat yang dinyatakan sebagai petikan daripada kitab Syeikh Daud juga.

Kitab ini tidak pernah dicetak, hanya ditemui dalam bentuk manuskrip, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Kandungan membicarakan fiqh mengenai penyembelihan, binatang yang halal dimakan dan sekali gus menyenaraikan pelbagai binatang yang haram dimakan.

Antara salinan yang ditemui, lengkap dan baik adalah salinan Mahmud Muhammad Yusuf Terengganu dan Syeikh Abdul Mubin al-Fathani di Beserah, Kuantan, Pahang. Salinan oleh Mahmud Muhammad Yusuf, Terengganu diselesaikan pada Ahad, 5 Rabiulakhir 1277, tempat melakukan penyalinan di Makkah al-Musyarrafah.

Enter supporting content here