Ensiklopedia Nusantara: Bidayah al-Hidayah banyak petik tulisan al-Ghazali
Oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah
RAMAI berpendapat bahawa kitab Bidayah al-Hidayah dalam bahasa Melayu adalah Hidayah as-Salikin oleh Syeikh
'Abdus Samad al-Falimbani. Karya Syeikh 'Abdus Samad al-Falimbani yang tersebar sangat luas itu disebut Bidayah al-Hidayah
Melayu yang pertama.
Kitab yang diberi judul Tarjamah Kitab ash-Shalihin karya Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbas al-Maduri (Madura)
hanya ditemui sebuah manuskrip, belum ditemui berupa cetakan.
Karya ulama Madura ini disebut Bidayah al-Hidayah Melayu
yang kedua. Hal ini kerana beberapa faktor, antaranya sangat banyak petikan daripada Bidayah al-Hidayah karya Imam al-Ghazali.
Ia sama juga dengan Hidayah as-Salikin oleh Syeikh 'Abdus Samad al-Falimbani, yang petikan asas adalah karangan Imam al-Ghazali
walaupun banyak lagi kitab lain yang dirujuk.
Tarjamah Kitab ash-Shalihin diselesaikan oleh Syeikh 'Abdul Ghafur bin
'Abbas al-Maduri pada 1200 Hijrah/1785 Masihi, tahun yang sama dengan penulisan Ad-Durr an-Nafis oleh Syeikh Muhammad Nafis
al- Banjari. Hal ini bererti kedua-dua kitab itu lebih kurang tujuh tahun terkemudian daripada Hidayah as-Salikin.
Perlu
disimpulkan bahawa ketiga-tiga ulama itu hidup sezaman dan seperguruan di Makkah. Manuskrip Tarjamah Kitab ash-Shalihin yang
dijumpai tidak lengkap, hanya 220 halaman. Muka sebenar belum diketahui kerana beberapa halaman bahagian akhir tidak dijumpai.
Ukuran manuskrip 19 kali 15.8 sentimeter. Purata 17 baris setiap halaman.
Kandungan, pada mukadimah pengarangnya menulis:
"Ada pun kemudian daripada itu, lagi akan berkata faqir yang berkehendak kepada rahmat-Nya yang kuasa, iaitu asy-Syeikh 'Abdul
Ghafur yang 'Abbasi, Mandura nama asal negerinya, dan Syafi'ie mazhabnya, dan Khalwati thariqatnya, dan asy-Syeikh Samman
itu syeikhnya dan gurunya. Tatkala adalah hijrah an-Nabi SAW genap seribu dua ratus (1200 H/1785 M), dan kelebihan akan zaman
telah berubah, dan segala manusia daripada jalan yang benar telah berpaling membelakangkan dia. Ertinya seperti firman, "Telah
nyatalah kebinasaan dalam daratan dan lautan dengan suatu yang diperbuat akan dia oleh segala tangan manusia.?br> Daripada
mukadimah itu disimpulkan bahawa mazhab Syafiie, Thariqat Khalwatiyah dan gurunya bernama Syeikh Muhammad Samman tiada bezanya
dengan pengakuan Syeikh 'Abdus Samad dan Syeikh Muhammad Nafis. Perbezaan hanya nama negeri asal saja iaitu Palembang, Banjar
dan Madura.
Selanjutnya Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbas al-Maduri menulis: "Tergeraklah bagiku khathir, bahawa hendak
ku terjemahkan kitab yang bernama sh-Shalihin?.. iaitu karangan asy-syeikh yang alim, lagi banyak ilmunya, yang mentahqiqkan
segala masalah, lagi halus pada fahamnya, lagi 'arif dengan Allah Ta'ala, iaitu asy-Syeikh 'Abdullah yang anak asy-Syeikh
'Abdul 'Aziz. Memberi manfaat kiranya akan kami oleh Allah dengan dia dan dengan segala ilmunya dan segala Muslimin." Sesudah
mukadimah langsung membicarakan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Kemudian dilanjutkan dengan Fasal Pada Menyatakan Kelebihan
Orang Alim Dan Kelebihan Orang Yang Menuntut Ilmu.
Mengenai fasal ini dimulakan dengan hadis riwayat Saidina Ali tertulis:
"Bahawasanya dia berkata, "Telahku dengar Rasulullah "... ertinya: "Bermula menilik kepada muka orang yang alim itu menjadi
ibadat, dan menjadi cahaya pada badan dan menjadi cahaya dalam hati."
Fasal yang paling panjang dibicarakan oleh Syeikh
'Abdul Ghafur bin 'Abbasi Madura adalah mengenai sembahyang yang disentuh pelbagai aspek. Fasal yang berikutnya diberi judul
Fasal Pada Menyatakan Puasa. Mengenai ini nampaknya hanya sebagai pelengkap saja, huraian yang diberikan sangat singkat, tidak
seperti mengenai sembahyang.
Diikuti Fasal Pada Menyatakan Zakat. Huraian mengenai zakat lebih panjang daripada huraian
mengenai puasa. Sebagai penutup huraian zakat Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbasi Madura menegaskan: "Syahdan wajib menunaikan
zakat dengan bersegera apabila diperoleh dengan dia, seperti ada harta hadir atau sudah kering buah-buahannya daripada dapat
dia atau lainnya..."
Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbasi Madura juga memandang penting adab golongan perempuan, maka
sesudah Fasal Pada Menyatakan Zakat diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Segala Perempuan Dan Bersama-sama Dengan Dia. Sesudahnya
diikuti dengan Fasal Pada Menyatakan Adab/Sopan Santun Serta IbuBapa. Termasuk bahagian terpenting Tarjamah Kitab ash-Shalihin
ialah membicarakan perkara maksiat zahir dan maksiat batin. Sesudah itu dilanjutkan Fasal Pada Menyatakan Hukum Zina.
Pada
fasal ini terjadi penggabungan pentafsiran ayat al-Quran, hukum fiqh Syafi'iyah dan hadis targhib (kabar gembira) dan hadis
tarhib (kabar takut). Syeikh 'Abdul Ghafur bin 'Abbasi Madura memulakan perkara ini dengan katanya: "Ketahui olehmu bahawa
zina itu, iaitu dosa besar, tiada di bawah kufur dan menyekutui Allah daripada dosa yang terlebih besar daripada zina. Hingga
direjam yang berbuat dia ..." Fasal mengenai ini sekali gus disentuh juga mengenai ancaman memakan harta riba dan zalim tidak
menjalankan hukum menurut yang sebenar yang diperintah oleh Allah.
-- dipetik dari Berita Harian, 9. Ogos. 2005
|