Ensiklopedia Nusantara: At-Tauhidiyah bicara ilmu akidah
Bersama Wan Mohd Shaghir Abdullah
AR-RISALAH At-Tauhidiyah adalah antara risalah yang ditulis atas titah perintah Sultan Johor, Sultan Abu
Bakar. Risalah ini adalah terjemahan bahasa Arab yang berjudul Al-'Uqudud Durriyah.
Nama pengarang dalam bahasa Arab ialah Syeikh Hamzah Fathullah. Ulama ini seorang pemeriksa sekolah Arab
di Mesir. Nama penterjemah dari bahasa Arab ke bahasa Melayu adalah Datuk 'Abdullah bin 'Abdur Rahman Muar. 'Abdullah menjalankan
perintah dengan memproses risalah dalam bahasa Arab itu dalam dua bentuk.
Pertama, terjemahan matan dan kedua, menulis
syarahnya. Baik terjemahan mahupun syarah, kedua-duanya ditulis dalam bahasa Melayu.
Tarikh selesai terjemahan matan,
1 Jamadilakhir 1325. Cetakan keenam, Muhammadiah Press, Parit Jamil, Muar, 1360 Hijrah/1941. Ia diterbitkan dengan persetujuan
Jabatan Agama Johor (JAJ) dalam persidangan Jawatan Penasihat Agama Bagi Kanak-Kanak Dalam Sekolah-Sekolah Kerajaan Johor.
Ada pun syarah risalah di atas diberi judul lengkap "Syarh ar-Risalah at-Tauhidiyah", diselesaikan pada 1345 Hijrah.
Pada
kata pengantar cetakan dinyatakan selesai penulisan di Johor Bahru, 2 April 1932. Cetakan keenam, juga oleh Muhammadiah Press,
Parit Jamil, Muar, 1355 Hijrah/1937. Ia juga diterbitkan dengan persetujuan JAJ dalam persidangan Jawatan Penasihat Pelajaran
Agama pada 26 Oktober 1929.
Kandungan matan, pada pendahuluan dicatatkan: "Dan lagi inilah satu daripada beberapa risalah
dan kitab-kitab pelajaran yang dibawa balik ke Johor oleh Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Johor,iaitu pada masa
Al-Marhum itu melawat negeri Mesir di dalam bulan Mac tahun 1893 (Masihi).”
Kandungan keseluruhannya mengenai
tauhid, akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, mengikut mazhab Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi yang
menjadi pegangan jumhur ulama di seluruh dunia Islam sejak dulu hingga sekarang. Kandungan dalam syarah memberi keterangan
yang lebih luas daripada kandungan matan. Pada kata pendahuluan cetakan pertama, 1325 Hijrah, ‘Abdullah (penterjemah
dan penyarah) mencatat: “Syahdan sebab indah aturan dan mudah mempelajari akan dia oleh sekalian kanak-kanak, dan manfaat
bagi orang muda, telah menyuruh akan daku oleh guruku hadrat al-Fadhil as-Saiyid ‘Abdul Qadir bin Muhsin al-‘Attas,
Naib Mufti Johor, menyalin risalah ini ke bahasa Melayu.”
Pada kata pengantar cetakan di atas dinyatakan: “Bahawa
adalah terjemahan matan bagi ar-Risalah at-Tauhidiyah bagaimana yang dinyatakan dalam pendahuluan bagi cap yang pertama tahun
1325 Hijrah itu, kemudian daripada difikirkan yang risalah ini munasabah disyarahkan bagi penggunaan orang Islam yang ramai
dalam bahagian permulaan pada perkara iktiqadnya, maka saya mula menyusun syarahnya dalam dalam tahun 1345 (Hijrah) dengan
diletakkan nombor yang menunjukkan antara matan dan syarah.”
Selain kandungan utama mengenai akidah atau pelajaran
ilmu tauhid, ada lagi tambahan 23 halaman lampiran yang berjudul Makna Ayat Dan Hadis Yang Terkandung Dalam Kitab Syarh ar-Risalah
at-Tauhidiyah. Ia dikeluarkan JAJ, cetakan Muhammadiah Press, Parit Jamil, Muar, 1355 Hijrah/1937.
Biografi Abdullah
yang berasal dari Muar yang karyanya dibicarakan di atas patut dikaji dan dicontohi. Hal ini kerana beberapa karya beliau
pada satu ketika dulu, pernah digunakan di sekolah agama Islam di Johor.
Daripada data risalah yang dibicarakan di
atas, dapat diambil beberapa kesimpulan bahawa ‘Abdullah termasuk salah seorang murid Saiyid 'Abdul Qadir bin Muhsin
al-'Attas, Naib Mufti Johor (ketika penulisan risalah) dan selanjutnya pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor.
Maklumat
yang dikumpulkan, bahawa ‘Abdullah juga murid Kadi Abu Bakar bin Hasan al-Muari, ulama besar Johor yang banyak menghasilkan
karangan. Sangat menarik juga, asal risalah yang diterjemahkan 'Abdullah adalah naskhah yang dibawa oleh Sultan Abu Bakar,
sewaktu baginda pulang dari Mesir.
Dengan maklumat ini bererti Sultan Abu Bakar juga mengambil perhatian terhadap
ilmu pengetahuan Islam iaitu ilmu tauhid atau akidah iaitu ilmu paling asas bagi umat Islam pada semua zaman.
Karya
lain 'Abdullah bin 'Abdur Rahman Muar termasuk Permulaan Adab, ditulis di Bandar Maharani Muar, 15 Rabiulawal 1329 serta Islam
dan Tamaddun, ditulis di Johor Bahru, malam Khamis, 16 Jamadilakhir 1342 /23 Januari 1924.
Permulaan Kira, juzuk yang
pertama (manuskrip); Makna Hidup, mengenai ilmu kemasyarakatan dan al-Quranul Karim wad Din, yang mengandungi beberapa juzuk.
Sebahagian
besar karya ‘Abdullah dicetak Muhammadiah Press. Daripada maklumat ini, patut pula kaji kerana Parit Jamil walaupun
hanya kampung, namun pada zaman dulu pernah ada sebuah percetakan yang aktif mencetak pelbagai karya ilmiah.
- dipetik daripada Berita Harian, Selasa, 19, Julai. 2005
|