naungan_nur_wahyu
Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durr al-Mantsur Bukti Tok Kenali Pernah Menulis Kitab Terjemahan Arab
Home
Ma'arij al-Lahfan Hujah Tariqah Naqshabandi
Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durrah an-Nafisah Bahasan Tasawuf, Guna Bahasa Beradab
Ensiklopedia Nusantara: Penulis kitab Taj as-Salathin Masih Diragui
Ensiklopedia Nusantara: Tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin Pedoman Ilmu Falak Melayu
Ensiklopedia Nusantara: Tabligh al-Amanat Pencatat Polemik Tarikat di Minangkabau
Ensiklopedia Nusantara: Jam'u al-Fawaid Kupas Kelebihan Dalam Bulan Islam
Ensiklopedia Nusantara: Kitab Syeikh Daud kupas fiqh mazhab Syafie
Ensiklopedia Nusantara: Bidayah al-Hidayah banyak petik tulisan al-Ghazali
Ensiklopedia Nusantara: At-Tauhidiyah Bicara Ilmu Akidah
Artikel John Voll
Karya Prof. Emeritus Osman Bakar
Dialog Peradaban
Koleksi Artikel Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah
Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durr al-Mantsur Bukti Tok Kenali Pernah Menulis Kitab Terjemahan Arab
Koleksi Artikel Mohd Zaidi Abdullah
Kertas Kerja Hari Pondok Se-Malaysia 1
maklumat lanjut Nafas Baru Hikmah al-Isyraqi
Bacaan Pilihan Dari Pelbagai Jurus Pandang
Categories
Globalisasi Dan Pemikiran Islam Silam
The West's Perception Towards Islam After Sept 11 by Prof. Osman Bakar
al-Ghazali and Aesthetics
Bruno Guiderdoni In Interview
The Exploration of the Cosmos : an endless Quest ? by : Bruno Guiderdoni
Paparan Sejarah Islam: Abad Ke-11 Hingga Abad Ke-15 H

Enter subhead content here

Ensiklopedia Nusantara: Ad-Durr al-Mantsur bukti Tok Kenali pernah menulis kitab terjemahan Arab


TOK Kenali dari Kelantan adalah nama paling terkenal dalam dunia pengajian Islam di Malaysia. Beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Namun, tidak kurang pula orang menyesali kerana mereka beranggapan Tok Kenali tidak menghasilkan penulisan. Anggapan demikian adalah penilaian yang keliru.
 
Justeru, Ensiklopedia Nusantara kali ini memperkenalkan sebuah karya nadir yang dihasilkan oleh Tok Kenali yang judul lengkapnya Ad-Durr al-Mantsur Pada Menyatakan Burdah Yang Masyhur.

Nama lengkap penterjemah pada halaman bahagian depan adalah Syeikh Yusuf Ahmad Kalantani. Nama Yusuf Ahmad Kalantani, itulah nama Tok Kenali sebenar yang digunakan pada setiap karangan beliau.

Ad-Durr al-Mantsur selesai penulisannya di Makkah, pada Jamadilakhir 1310 Hijrah/Disember 1892. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh 'Abdullah Mujallid, Makkah, Jamadilakhir 1310 Hijrah. Hanya sebuah kitab ini saya peroleh iaitu di Ketapang, Kalimantan Barat, Indonesia. Hingga tulisan ini, belum diketahui naskhah selainnya.

Kandungannya adalah terjemahan dan penjelasan fadilat Burdah al-Bushiri. Kandungan terjemahan puisi Burdah al-Bushiri yang lengkap lafaz Arabnya diletakkan pada bahagian dalam dan huraian diletakkan pada bahagian tepi kitab.

Pada mukadimah (bahagian tepi) Tok Kenali menulis: "Maka berkata hamba yang hina, tatkala adalah beberapa qasidah pada hak Nabi kita Muhammad SAW itu, banyak dan sabitlah bagi setengahnya itu beberapa faedah dan beberapa kelebihan dan beberapa khasiat. Aku tentukan sebagai tentu Qasidah Burdah yang masyhur dalam sekalian negeri yang sabit antara Masyriq (Timur) dan Maghrib (Barat) yang dinazamkan dia bagi Imam Bushiri dan Qasidah Madhriyah yang melengkapi bagi sekalian Shalawat Dalail yang mula baginya pula. Dan sabitlah baginya pula beberapa kelebihan yang banyak telah membilang akan dia oleh Abu Sa'id Muhammad al-Khadimi di dalam syarahnya atas hingga sampai ia lima puluh tiga...”

Oleh sebab qasidah, nazam, syair dan sejenisnya, termasuk dalam bidang kesusasteraan dan kesenian Islam yang bersepadu dengan amalan sesuatu thariqah shufiyah, dapat disimpulkan bahawa Tok Kenali adalah penggemar amalan tradisi yang diamalkan beberapa ulama seperti yang disebut di atas.

Selain qasidah, Tok Kenali dalam terjemahannya itu menyebut Qasidah Maimunah karya Imam Abu Hanifah. Tok Kenali menulis selanjutnya: “... kemudian berkata seorang, yang mengarang akan ini kitab dengan bahasa Arab, yang hamba terjemahkan dia dengan bahasa Jawi. Telah memintalah daripadaku oleh sesetengah daripada sekalian orang yang rindukan Rasulullah SAW akan bahawa aku himpunkan sekalian qahidah ...” Hingga kalimat ini, naskhah itu tidak dapat dibaca kerana koyak pada bahagian bawah (halaman pertama dan halaman 2).

Selain halaman pertama dan dua, semuanya dapat dibaca kecuali halaman 17 juga koyak pada bahagian bawah.

Memperhatikan tarikh selesai penulisan (Jamadilakhir 1310/ Disember 1892) bererti karya Tok Kenali ini mendahului sekitar 10 tahun karya guru beliau iaitu Syeikh Wan 'Ali bin 'Abdur Rahman Kutan yang berjudul Risalah Majma' al-Qashaid wa al-'Awaid. Karya ini selesai ditulis pada Zulkaedah 1320/Februari 1903.

Kedua-dua kitab itu walaupun membicarakan Burdah al-Bushiri, namun perbahasannya dalam bentuk berbeza. Dalam karya Syeikh Wan 'Ali Kutan tidak ada terjemahan qasidah yang disebut itu kerana yang lebih diutamakan adalah kelebihan membaca atau mengamalkan Burdah al-Bushiri.

Dalam karya Tok Kenali pula, pada halaman pertama terlebih dulu adalah salinan lafaz Burdah dalam bahasa Arab dari bait ke bait. Setiap bait pada bahagian bawahnya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Contoh gaya bahasa terjemahan Tok Kenali, tiga bait antaranya saya transliterasi sebagai berikut di bawah ini:

- Adakah kerana ingat akan keluarga, yang pada tempat yang mempunyai kayu salam Engkau campurkan air mata, yang liar ia daripada biji mata dengan darah?

- Atau kerana berhembus anginkah, daripada pihak negeri yang bernama Kazhimah? Dan cemerlang kilat dalam kelam daripada bukit yang bernama Adhim?

- Maka adakah bagi dua matamu itu, jika engkau kata bagi kedua-duanya : “Berhenti olehmu”, nescaya mengeluar kedua-duanya akan airnya. Dan mengapakah bagi hatimu itu, jika engkau kata baginya: “Minum olehmu”, nescaya ia gila.

Daripada semua yang dipaparkan di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Yusuf Ahmad al-Kalantani atau Tok Kenali ialah ulama yang menghasilkan karangan. Beliau mampu menulis dalam bentuk prosa dan puisi.

Tok Kenali juga menulis dalam bahasa Melayu dan menghasilkan sekurang-kurangnya dua karangan dalam bahasa Arab iaitu Madkhal Kamil fi 'Ilmis Sharfi yang selesai penulisannya pada 15 Rabiulawal 1351. Satu lagi, Mulhiq li Miftahit Ta'allum, selesai penulisan pada 29 Syaaban 1354.
 
-Dinukil daripada Berita Harian, Selasa, 12 Julai. 2005.

Enter supporting content here