azi_asmar.tripod.com
[My Personal Site]
(Laman ini bukan untuk tatapan umum, hanya untuk diriku saja... tapi kalau nak baca.. suka hatilah, tak siapa tanggung kalau wrong information atau sebaliknya)


                                                                                                                                     Copyright © 1996
Menu
Biodata
Bola Oh Bola....
Virus .. kenapa kau...
Kota London
Malunya aku..Malangnya aku...
Letihnya aku...
Anugerah Khidmat Cemerlang
Anugerah Kualiti RTM
Definasi Virus Vs Worm
Senyum
User Policy
Mesyuarat ASEAN COCI
Transcending The Divide
Transforming M'sia into K
Anugerah HP
Politik..oh politik
Masalah Dalam Era Komputer
Tracing-IP
ICT in Agriculture
Semoga Allah cucuri rahmat..
Technological change
Langkah Menuju Kesempurnaan Iman
Bagaimana nak buat Neon Glow
Communication is more than email.
Perkamusan Melayu Dalam Era IT
Pembelajaran Bahasa Melayu SMART
Securing the Corporate Network: Internet Firewalls
Security: Keeping Hackers Out
Merdeka..Merdeka...
Sukom 98....letihnya
What Is Firewall
Apa itu Rangkaian?
Syukur
Good Security Usage Policy
Ya Rasulullah
Access to Intenet : an example Policy
WWW -definasi
ISDN
Internet - definasi
Alamat Internet boleh guna nama sendiri
Rumah Pintar
Bagaimana Internet Berfungsi
Bridge
Cipher
Cryptography
Digital Certificate
Dilema Eksploitasi melalui Internet
DMZ
Denial of Service
Encryption
FTP
Gateway
Antara Gembar-Gembur Dan Realiti Internet
Ghost imaging
HTTP
Hub
Invasion of Privacy
Destruction of Properties
Infrared radiation
Internet: Dunia Tanpa Sempadan
Siapa Yang Patut Disalahkan? Internet, maklumat atau manusia?
Kafe Siber: Pengusaha, Remaja dan Internet
Melindungi katalaluan
Apa itu Komuniti Maya?
Layer 3
Masalah pentadbir teknologi maklumat
NAT
NFS
Penyalahgunaan Siber
PKI (public key infrastructure)
Proxy Server
Kecenderungan remaja sekolah memilih hiburan di Internet
Repeater
Risiko Kesihatan dalam Penggunaan Komputer
Router

 

PERKAMUSAN MELAYU DALAM ERA TEKNOLOGI MAKLUMAT


Pengenalan.

Perkamusan atau leksikografi hari ini semakin maju. Sekiranya kita melawat laman-laman internet yang berkaitan dengan perkamusan, kita akan menemui pelbagai maklumat berkenaan dengan ilmu perkamusan. Bahkan, penawaran kursus-kursus perkamusan juga boleh kita dapati dengan hanya merujuk kepada internet. Laman-laman web yang memuatkan maklumat tentang perkamusan tersebut bukan melibatkan bahasa Inggeris sahaja, beberapa laman web perkamusan bahasa lain seperti bahasa Belanda, Cina, Peranchis dan lain-lain juga boleh dilawati. Ini menunjukkan bahasa bidang perkamusan sudah menjadi satu bidang yang diminati di kalangan penyelidik antarabangsa, dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa perkamusan bahasa Melayu tidak harus diabaikan begitu sahaja di kalangan para ilmuan Melayu.

Perkamusan Melayu juga telah melangkah jauh ke hadapan dalam memenuhi keperluan bidang ilmu yang pelbagai, dan telah menjadi wahana perkembangan bahasa Melayu dalam memenuhi cita-cita memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia. Kecanggihan teknologi terkini secara tidak langsung turut mempengaruhi dunia perkamusan Melayu. Haji A. Aziz Deraman (1994) dalam kata-kata aluan Seminar Perkamusan Melayu pernah mengatakan bahawa dalam konteks negara Malaysia, ilmu perkamusan boleh dikatakan masih muda. Justeru itu, sesuai dengan hasrat kita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa maju yang mampu hidup berganding bersama-sama bahasa lain di dunia, kemasukan teknologi maklumat dalam dunia perkamusan tidak harus dipandang sepi.

Membicarakan tentang perkamusan, banyak perkara yang boleh dibincangkan. Perkamusan bukan sahaja bersangkut paut dengan kamus, bahkan merangkumi ruang lingkup yang sangat luas. Bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan kamus memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam. Kamus bukan sahaja mengungkap makna, bahkan berguna bagi menjelaskan kerumitan dalam bidang-bidang tertentu. Selain daripda bahasa, kamus juga berkaitan dengan bidang sains dan teknologi, begitu juga dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Boleh dikatakan semua bidang ilmu berhubung secara langsung dengan kamus. Ingin mengetahui makna tentang istilah undang-undang, orang akan merujuk kamus, ingin mengetahui makna tentang perubatan juga orang akan merujuk kepada kamus, (selain merujuk kepada doktor), ingin mengetahui tentang bahasa juga orang akan merujuk kamus, jadi kamus mempunyai tugas yang sangat besar, lebih-lebih lagi dalam era teknologi maklumat ini.

Kamus dan Perkamusan

Kamus ialah sebuah buku yang mengandungi senarai kata sesuatu bahasa yang dilengkapi dengan makna dan juga maklumat-maklumat ringkas tentang tatabahasa bahasa tersebut. Setiap kamus yang dihasilkan mempunyai sifat dan fungsi yang berbeza berdasarkan kepada sasaran pengguna kamus itu sendiri. Kamus Dewan mentafsirkan istilah kamus sebagai buku yang mengandungi kata-kata dan lain-lain (yang disusun mengikut abjad) dengan keterangan mengenai makna perkataan dan lain-lain)...

Perkamusan menurut Kamus Dewan ialah perihal (yang berkaitan dengan) kamus (penyusunannya, ilmu mengenainya, dan lain-lain).... Maka secara umumnya perkamusan boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu kerja-kerja penghasilan kamus dan bidang ilmu yang mengkaji tentang dunia perkamusan itu sendiri. Dua istilah yang sering digunakan ialah leksikografi dan leksikologi. Leksikografi ialah kerja-kerja yang dilakukan dalam proses menghasilkan kamus. Leksikologi pula ialah disiplin ilmu yang berkaitan secara langsung dengan penghasilan kamus, iaitu teori dan amalan yang digunakan sebagai panduan dalam menghasilkan kamus. Leksikologi pula mencakupi beberapa subbidang ilmu yang lain seperti fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik.

Perkamusan Melayu.

Perkamusan atau leksikografi bahasa Melayu bermula dalam bentuk senarai kata. Pada peringkat awal perkamusan Melayu hanya tertumpu dalam menghasilkan kamus-kamus dwibahasa. Kamus terawal yang ditemui ialah satu senarai kata Melayu-Cina yang dikumpulkan antara tahun 1403M-1511M. Beberapa senarai kata yang lain ialah senarai kata Itali-Melayu yang dihasilkan oleh Antonio Pigafetta (1519M-1522M), senarai kata yang dihasilkan oleh Frederick de Houtmann (1603M) . Selepas itu terdapat beberapa buah kamus yang dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji Barat (lihat lampiran) . Penghasilan kamus dalam bentuk dwibahasa ini dihasilkan dengan tujuan untuk mempelajari dan memahami bahasa Melayu bagi memudahkan urusan pentadbiran dan komunikasi antara para penjajah dan pedagang dengan masayarakat Melayu.

Perkamusan Melayu terus berkembang sehinggalah terhasil sebuah kamus ekabahasa bahasa Melayu, yang disusun oleh seorang ahli bahasa Melayu iaitu Raja Ali Haji, kamus tersebut diberi nama Kitab Pengetahuan Bahasa. Sesuai dengan tajuknya, kitab ini dihasilkan sebagai buku panduan kepada masyarakat Melayu untuk belajar dan menggunakan bahasa Melayu dengan lebih teratur. Selepas Kitab Pengetahuan Bahasa dihasilkan, beberapa kamus Melayu lain turut menyusul, antaranya Kamus Mahmudiyah oleh Syed Mahmud Syed Abdul Kadir (1894), Kamus Melayu oleh Haji Shamsuddin bin Muhammad (1920), kamus dwibahasa Inggeris-Melayu atau Buku Katan P.B.M.P.B (juga dikenali sebagai Kamus Melayu) oleh Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (1936).

Selepas tarikh-tarikh yang telah dibincangkan di atas kerja-kerja perkamusan Melayu diambil alih oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam menghasilkan kamus-kamus Melayu lengkap dan bermutu tidak boleh dipertikaikan lagi. Setelah beberapa tahun mengendalikan kerja-kerja perkamusan, pada tahun 1970 Kamus Dewan Edisi Pertama telah diterbitkan. Kamus yang sangat diperlukan oleh masyarakat pengguna dan penutur bahasa Melayu itu telah menjadi rujukan dan panduan bagi seluruh pengguna bahasa Melayu. Kamus Dewan telah diulang cetak beberapa kali dalam beberapa siri edisi terbaru. Setiap cetakan yang terbaru akan dimuatkan konsep-konsep dan aspek-aspek terkini yang berlaku dalam bahasa Melayu.

Sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi ini, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menghasilkan ratusan mungkin juga ribuan kamus yang digunakan oleh seluruh masyarakat pengguna bahasa Melayu. Begitu juga dengan kemasukan era teknologi maklumat, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama dari pihak-pihak lain yang berkenaan telah berjaya menghasilkan kamus elektronik dan multimedia untuk kemudahan pengguna-pengguna bahasa Melayu. Namun begitu beberapa perkara perlu dilihat dan dibincangkan mengenai kamus-kamus elektronik dan multimedia ini

Leksikologi bahasa Melayu bermula agak lewat daripada yang sepatutnya. Sehingga kini kita masih kekurangan ahli-ahli leksikologi yang boleh membantu dalam usaha penghasilan kamus. Perkamusan Melayu masih mencari-cari teori yang sesuai dalam kerja-kerja perkamusan yang dijalankan. Walau pun begitu, bahasa Melayu sudah mempunyai kamus-kamus yang lengkap dan bermutu untuk kegunaan masyarakat bahasanya. Sesuai dengan ledakan ilmu pada zaman teknologi maklumat ini, leksikologi Melayu juga tidak ketinggalan. Melihat kepada perkembangan leksikologi yang semakin maju, adalah perlu bagi bahasa Melayu mempertingkatkan lagi kajian dan penyelidikan dalam bidang ini bagi memenuhi kehendak zaman.

Perkamusan Dalam Teknologi Maklumat

Membincangkan perkamusan dalam teknologi maklumat, kita tidak dapat lari daripada membincangkan tentang kamus-kamus berkomputer. Sesuai dengan penggunaan komputer-komputer yang semakin canggih, pengeluar kamus-kamus jenis ini perlu meneliti tentang tahap penggunaannya sesuai dengan sasaran penggunanya. Pengguna-pengguna kamus meliputi pelbagai pihak, selain pelajar dan ahli-ahli akademik, seluruh masyarakat bahasa memerlukan kamus, bergantung kepada keadaan dan masa penggunaan.

Perkara penting dalam proses penghasilan kamus ialah konkordans. Persoalannya sekarang ialah bagaimana komputer dapat memproses konkordans dan seterusnya mentafsir entri yang dimuatkan. Martin dan Sterkenburg (1983), membincangkan tentang pemprosesan teks korpus dalam kertas kerja mereka On The Processing of a Text Corpus. Mereka mempersoalkan tentang bagaimana sistem pemprosesan data komputer dapat memasukkan semaksimum mungkin maklumat-maklumat leksikografi yang terkandung dalam sesuatu entri. Maklumat leksikografi yang dimaksudkan ialah maklumat yang dijangka boleh diperolehi daripada kamus. Maklumat tersebut mungkin meliputi semua bahagian linguistik seperti ejaan, fonologi, morfologi dan sintaksis serta semantik. Bagi mendapatkan maklumat-maklumat tersebut ahli leksikografi biasanya akan menganalisis dan merujuk kepada konkordans. Berdasarkan konkordans penyusun-penyusun kamus akan memberikan makna sekaligus menyediakan ayat-ayat contoh yang sesuai.
Menurut Stevens (1995) konkordans merupakan satu alat penting dalam proses pembelajaran bahasa. Ini kerana pelajar dapat memahami sesuatu bentuk kata atau ayat dengan lebih jelas melalui pelbagai contoh ayat yang terkandung dalam konkordans. Begitu juga dengan pemerian makna terhadap bentuk-bentuk kata yang dimuatkan dalam kamus. Saya pasti setiap penyusun kamus faham tentang apakah yang dimaksudkan dengan konkordans ini. Bagi memberi makna sesuatu perkataan, para penyusun kamus akan merujuk kepada konkordans bagi mendapatkan makna yang paling tepat dan makna yang berikutnya. Sebuah kamus Inggeris yang saya temui dalam internet memasukkan konkordans dalam salah satu program mereka yang dikenali dengan nama Cobuild Corpus Sampler. Caranya amat mudah, iaitu hanya dengan memasukkan perkataan yang ingin kita ketahui maknanya, seterusnya mendapatkan konkordans bagi perkataan tersebut, maka kita akan dapat melihat pelbagai bentuk ayat yang dimuatkan.
Kamus-kamus yang terdapat dalam bahasa Melayu juga terhasil daripada analisis konkordans. Tujuan analisis konkordans dilakukan ialah supaya setiap entri yang dimuatkan dalam kamus dapat ditakrif dengan sempurna dan lengkap, konkordans akan membantu memperlihatkan pola penggunaan ayat sesuatu kata entri berkaitan dengan ko-teksnya (kolokasi) dan juga akan memperlihatkan kontkes penggunaan kata tersebut dalam ayat.


Perkamusan Melayu Dalam Era Teknologi Maklumat.

Seiring dengan perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat, perkamusan Melayu juga tidak ketinggalan. Dewasa ini kita boleh menemui kamus-kamus Melayu berkomputer yang telah dihasilkan oleh pihak-pihak tertentu. Seperti yang telah dibincangkan tadi, kita juga harus melihat implikasi penghasilan kamus-kamus ini. Terdapat beberapa komputer atau lebih baik disebut sebagai kamus elektronik yang di pasaran sekarang yang telah dihasilkan dengan kerjasama antara pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka dan juga syarikat lain. Ini menunjukkan bahawa perkamusan Melayu sudah pun melangkah ke alam teknologi maklumat

Umumnya kita pasti mengatakan bahawa dengan adanya kamus berkomputer segala kerja mencari makna perkataan akan menjadi lebih mudah dan cepat. Selain daripada mendapatkan makna, maklumat entri yang terkandung dalam kamus berkomputer ini tidak boleh kita perkecilkan. Begitu juga dengan adanya kursus-kursus komputer yang diajar di sekolah-sekolah akan dapat menjadikan kamus berkomputer ini satu alat yang berguna sepenuhnya. Perkara yang paling dititikberatkan dalam kamus ialah makna perkataan yang terkandung di dalamnya. Bagi melihat makna tersebut pelbagai maklumat dimasukkan dan seboleh adanya maklumat tersebut dapat menjelaskan makna perkataan yang didefinisikan.

Penggunaan kamus komputer juga dapat menjimatkan masa dan mempercepatkan kerja-kerja pencarian makna. Di samping itu, pengguna kamus yang belajar bahasa boleh belajar dengan lebih mudah dan berkesan. Setiap maklumat yang dimuatkan dalam kamus komputer ini selaras dengan maklumat yang terdapat dalam kamus buku. Kamus Telapak misalnya yang memuatkan Kamus Dewan dan Kamus Melayu Inggeris Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka telah memasukkan maklumat sama seperti yang terkandung dalam kamus-kamus tersebut.

Persoalan yang ingin dikemukakan tentang peranan kamus komputer ini, ialah sejauh manakah peranan yang dimainkan oleh kamus komputer ini dapat dilaksanakan. Pengguna kamus komputer seharusnya ialah seorang yang mahir dalam penggunaan teknologi maklumat. Kesukaran dan kerumitan akan timbul apabila pengguna yang ingin menggunakannya bukan seorang yang tahu tentang penggunaan teknologi maklumat ini. Namun begitu, persoalan ini dapat diatasi dengan mudah, iaitu pengguna kamus komputer boleh diajar cara-cara penggunaannya. Cara pengajaran itu bergantung kepada pihak yang akan mengeluarkan kamus-kamus tersebut.

Kedua, untuk memiliki sebuah kamus komputer, seseorang itu perlu mengeluarkan sejumlah wang yang agak banyak. Sesuai dengan kos pembinaan dan pengeluaran kamus komputer tersebut, sudah tentu sahaja harga pasarannya agak tinggi. Jadi, orang yang kurang berkemampuan mungkin tidak dapat memiliki kamus komputer ini. Mungkin dalam keadaan ekonomi sekarang kebanyakan orang mahu berjimat cermat, maka sudah tentu sebaran penggunaan kamus komputer ini agak terbatas.

Ketiga, sesuai dengan zaman teknologi maklumat, kamus komputer ini juga seharusnya mengikut langkah yang telah dibuat oleh ahli-ahli perkamusan Barat, seperti memasukkan entri-entri kamus ke dalam internet supaya perkamusan Melayu turut dikenali di serata dunia. Kita boleh merujuk makna perkataan-perkataan Inggeris dengan melawat laman-laman web ini (lihat lampiran) . Ini memerlukan kerjasama yang erat di antara pencipta-pencipta program komputer dan ahli-ahli leksikografi. Masalah yang mungkin timbul ialah, apabila kamus-kamus ini dimuatkan di dalam layar internet, pasaran kamus tempatan mungkin akan terjejas. Mungkin kita belum sampai ke tahap yang sedemikian, namun perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil bagi menjadikan perkamusan Melayu sebagai satu bidang yang turut dikenali di serata dunia dan secara tidak langsung juga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang boleh ditatapi di seluruh dunia.

Bahasa bersifat dinamik, iaitu sentiasa berubah mengikut masa. Bahasa Melayu juga sentiasa mengalami perubahan, dan perisian perkakasan komputer menggunakan bahasa Inggeris. Di sini akan timbul masalah bagaimana perkakasan komputer boleh diselaraskan dengan keadaan bahasa Melayu yang sentiasa menerima perubahan dan penambahan. Semestinya, dengan adanya kamus komputer sebarang perubahan dan penambahan dalam kamus-kamus Melayu dapat ditangani dengan lebih mudah. Ahli perkamusan tidak perlu lagi membuat rombakan atau analisis yang panjang lebar daripada bahan-bahan cetakan. Mereka hanya perlu membuka komputer dan terus membuat perubahan atau penambahan secara langsung. Namun begitu, kemahiran dalam penggunaan alat-alat komputer perlu dititikberatkan.

Peredaran masa akan menyebabkan berlaku perubahan dalam entri-entri kamus. Pemilik kamus komputer yang sedia ada mungkin akan menghadapi masalah mencari entri-entri baru, sedangkan kos untuk memiliki sebuah kamus komputer adalah tinggi. Bagi mengatasi masalah inipengeluar dan penyusun kamus-kamus komputer perlu membuat perancangan tentang jangka masa pengeluaran kamus-kamus baru yang perlu disesuaikan dengan keperluan pengguna.

Untuk menghasilkan sesebuah kamus yang selaras dengan keadaan semasa bukanlah satu kerja yang mudah, memerlukan tenaga dan usaha yang gigih. Oleh sebab itu perancangan adalah penting dalam setiap kamus yang dihasilkan. Seperti mana yang dibincangkan oleh Dr Zaharin Yusoff dalam kertas kerja beliau Struktur Kemasukan Kamus dan Penggunaannya, beliau mengatakan bahawa sesebuah kamus mempunyai struktur tertentu, dan setiap kemasukan kamus perlu mengikuti struktur tersebut. Sekiranya struktur sesebuah kamus ditetapkan sebelum usaha penyusunan kamus dimulakan, pelbagai keuntungan akan dapat diperolehi, baik daripada segi peningkatan keberkesanan usaha penyusunan kandungan mahu pun daripada segi penyediaan alat-alat perkamusan pada komputer dan perkara yang perlu dititikberatkan ialah penubuhan pangkalan data yang menjadi rujukan dalam usaha penyusunan kamus.

Mungkin perkamusan Melayu boleh mengikut jejak langkah Cobuild Dictionary yang telah dimasukkan ke dalam internet. Kita boleh merujuk makna sesuatu perkataan dengan hanya melayari alamat laman web yang disediakan, bahkan juga kita boleh turut menganalisis konkordans yang digunakan dalam menyusun kamus tersebut. Selain itu, adalah menjadi harapan sekiranya perkamusan Melayu mampu memasuki era teknologi maklumat ini dengan membina laman web sendiri yang boleh dilawati oleh peminat dan pengkaji perkamusan seluruh dunia.

Kesimpulan.

Kamus merupakan salah satu alat penting dalam mempelajari sesuatu bahasa. Tanpa kamus pelajar-pelajar bahasa tidak mungin dapat menguasai sesuatu bahasa dengan baik. Perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat memerlukan bahasa Melayu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Sekiranya bahasa Melayu tidak diselaraskan dengan perkembangan teknologi maklumat ini, tidak mustahil bahasa kebangsaan kita akan ketinggalan. Salah satu cara untuk mencapai cita-cita ke arah penggunaan bahasa Melayu secara global ialah dengan mengemas kinikan ilmu perkamusan Melayu itu sendiri.

Kemunculan sarjana-sarjana yang mendalami bidang perkamusan boleh membantu dunia perkamusan Melayu ke arah yang lebih baik. Kerjasama antara ahli-ahli perkamusan dengan pakar-pakar teknologi maklumat amat perlu dalam menghasilkan sebuah kamus Melayu yang bermutu dan juga dalam melahirkan sarjana-sarjana perkamusan yang bukan sahaja mahir dalam bidang bahasa Melayu, bahkan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat ini. Era multimedia atau koridor raya telah membuka peluang kepada semua yang berminat dan terlibat dalam bidang perkamusan untuk meraih satu kejayaan.

Kerjasama antara pihak-pihak yang berkenaan amat perlu dalam menghasilkan kamus komputer yang baik. Perkamusan Melayu tidak harus jauh ketinggalan, penawaran kursus-kursus perkamusan di universiti-universiti tempatan telah membuka peluang yang luas kepada sarjana-sarjana tempatan untuk mendalami bidang ini. Suatu hari nanti perkamusan Melayu juga boleh dilawat melalui laman-laman web di internet.